TEKS UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH, DATUK SERI MUSA HAJI AMAN, SEMPENA PERASMIAN PEMBUKAAN KEJOHANAN OLAHRAGA MAJLIS SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA, SABAH KALI KE-39

DI PUSAT SUKAN DAERAH KUDAT, PADA 1 APRIL 2007

 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Masidi Manjun,

Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah)

 

Saya amat berbesar hati kerana mendapat penghormatan dari semua Ahli Jawatankuasa Pengelola Kejohanan MSSM Sabah kali ke-39, yang diketuai oleh YM Ir. Datu Jamigul Hj. Datu Salin, kerana menjemput saya untuk menghadiri dan seterusnya merasmikan Majlis Pembukaan Rasmi Kejohanan MSSM Sabah kali ke-39 yang diadakan di Pusat Sukan Kudat ini.

 

Saya amat gembira apabila dimaklumkan bahawa konsep pelaksanaan Kejohanan MSSM kali ini adalah berlandaskan 2 teras yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaiatu Teras Ke-2: Membangun Modal Insan dan Teras ke-3 Memperkasa Sekolah Kebangsaan.

 

Berdasarkan kepada hakikat ini, dan jika dikaitkan dengan pelaksanaan kegiatan sukan oleh setiap atlet yang mengambil bahagian, nyatalah bahawa membangun modal insan melalui kegiatan sukan dapat direalisasikan kerana melalui kegiatan bersukan seseorang atlet itu perlu menjalani pelbagai latihan intensif, bukan sahaja dari segi latihan fizikal malah lebih penting lagi ialah melalui latihan persiapan mental dan spiritual.

 

Melalui latihan persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi. Mental yang kuat perlu didorong oleh latihan fizikal yang teratur di samping pemakanan yang teratur dan seimbang.  Dengan latihan fizikal dan pemakanan yang teratur menjadikan perjalanan darah yang teratur.  Dengan perjalanan darah yang teratur, otak akan sentiasa cergas.  Otak yang cergas akan menjadikan seseorang itu lebih mudah memahami ilmu pengetahuan yang sentiasa berkembang.  Pengetahuan yang sentiasa berkembang akan meningkatkan daya fakir.  Daya fakir yang sentiasa berkembang akan menjadikan pengalaman seseorang insan itu bertambah luas.

 

Kita memang menyedari bahawa melalui kegiatan sukan, kita mampu membangun modal insan yang berkualiti atau insan yang memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

 

Dalam konteks memperkasa Sekolah Kebangsaan, pelajar yang memiliki minda kelas pertama yang didorong antara lain melalui kegiatan sukan, akan menjadi faktor penyumbang kepada kecemerlangan sekolah. Melalui kegiatan sukan bukan sahaja akan melahirkan pelajar yang sihat fizikalnya tetapi pelajar yang memiliki cergas mindanya.  Oleh itu konsep Membangun Modal Insan dan memperkasa Sekolah melalui sukan yang dipilih oleh AJK Pengelola dalam kejohanan amat bertepatan sekali.

 

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK Pengelola kerana telah dapat menganjurkan Kejohanan Olahraga MSSM Sabah dengan amat berjaya dengan konsep yang jelas.  Kepada para atlet yang mengambil bahagian yang meraih pingat kejohanan selepas ini saya ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya jangan putus asa, kerana penyertaan anda sudahpun menunjukkan bahawa anda telah menunjukkan kejayaan.

 

Dengan lafaz Bismillahir Rahmannir Rahim, saya dengan ini melancarkan Pembukaan Kejohanan Olahraga MSSM Kali ke-39 dengan rasminya.

 

Sekian, terima kasih.