UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI, DATUK MUSA HAJI AMAN SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA DI MAGELLAN SUTERA HARBOUR RESORT, KOTA KINABALU PADA 13 SEPTEMBER 2006

 

Bersyukur kita  ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya jua sekali lagi kita dapat berkumpul pada hari ini untuk sama-sama merayakan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, selaku penganjur, yang sudi mengundang saya untuk bersama-sama dalam majlis yang meriah dan bermakna ini. 

 

Sambutan Hari Wanita ini perlulah disokong dan disertai oleh kita semua terutamanya kaum lelaki sebagai tanda penghargaan kita selaku suami, bapa dan rakan kongsi kepada wanita atas pengorbanan, usaha dan bantuan mereka, baik dalam kehidupan berkeluarga mahupun dalam kerjaya. Kita semua sama-sama berperanan dan bertanggungjawab dalam membangunkan bangsa dan negara demi kesejahteraan semua. 

 

Tema Hari Wanita tahun ini, “Kesaksamaan Gender, Rakyat Sejahtera” begitu signifikan terutamanya dalam konteks pembangunan dan kemajuan negara. Ini disebabkan kesaksamaan gender menjadi salah satu agenda penting dalam usaha kerajaan mencapai status negara maju berkonsepkan pembangunan seimbang yang memberikan hak dan layanan yang saksama kepada semua rakyat, sama ada lelaki mahupun wanita.  Selain itu, kesaksamaan gender juga merupakan salah satu matlamat Millennium Development Goal  (MGD) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu atau PBB yang perlu dicapai bagi mengukur pencapaian kemajuan negara di peringkat global. 

 

Selagi ketidaksaksamaan ini wujud, khususnya apabila masih ramai wanita yang tersisih daripada arus pembangunan, maka negara kita belum lagi boleh dianggap sebagai negara maju berlandaskan konsep pembangunan yang seimbang. Justeru, pembangunan dan kesaksamaan gender dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi dan sosial merupakan matlamat yang perlu dicapai untuk keharmonian dan kesejahteraan rakyat. 

 

Dalam hal ini, kerajaan amat komited untuk menjayakan matlamat ini dengan penggubalan beberapa dasar, antaranya Dasar Wanita Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Sosial Negara dan penetapan kuota 30 peratus wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam. Di bawah Rancangan Malaysia ke-9, teras kedua Misi Nasional telah menyentuh usaha memperkasakan wanita (empowering women) bagi membolehkan wanita melibatkan diri secara aktif dan berkesan dalam pembangunan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan ingin melihat lebih ramai kaum wanita terlibat secara langsung dengan pelbagai aktiviti perniagaan. Kerajaan yakin, dengan penglibatan dalam aktiviti perniagaan akan mampu mengubah status kehidupan mereka, khususnya kaum wanita di kawasan luar bandar. Dalam masa yang sama, kerajaan juga ingin melihat golongan wanita yang berpendidikan tinggi dapat memainkan peranan dalam membantu wanita luar bandar menceburi bidang perniagaan.

 

Selain itu, keperluan mengarusperdanakan gender atau gender mainstreaming melibatkan semua sektor pembangunan di semua peringkat juga diberi tumpuan dan penekanan di bawah RMK-9 dan Bajet 2007. Penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri sendiri memperkukuh lagi komitmen ini ke arah pencapaian kesaksamaan gender di negara ini. Saya difahamkan, salah satu keputusan jawatankuasa tersebut ialah pewujudan Gender Focal Point (GFP) di Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan dengan melibatkan pegawai-pegawai kanan bagi menentukan gender diarusperdanakan dalam pelbagai sektor pembangunan. Di peringkat antarabangsa, negara kita telah merintis jalan dalam usaha memperkasakan wanita dengan penubuhan “Non-Aligned Movement (NAM) Institute for Empowerment of Women”.

