TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI MUSA HJ. AMAN, KETUA MENTERI SABAH, MAJLIS PERASMIAN PAMERAN KHAS ARKIB NEGERI SABAH SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN YANG KE-50, PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2007, BERTEMPAT DI AUDITORIUM YAYASAN SABAH, PADA 03 SEPTEMBER 2007

 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Nasir Tun Sakaran,

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah)

 

 

Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama berkumpul dalam majlis yang sungguh bermakna pada hari ini.  Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian mengundang saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan Pameran Khas Arkib Negeri Sabah yang diadakan sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-50. 

 

Seperkara yang menarik perhatian saya mengenai pameran khas ini ialah berkenaan dengan pemilihan tajuknya, iaitu “Kapten Tun Datu Mustapha Datu Harun: Wira Kemerdekaan”.  Saya berasa gembira disebabkan usaha pihak Arkib Negeri Sabah ini sememangnya amat signifikan dengan suasana sambutan perayaan kemerdekaan yang sedang diraikan sekarang dan saya percaya usaha ini juga akan berupaya mengimbas kembali sejarah perjuangan silam yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam memerdekakan bumi Sabah ini daripada penjajahan kuasa asing.

 

Pameran yang akan berlangsung mulai 3 hingga 12 September ini adalah untuk tatapan semua rakyat Malaysia khasnya yang berada di negeri Sabah.  Kita amat bertuah kerana dokumentasi sejarah yang dipamerkan ini adalah hasil kajian dan penyelidikan bersama antara pihak Arkib Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah. Saya berasa bangga disebabkan pakar-pakar pengkaji dan penyelidik kita telah mendokumentasikan cerita sejarah perjuangan Allahyarham Tun Datu Mustapha bin Datu Harun dalam mencapai kemerdekaan bagi negeri Sabah.  Dokumentasi sejarah ini sangat penting khususnya untuk dibaca dan dihayati oleh generasi masa kini yang saya percaya masih ketandusan ilmu tentang sejarah perjuangan kemerdekaan para pemimpin terdahulu negeri ini. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan usaha ini.

 

Pada tahun ini, Hari Kemerdekaan akan disambut secara gilang-gemilang dengan pelbagai acara diadakan di seluruh negara.  Sambutan Hari Kemerdekaan ini seharusnya dihayati dengan penuh keinsafan dan kesyukuran kerana sejarah kemerdekaan negara walaupun tidak melalui peperangan, tetapi turut melibatkan pertumpahan darah kerana tempoh penjajahan British dan Jepun di Tanah Melayu dan Borneo Utara telah mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban.  Sehubungan itu, kita hendaklah menghargai pengorbanan pejuang-pejuang tanah air yang telah menggadaikan nyawa menentang para penjajah yang sememangnya berniat untuk memerintah tanah air yang tercinta ini.

 

Tanggal 31 Ogos dan 16 September adalah tarikh keramat yang akan mengembalikan nostalgia kita kepada laungan kemerdekaan oleh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun.  Kedua-dua pemimpin ini adalah bapa kemerdekaan yang akan sentiasa dikenang oleh segenap lapisan rakyat Malaysia disebabkan mereka telah menyempurnakan tanggungjawab untuk membebaskan negara dan negeri ini daripada belenggu penjajahan.  Kini masanya bagi setiap anak Malaysia untuk memikul tanggungjawab demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

 

Di negeri ini, perjuangan kemerdekaan telah dipelopori oleh Kapten Datu Mustapha bin Datu Harun yang merupakan seorang negarawan yang perlu dikenang atas sumbangan dan jasanya kepada negara ini.  Sebagai anak jati negeri Sabah, semangat nasionalisme beliau terhadap negeri kelahirannya terbukti apabila beliau berjuang mengharungi apa jua rintangan untuk menentang pendudukan Jepun di negeri ini.  Bukti sejarah telah menunjukkan bahawa Tun Datu Mustapha adalah satu-satunya tokoh pemimpin tempatan Sabah yang berani dan beliau telah menyertai gerakan tentera biasa dan gerila di Filipina semasa Perang Dunia ke-2.  Selepas itu, beliau telah kembali dan berjuang menentang penjajahan Jepun di Sabah sebaik sahaja tamat latihan khas di Filipina dan Australia semasa Perang Dunia ke-2.  Beliau adalah seorang pejuang yang tersohor di negeri Sabah kerana beliau telah dilantik oleh Tentera Bersekutu memimpin Gerakan Gerila ‘Bawah Tanah’ menentang  penjajahan Jepun dan telah diberi pangkat Sarjan, Leftenan Muda dan akhirnya dinaikkan ke pangkat Kapten sebelum peperangan tamat.

