UCAPAN PERASMIAN OLEH Y.A.B. DATUK SERI MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA SAMBUTAN HARI PERTAHANAN AWAM KE-55 PERINGKAT ZON SABAH TAHUN 2007, DI PADANG MERDEKA

KOTA KINABALU, PADA 21 JULAI 2007

 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Hj. Yahya Hussin,

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna)

 

Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sabah kerana sudi mengundang saya untuk hadir dan seterusnya merasmikan sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam Peringkat Zon Sabah Tahun 2007 pada pagi ini.

 

Saya berharap, perhimpunan dan sambutan yang diadakan ini bukan sahaja mampu meningkatkan semangat dan kesungguhan warga Jabatan Pertahanan Awam tetapi juga dapat membuka mata masyarakat untuk turut sama terlibat dan menyertai sambutan yang diadakan di Padang Merdeka ini. Saya difahamkan sambutan pada hari ini melibatkan pejabat-pejabat dari Jabatan Pertahanan Awam Daerah Tawau, Daerah Sandakan, Daerah Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Melihat kepada sambutan pada hari ini, kita seharusnya bersyukur kerana Jabatan Pertahanan Awam Negeri Sabah masih mampu memain peranan sejak 55 tahun yang lalu dan sentiasa melalui perubahan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang efisien kepada masyarakat umum di negara kita. Jika diamati secara mendalam, kita perlu akui bahawa nilai kesukarelawanan dan bekerjasama dalam masyarakat kita masih banyak yang perlu dilakukan bagi mengukuh dan memperkasakan budaya positif ini.

 

Pada hari ini, kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa kerajaan berperanan sepenuhnya dalam menyediakan ruang penglibatan kepada rakyat untuk menyumbang khidmat demi kemakmuran negara.  Namun, pada masa yang sama peluang yang telah tersedia seperti menganggotai Jabatan Pertahanan Awam yang berfungsi melalui pasukan sukarelanya kurang mendapat perhatian dan penyertaan di kalangan warga kita.  Berdasarkan kepada standard antarabangsa yang ditetapkan sebagai jaminan keselamatan negara, negara kita hendaklah memiliki seramai 10 peratus atau 2.5 juta rakyat yang mempunyai pengetahuan dalam aspek pertahanan dan keselamatan awam. Daripada jumlah ini, sebanyak 10 peratus atau 250,000 orang hendaklah diambil berkhidmat sebagai anggota sukarela Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

 

Untuk mencapai sasaran ini, semua kelompok masyarakat sama ada agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, Badan Siasah, pertubuhan kebajikan dan organisasi yang terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan hendaklah menyahut seruan dan cabaran ini bagi memperkasakan peranan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia khususnya di Negeri Sabah. Kesedaran semua pihak juga adalah dituntut untuk merealisasikan hasrat ini agar nikmat kesejahteraan dan kemakmuran yang ada pada hari ini tidak akan hilang akibat kegagalan kita membentuk organisasi keselamatan dan Pertahanan Awam yang berkesan untuk mempertahankan rakyat dan negara.

 

 

Menyedari hakikat ini, kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan memberi sokongan dan membantu Jabatan Pertahanan Awam merangka usaha yang berkaitan ke arah mencapai matlamat yang ditetapkan. Penyertaan dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia khususnya di negeri ini juga hendaklah didorong oleh keinginan setiap rakyat menanam sikap bahawa keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama dan tidak hanya didokong oleh agensi kerajaan semata-mata. Kita mahu rakyat menjadikan Jabatan ini sebagai platform untuk memberi khidmat disebabkan manfaat ilmu pengetahuan mengenai Pertahanan Awam dan kemahiran diri yang diperoleh sangatlah berguna semasa berlakunya kesusahan ataupun kecemasan. 

 

Dalam pada itu, saya ingin menyarankan agar dalam apa juga aktiviti, penyertaannya hendaklah diterima secara seimbang daripada semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum agar matlamat integrasi dapat dicapai. Pada masa yang sama, kita akan dapat menggunakan kekuatan perpaduan rakyat pelbagai kaum ini sebagai teras utama dalam mempertahankan negara yang kita diami sekarang ini.

 

Saya percaya Jabatan Pertahanan Awam juga telah bersedia untuk menerima dan membuat perubahan dari semasa ke semasa bagi mencapai maksud penyertaan masyarakat dalam Jabatan Pertahanan Awam. Ini memerlukan Jabatan Pertahanan Awam merangka, merancang dan melaksanakan program-programnya agar lebih menjurus kepada aktiviti yang mampu menarik minat orang awam kepada Jabatan Pertahanan Awam. Untuk mencapai matlamat ini, kita boleh jadikan sesebuah organisasi atau negara yang berjaya dalam aspek Pertahanan Awam sebagai contoh atau ‘role model’ kepada organisasi Pertahanan Awam di negara ini.

