UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH, DATUK SERI MUSA HAJI AMAN DI MAJLIS PENUTUPAN RASMI PERAYAAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI TAHUN 2007, DI HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG PADA 31 MEI 2007

 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan,

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah)

 

Dengan penuh sukacitanya saya ucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, “Tadau Tagazo Do Kaamatan” kepada semua yang hadir dalam majlis yang penuh bermakna ini, khususnya kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut.

 

Hari ini merupakan kemuncak kepada perayaan yang telah bermula sejak Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri yang diadakan di Ranau pada 01 Mei yang lalu. Di sepanjang bulan ini, perayaan-perayaan telah diadakan di setiap daerah dan pelusuk negeri ini dengan berbagai acara penuh tradisi dan keceriaan tanpa mengira batas kaum dan kepercayaan.

 

Berbagai pertandingan juga telah diadakan di peringkat daerah, termasuklah Pertandingan ‘Unduk Ngadau’ dan Bintang Kaamatan atau ‘Sugandoi’.  Hari ini kemuncaknya ialah pemilihan ‘Unduk Ngadau’ peringkat negeri yang sama-sama kita akan saksikan di penghujung  majlis ini.

 

Salah satu keunikan kemuncak perayaan Pesta Kaamatan setiap tahun ialah kepelbagaian acara-acara yang dianjur dan dipersembahkan.  Setiap majlis penutupan perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri akan dipenuhi dengan susunan acara-acara yang melambangkan kehidupan, tradisi, kegiatan ekonomi dan kebudayaan masyarakat negeri ini khususnya masyarakat Kadazandusun dan Murut.

 

Sepertimana yang kita saksikan hari ini, majlis dihiasi bukan sahaja dengan acara-acara kebudayaan yang disusun rapi  tetapi juga pameran produk pertanian seperti padi, selain menonjolkan kehidupan masyarakat Kadazandusun dan Murut melalui pameran rumah-rumah tradisi dan sebahagian besar hidangan makanan masyarakat tersebut.

 

Perayaan ataupun majlis ini pada hakikatnya adalah manifestasi ekonomi, sosial dan budaya negeri Sabah yang perlu dihayati bukan sahaja oleh masyarakat Kadazandusun malah oleh keseluruhan masyarakat berbilang kaum negeri ini.  Di samping memelihara dan mengekalkan budaya dan tradisi suku kaum masing-masing, kaum-kaum atau masyarakat yang lain sewajarnya mencontohi aspek-aspek positif yang disaran atau ditonjolkan melalui perayaan ini.

 

Tema Perayaan  Kaamatan tahun ini iaitu “HARMONI DALAM KEPELBAGAIAN BUDAYA” bertepatan sekali dengan apa yang kita saksikan pada hari ini.  Rakyat berbilang kaum dan kepercayaan membanjiri dewan ini untuk menyaksikan setiap acara dan menganggap bahawa perayaan ini adalah perayaan mereka sendiri.   Di samping itu kefahaman dan pengertian terhadap makna perayaan menjadi semakin mantap, sekaligus menjadikan perhubungan antara kaum menjadi lebih akrab dan intim.

 

Harmoni antara suku kaum dan penduduk sesebuah negara tidak wujud dengan sendirinya tanpa usaha dan kesanggupan rakyat jelata memahami dan menghayati budaya dan tradisi suku kaum yang lain.   Kepekaan dan penghayatan realiti masyarakat pelbagai budaya adalah tunjang kepada keharmonian khususnya bagi masyarakat majmuk di negara ini. Pengukuhan keharmonian berbilang kaum terus diutamakan bukan saja di peringkat negeri malah di peringkat kebangsaan. Inilah kekuatan dalaman yang dimiliki negara Malaysia yang menjadikannya unik berbanding negara-negara lain di dunia.