 

Sebagai mengenang jasa serta sumbangan beliau yang begitu nekad berjuang bersama Tentera Bersekutu dan Tentera British, Tun Datu Mustapha telah dianugerahkan pingat ‘World War II Pacific Star’ dan Darjah Kebesaran Kerajaan British, iaitu Officer Of The British Empire (OBE).  Beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Anak Negeri dengan gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK) pada tahun 1951.  

 

Pada bulan Disember 1961, Allahyarham Tun telah menubuhkan parti USNO sebagai satu saluran atau wadah penting untuk menuntut kemerdekaan bagi negeri Sabah dan sebagai persediaan untuk menerajui satu pemerintahan baru yang diwakili oleh kaum Bumiputera negeri ini.  Pada dasarnya, Allahyarham Tun merupakan penyokong utama cadangan pembentukan Malaysia dan beliau adalah antara tokoh yang telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan Sabah melalui rundingan-rundingan dengan kerajaan Malaya dan Britain.

 

Allahyarham Tun Mustapha merupakan Yang Di-pertua Negeri atau Gabenor yang pertama bagi negeri Sabah.  Di kalangan rakyat Sabah, Allahyarham Tun merupakan bapa kemerdekaan Sabah, seorang negarawan serta merupakan lambang ataupun ikon yang telah membuktikan ketokohan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan negeri Sabah.  Beliaulah yang sewajarnya patut dicontohi ataupun dijadikan sebagai idola oleh setiap anak Malaysia khasnya yang berada di negeri Sabah pada era ini dan juga generasi akan datang.

 

Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah kerana hasil kegigihan para pejuang kita yang terdahulu.  Dalam mengimbas kembali perjuangan Tun Datu Mustapha, kita menyedari betapa sengsaranya beliau mengharungi keperitan serta kepayahan menentang penjajah demi mendapat kemerdekaan untuk bumi tercinta ini.  Lantaran itu, setiap rakyat Malaysia di Sabah mestilah memanfaatkan kemerdekaan ini dan tidak mensia-siakannya.  Kita perlu memupuk semangat mempertahankan kemerdekaan dengan menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip rukun negara.  Kemerdekaan juga perlu diisi dengan program ataupun acara-acara yang mampu menyemarakkan lagi semangat patriotik terhadap negara. 

 

Justeru, setiap rakyat Malaysia harus menjana minda dan menjadikan segala pengorbanan, perjuangan dan kepayahan para pejuang dan pemimpin yang terdahulu sebagai iktibar.   Setiap anak Malaysia perlu merenung sejenak betapa bertuahnya kita kerana dengan berkat pengorbanan dan perjuangan pejuang-pejuang dan para pemimpin kita yang terdahulu, kita kini telah dapat mengecapi nikmat kemerdekaan. 

 

Dalam pada itu, sebagai rakyat Malaysia kita juga hendaklah mengetahui sejarah di mana kita bermula dan seterusnya mengorak langkah menghadapi masa-masa akan datang tanpa melupai asal-usul kita.  Kita juga perlu meningkatkan martabat diri dan menggembleng tenaga dalam menghadapi apa jua cabaran untuk kejayaan yang lebih gemilang.

 

Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Arkib Negeri Sabah atas usaha dan kejayaan dalam memelihara rekod-rekod dan arkib-arkib yang bernilai sejarah dan kebangsaan ini.  Dengan adanya pameran ini, sedikit-sebanyak dapat menyedarkan masyarakat umum betapa pentingnya sejarah dan belajar menghargai perjuangan pejuang-pejuang dan pemimpin-pemimpin masa lalu, sekaligus mampu mencetuskan semangat untuk terus berjuang bagi mengekalkan dan mempertahankan kemerdekaan negara untuk selama-lamanya.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz “Bismillahirrahmanirrahim” merasmikan Pameran Khas “Kapten Datu Mustapha bin Datu Harun:  Wira Kemerdekaan” sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-50 ini.  

 

Sekian, terima kasih.