 

Saya difahamkan, pada lewat bulan Jun tahun lepas satu delegasi Pegawai Jabatan Pertahanan Awam telah dihantar ke sebuah negara jiran untuk melihat dengan lebih dekat lagi peranan sebenar yang dimainkan oleh Pertahanan Awam di negara berkenaan.  Melalui lawatan kerja tersebut juga, saya difahamkan ia telah memberi input berguna dan kerjasama yang amat positif antara Jabatan Pertahanan Awam dengan institusi yang sama di negara berkenaan. Hubungan yang telah terjalin ini hendaklah dipertingkatkan dari semasa ke semasa. 

 

Saya yakin, pihak kementerian akan terus menyokong sebarang usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran Pegawai Jabatan Pertahanan Awam dengan menghantar mereka menjalani kursus, latihan atau program ‘attachment’ dengan institusi berkenaan. Ini secara langsung akan membantu kerajaan menjayakan program pembangunan modal insan di kalangan warga Jabatan Pertahanan Awam dan sekaligus memudahkan proses latihan secara dalaman diadakan sehingga ke peringkat akar umbi khususnya di kalangan pegawai dan anggota Jabatan Pertahanan Awam.

 

Walaupun penerimaan orang ramai kepada perkhidmatan talian Kecemasan 991 Jabatan Pertahanan Awam adalah memuaskan dan semakin mendapat sambutan, kita boleh melihat bahawa perkhidmatan ini masih belum menyeluruh dan hanya terhad di kawasan bandar-bandar utama. Saya percaya, Jabatan Pertahanan Awam mempunyai sasaran untuk memperluaskan lagi perkhidmatan 991 ini ke seluruh negara.    

 

Ini termasuk perkhidmatan operasi bencana yang berlaku di mana sahaja yang mesti disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam. Dalam satu pencapaian bersejarah semasa berlakunya bencana gempa bumi di Yogyakarta baru-baru ini, Jabatan Pertahanan Awam buat pertama kalinya menghantar 7 anggotanya menyertai misi bantuan kemanusiaan ke luar negara di bawah seliaan Bahagian Keselamatan Negara. Dalam hal ini, kita berharap penghantaran anggota menyertai misi antarabangsa ini mampu melonjakkan imej Jabatan Pertahanan Awam seterusnya menaikkan semangat anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk memberikan khimat yang terbaik dan cemerlang. Saya percaya Jabatan Pertahanan Awam sedang mengorak langkah untuk membentuk kumpulan anggotanya yang terlatih, berkemahiran tinggi dan sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan ke mana-mana sahaja sama ada di dalam mahupun di luar negara.

 

Untuk mencapai semua yang dihasratkan ini memerlukan satu lonjakan paradigma yang baik di kalangan pendokong Jabatan Pertahanan Awam sendiri mahupun struktur masyarakat di sekelilingnya. Semua ini menuntut perubahan sikap dan mentaliti memandangkan cabaran dan persaingan yang menanti amatlah hebat. Negara kita kini semakin pesat membangun dan perkara ini mestilah diiringi dengan perkhidmatan teras dan sokongan yang efisyen, berdaya maju dan saling melengkapi antara satu sama lain.  Jabatan Pertahanan Awam tidak boleh ketinggalan lebih-lebih lagi setelah usianya yang telah menjangkau lebih setengah abad.

 

Justeru, sambutan yang diadakan pada hari ini diharap akan menjadi medan terbaik untuk kita membina semula imej Jabatan Pertahanan Awam dengan wajah baru, sentiasa relevan dengan keperluan keselamatan negara, diterima baik oleh masyarakat dan lebih bersifat ‘mesra rakyat’.

 

Saya percaya dengan kekuatan semangat dan minat mendalam anggota Jabatan Pertahanan Awam yang ada di hadapan kita sekarang, seharusnya menjadi ikutan kepada warga yang lain di luar sana. Penyertaan mereka yang berasaskan kepada nilai bakti dan ilmu kemahiran ditimba melalui penyertaan dalam Jabatan Pertahanan Awam. Penglibatan mereka bukan untuk menjadi wira semata-mata tetapi atas dasar kesedaran bahawa rakyatlah penentu kesinambungan dan survival negara yang tercinta ini. Saya berharap, semangat keperwiraan yang ditunjukkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam ini akan menjadi contoh teladan kepada seluruh rakyat negara ini dalam membentuk pertahanan negara yang kukuh dan mantap.

 

Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan sambutan Hari Pertahanan Awam Peringkat Zon Sabah Ke-55 2007 pada pagi ini.

 

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Terima kasih.