UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA
HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERASMIAN PERSATUAN KEBUDAYAAN DAN
KEBAJIKAN BAJAU SAMA SANDAKAN, BERTEMPAT DI DEWAN MASYARAKAT SANDAKAN, PADA 17
MAC 2007
Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa syukur
ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah izin dan rahmat-Nya kita semua
telah diberi kesempatan dan peluang untuk menghadiri majlis ini. Saya
merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Persatuan
Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Sama Sandakan (PKKBSS) serta jawatankuasa penganjur
atas kesudian mengundang saya untuk bersama-sama dengan para hadirin sekalian
dalam satu lagi usaha kita ke arah mewujudkan perpaduan dan memperkukuh
kerjasama antara kaum melalui kebudayaan. Saya juga merakamkan penghargaan kepada
barisan kepimpinan PKKBSS kerana telah mengambil inisiatif baik mengadakan
cawangan persatuan ini di Sandakan.
Kita semua sedia maklum bahawa kebudayaan merupakan
salah satu medium penting bagi mewujudkan perpaduan kaum, di samping menjadi
penggerak dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk melalui industri
pelancongan negara. Kebudayaan juga mampu memperkukuh ikatan kerjasama antara
kaum apabila setiap kaum dapat menghayati budaya masing-masing serta memahami
budaya kaum lain. Melalui penghayatan budaya sendiri dan pengetahuan antara
budaya inilah dapat menjalin hubungan akrab antara kita sebagai rakyat
Malaysia.
Dengan adanya jalinan hubungan yang akrab ini seterusnya
akan melahirkan pula perasaan mesra sesama kaum yang akhirnya mencipta satu
suasana harmoni yang menyumbang kepada perpaduan kaum di negara kita. Di sinilah
keunikan negara kita berbanding di sesetengah negara lain. Kebijaksanaan pucuk
pimpinan negara yang telah menjadikan elemen kepelbagaian kaum ini sebagai satu
kekuatan tersendiri dalam mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan perpaduan telah
menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara secara lebih pesat.
Selain itu, unsur-unsur kebudayaan juga telah
menjadi satu produk dalam industri pelancongan negara. Kehadiran ramai pelancong
asing ke Malaysia kini telah menyebabkan industri pelancongan menjadi salah
satu sumber penyumbang pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan taraf
ekonomi sebahagian besar penduduk, khususnya mereka yang berkecimpung dalam
industri pelancongan dan terlibat dalam penghasilan produk pelancongan seperti
penggiat-penggiat seni kebudayaan.
Sehubungan itu, rakyat harus peka dan melihat hal ini
sebagai satu peluang bukan sahaja untuk menyokong usaha kerajaan memacu ekonomi
negeri ini tetapi untuk meningkatkan ekonomi keluarga masing-masing. Kerajaan
boleh merangka pelbagai dasar termasuk dasar pelancongan tetapi pada masa yang
sama haruslah diikuti dengan komitmen dan kesungguhan daripada rakyat untuk
sama-sama menjayakannya. Satu perkara yang harus difahami oleh rakyat ialah
kerajaan sentiasa bersikap adil kepada mana-mana komuniti dalam konteks
memperkenalkan budaya suku kaum ini. Justeru, peluang ini seharusnya diambil
oleh semua kaum kerana kerajaan tidak ingin ada mana-mana kaum yang berasa mereka
ketinggalan dan dipinggirkan oleh pihak kerajaan. Atas alasan inilah juga
kerajaan tidak menghalang penubuhan persatuan-persatuan yang berasaskan sesuatu
kaum asalkan penubuhan persatuan tersebut benar-benar dilakukan untuk menjamin survival kaum tersebut yang ingin
mempertahankan adat resam serta budaya turun-temurun dan bukannya atas
kepentingan yang lain.
Kebudayaan juga merupakan nadi penggerak ke arah
pembentukan masyarakat yang penyayang, bertimbang rasa dan bertanggungjawab.
Setiap kebudayaan mempunyai nilai-nilai positif yang mampu membentuk masyarakat
dalam kebudayaan tersebut untuk menjadi masyarakat penyayang, bertimbang rasa
dan bertanggungjawab. Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua persatuan kaum
di negeri ini supaya berusaha mengetengahkan nilai-nilai positif tersebut untuk
dikongsi bersama dengan kaum-kaum lain demi memastikan keharmonian dan
kemakmuran yang kita kecapi selama ini dapat bertahan sampai bila-bila.
Dalam pada itu, saya melihat kewujudan
persatuan-persatuan ini akan memberi ruang dan peluang kepada generasi muda
untuk terlibat dan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti berpersatuan. Dengan ini, persatuan bukan sahaja dapat
memainkan peranan sebagai media dan institusi latihan kepimpinan, malah secara
tidak langsung dapat membantu kerajaan mengurangkan beban permasalahan daripada
gejala sosial yang melanda generasi muda kita pada hari ini. Justeru, sukalah
saya menyarankan kepada seluruh generasi belia di negeri ini supaya menyertai
mana-mana persatuan kaum dan berusaha menonjolkan diri sebagai langkah awal
mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang.
Melalui pendekatan ini, saya percaya kita tidak akan ketandusan
pemimpin-pemimpin pelapis yang berwibawa untuk diketengahkan di peringkat
tertinggi sekaligus menjamin kelangsungan kemakmuran ekonomi yang kita nikmati
sekarang.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya
merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak penganjur kerana telah
memberi peluang kepada saya untuk hadir dalam majlis ini. Saya juga mengucapkan
tahniah kepada Tuan Haji Alipudin Puyon, Ketua Biro Agama UMNO Bahagian
Sandakan, dan juga kepada semua Ahli Jawatankuasa PKKBSS atas inisiatif
menubuhkan PKKBSS ini.
Dengan lafaz Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim, saya
dengan ini melancarkan Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bajau Sama Sandakan,
dengan rasminya. Sekian, terima kasih.