 

Keunikan berbilang kaum dan budaya yang wujud di Malaysia amnya dan di Negeri Sabah khasnya kini menjadi aset yang paling berharga bagi kita. Dengan keindahan semulajadi yang bertaraf dunia serta kebudayaan berbilang kaum yang berwarna warni, Sabah kini menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Sektor pelancongan telah berkembang di negeri ini sehingga menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

 

Sehubungan itu, Pesta Kaamatan yang kita rayakan setiap tahun ini, selain dari melambangkan tradisi dan budaya haruslah juga dilihat dari dimensi yang lain, khususnya dimensi sosial dan ekonomi.  Acara-acara yang ditonjolkan melalui Pesta Kaamatan menjadi semakin berkualiti setiap tahun, penuh dengan amalan budaya dan tradisi yang diamalkan sejak zaman dahulu.  Di samping itu semangat dan kerajinan juga  dibudayakan melalui penghasilan kuantiti dan kualiti padi sekaligus dimanifestasikan dalam bentuk perayaan yang mencerminkan kegembiraan.

 

Untuk mencapai matlamat penghasilan kuantiti dan kualiti yang tinggi sesuatu usaha itu memerlukan komitmen dan pengetahuan. Dalam erti kata yang lain, kita perlu lahirkan modal insan yang berkualiti yang dilengkapi dengan ilmu dan inovasi terkini supaya kita dapat memenuhi tuntutan semasa.  Sebenarnya, inilah yang menjadi hasrat kerajaan, bukan sahaja dalam bidang pertanian atau penghasilan padi malah dalam semua bidang yang dianjurkan.  Objektif inilah juga yang seharusnya turut menjadi intipati perayaan Pesta Kaamatan iaitu membentuk masyarakat atau modal insan yang komited dan mampu menimba pengetahuan agar dapat bersaing dalam era moden dan serba mencabar ini.

 

Selain dengan matlamat pembangunan negara melalui RMK-9 dan Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah, setiap sasaran dasar dan program kerajaan adalah menuju ke arah peningkatan pembangunan ekonomi dan sosial,  di samping memantapkan perpaduan di kalangan rakyat.  Dimensi ini memang tersirat di sebalik perayaan Pesta Kaamatan dimana antara tujuannya ialah pengukuhan perpaduan dan penyerlahan potensi perayaan itu sendiri dalam mencapai objektif ataupun Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah. 

 

Dalam konteks ini, Pesta Kaamatan adalah satu produk pelancongan yang mempunyai daya tarikannya sendiri dalam menarik pelancong-pelancong berkunjung ke negeri ini.  Liputan Pesta Kaamatan boleh terus dipertingkatkan agar lebih diketahui oleh masyarakat negara ini dan juga antarabangsa sehingga menjadi acara utama dalam kalendar pesta atau perayaan negeri ini. 

 

Pada tahun ini, Pesta Kaamatan mempunyai signifikan yang khusus disebabkan program Tahun Melawat Malaysia 2007 yang diadakan pada tahun ini. Kita sama-sama berharap agar potensi perayaan ini dalam menarik pelancong telah dipergunakan sepenuhnya melalui liputan dan hebahan yang maksimum.  Di samping itu ciri-ciri utama yang tidak kurang pentingnya untuk menjadikan Negeri Sabah terus diminati oleh pelancong iaitu budaya peramah, berbudi bahasa dan kebersihan hendaklah sentiasa diamalkan dan ditonjolkan di sepanjang program Tahun Melawat Malaysia 2007 ini diadakan.

 

Dengan sifat berbudi bahasa dan membudayakan tahap kebersihan yang tinggi khususnya di tempat-tempat atau kemudahan awam, saya penuh yakin Sabah akan terus menjadi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa sekaligus mengukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Demikianlah ucapan saya kepada hadirin pada pagi ini. Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesudian Tuan Yang Terutama Tun  dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan, kerana sudi hadir di Majlis Penutupan Rasmi Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2007.

 

Terima kasih.