UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA HJ AMAN, KETUA MENTERI SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN PROGRAM COMBI DI KAMPUNG TINUSA II, SANDAKAN, PADA 20 DISEMBER 2006

 

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Haji Zakaria bin Edris,

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri)

 

  

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi mengundang saya  untuk merasmikan majlis ini. Saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur atas usaha gigih menjayakan program Communication for Bahavioral Impact atau singkatannya COMBI .  Apa yang lebih bermakna program ini dapat dijayakan dengan penglibatan dan kerjasama penduduk kampung di sini.

 

COMBI merupakan program yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).  Program ini telah dilaksanakan di beberapa negara dengan menunjukkan hasil yang membanggakan. Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah untuk menyedarkan dan menggerakkan masyarakat dalam pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit yang bertujuan meningkatkan taraf kesihatan mereka.

 

Di Malaysia, tumpuan utama program ini dilaksanakan dengan memfokuskan pencegahan dan pengawalan demam denggi. Manakala perlaksanaan program COMBI di kampung ini merupakan langkah proaktif dalam usaha membasmi nyamuk Aedes dan seterusnya mencegah wabak demam denggi.  Kerajaan Negeri menyambut baik usaha Jabatan Kesihatan menjayakan program ini di Sabah.  Saya difahamkan, program ini berasaskan konsep mengubah tingkah laku masyarakat dengan cara berkomunikasi. Setiap individu perlu mengambil bahagian dalam menjayakan perlaksanaan program ini.  Penduduk Kampung Tinusa II ini amat bertuah atas pemilihan sebagai kampung yang pertama melaksanakan Program COMBI di Sabah.

 

Kita menyedari bahawa wabak denggi sering berlaku di negara ini. Setiap tahun ada sahaja kes demam denggi dilaporkan berlaku sama ada di bandar atau di luar bandar. Sehingga ke hari ini belum ada ubat khusus yang boleh menghapuskan virus denggi ini secara kekal.

 

Pada tahun 2005 sejumlah 37,612 kes demam denggi dan 2,042 kes demam denggi berdarah dilaporkan di Malaysia. Manakala jumlah kematian untuk kedua-dua kes sejumlah 107 orang. Memandangkan keadaan yang semakin meruncing ini kita perlu mengambil langkah yang lebih proaktif demi menghapuskan wabak demam denggi ini.

 

Namun, kita juga perlu mengetahui bahawa demam denggi berpuca daripada gigitan nyamuk Aedes.  Sebenarnya semua kita pada hari ini juga terdedah kepada virus denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan yang menggalakkan nyamuk Aedes untuk hidup dan membiak. Justeru, kita perlu memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran kita.

 

Tanggungjawab membasmi nyamuk aedes ini bukan semata-mata terletak pada Kementerian Kesihatan atau kerajaan semata-mata, setiap pihak dan masyarakat keseluruhannya mesti sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan kawasan di sekeliling kita bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.  Setiap individu berperanan dalam memastikan tiada ruang untuk nyamuk Aedes hidup dan membiak.

 

Sebenarnya untuk mencegah berlakunya demam denggi adalah mudah. Setiap orang daripada kita mampu melakukannya. Caranya adalah dengan membuat pemeriksaan persekitaran di dalam dan di luar rumah agar tidak ada tempat-tempat atau bekas-bekas kosong yang boleh menakung air dan membolehkan nyamuk Aedes bertelur dan membiak.  Semua ini boleh dilakukan sekiranya setiap individu bersikap positif dan bersedia menghulurkan tangan dan berganding bahu bagi memastikan persekitaran tempat tinggal bersih dan selamat. Program gotong-royong membersihkan kawasan kampung umpamanya merupakan usaha yang positif. Aktiviti ini bukan sahaja menjadikan kampung kita bersih dan cantik malah apa yang lebih penting ialah taraf kesihatan kita semakin meningkat.

 

Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar jumlahnya untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat di negara ini. Semuanya ini disalurkan sama ada melalui atau program- program kesihatan atau melalui pelbagai aktiviti dan kempen yang bertujuan meningkatkan taraf kesihatan rakyat negara ini.  Aktiviti pembersihan kawasan sungai dan pantai dengan memungut sampah sarap umpamanya bukan sahaja dapat memastikan sungai dan pantai kita bersih, malah dapat meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan juga pengunjung di sekitarnya. Namun, ini akan menjadi sia-sia belaka jika masyarakat tidak menghargainya. Apa yang menyedihkan, terdapat di kalangan masyarakat kita yang bukan sahaja enggan bekerjasama, malah terus menjadikan sungai dan laut tempat pembuangan sampah yang ringkas dan cepat.  Kita dapat sama-sama sering menyaksikan dan menjumpai sampah, terutama beg-beg plastik yang dihumbang ke sungai atau laut itu akan tersangkut di dahan-dahan kayu. Apabila hujan, beg-beg plastik tadi akan menakung air. Apabila keadaan ini berlaku sudah pasti mudah bagi nyamuk Aedes untuk bertelur dan membiak.

 

Saya berharap program COMBI ini dan juga aktiviti-aktiviti yang dijayakan oleh kerajaan, pertubuhan sukarela dan NGO dapat memberikan impak yang lebih berkesan dalam usaha kita menyedarkan masyarakat tentang amalan menjaga persekitaran yang bersih dan meningkatkan taraf kesihatan umum. Marilah sama- sama membuat perubahan bukan sahaja terhadap diri dan keluarga malah perubahan untuk masyarakat umumnya dalam meneruskan amalan memelihara kesihatan diri dan kebersihan persekitaran alam kita.

 

Sekali lagi saya mengucapkan syabas kepada seluruh penduduk Kampung Tinusa II atas usaha positif dan komitmen menjayakan program ini. Saya berharap kampung-kampung lain di seluruh negeri menjejaki usaha murni ini. Penglibatan dan kerjasama setiap warga kampung dalam memastikan kebersihan di dalam dan di luar rumah serta di persekitaran kampung amatlah penting.  Kita tidak wajar mengharapkan orang lain untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga kita.  Kita sendirilah yang bertanggungjawab memastikan bukan sahaja diri dan keluarga kita sihat tetapi kebersihan persekitaran kita juga sentiasa terpelihara. 

 

Akhir kata, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan, Ahli-ahli Jawatankuasa Pelaksana dan seluruh warga Kampung Tinusa II yang sama-sama menjayakan program ini.

 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Program COMBI Kampung Tinusa II ini.

 

 

Sekian.  Terima kasih.