 

Di peringkat negeri, kerajaan juga memberi tumpuan kepada perkara ini. Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah juga sedang dalam proses mewujudkan Gender Focal Point di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9. Pegawai-pegawai yang dipilih akan diberi latihan secukupnya dalam bidang gender dan pembangunan supaya mereka dapat menganalisis dan mengesan impak pembangunan ke atas kedua-dua gender, baik dari segi  dasar mahupun dari segi perancangan program dan aktiviti pembangunan yang dilaksanakan. Dengan memahami konsep gender dan aspek-aspek teknikal tentangnya, pegawai-pegawai yang bertindak sebagai Gender Focal Point ini tahu apa yang perlu dilakukan untuk membawa perspektif gender dalam arus pembangunan perdana supaya  isu-isu gender  yang  membawa kepada ketidaksaksamaan gender dapat ditangani. 

 

Selain itu, Pelan Induk Pembangunan Wanita bagi Negeri Sabah menyediakan kerangka kerja dan hala tuju pembangunan wanita yang lebih menyeluruh meliputi aspek politik, ekonomi dan sosial untuk mencapai kemajuan secara bersama dalam arus perdana pembangunan. Dalam hal ini, saya menyeru agar usaha Majlis Penasihat Wanita Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Wanita mendapat sokongan sepenuhnya daripada semua pihak bagi membolehkan perancangan program dan aktiviti pembangunan wanita dapat dilaksanakan secara berkesan. Sokongan semua pihak amatlah diperlukan disebabkan isu-isu gender merentasi semua sektor pembangunan yang menuntut usaha bersama bagi menanganinya.

 

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut prihatin terhadap keperluan kaum wanita di Sabah yang memerlukan satu tempat khusus bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti secara efektif. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju menyalurkan peruntukan sejumlah RM14 juta bagi tujuan pembinaan Wisma Wanita. Pembinaan Wisma Wanita ini akan bermula sebelum akhir tahun ini.

 

Dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh golongan wanita dalam pembangunan pendidikan di negeri ini. Berdasarkan statistik daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, bilangan wanita yang memegang jawatan Pengarah Institut Perguruan ialah seramai 3 orang berbanding hanya seorang lelaki, sementara bagi jawatan Pengetua Sekolah pula, walaupun bilangan wanita yang menjawat jawatan ini masih kurang berbanding kaum lelaki tetapi dari segi jumlah penyandang telah memperlihatkan peningkatan yang boleh dibanggakan. Di negeri Sabah, kita mempunyai 75 orang Pengetua Sekolah daripada kalangan kaum wanita yang berkhidmat di seluruh negeri. Malah kita juga turut berasa gembira apabila pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah melantik daripada kalangan kaum wanita di negeri ini untuk memegang jawatan Pengarah Pelajaran Negeri.

 

Kerajaan sedar bahawa permasalahan yang dihadapi oleh kaum wanita merupakan isu nasional yang perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak. Kaum wanita pada hari ini sentiasa terdedah dengan pelbagai dugaan dan cabaran kehidupan terutamanya wanita yang telah berstatus ‘ibu tunggal’. Golongan ini mempunyai tugasan yang lebih berat dan mencabar berbanding dengan wanita-wanita lain kerana mereka telah memegang peranan sepertimana yang pernah dimiliki oleh seorang suami dan bapa. Justeru, Hari Wanita bukan sekadar sambutan dan perayaan semata-mata. Hari Wanita perlulah dijadikan sebagai medan untuk mengimbas kembali sejauh mana kemajuan yang dicapai dan peranan yang diperlukan untuk membawa kemajuan kepada golongan wanita.

 

Hari Wanita mempunyai makna yang tersendiri dan merupakan detik bersejarah yang menjadi lambang kejayaan perjuangan wanita yang perlu diingati sepanjang zaman. Dalam pada itu, saya ingin menyeru kepada seluruh kaum wanita dan kaum ibu yang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing supaya tidak mengabaikan tanggungjawab di rumah selaku tunjang kepada keluarga bersama suami. Kerajaan ingin melihat segala pendekatan yang dilaksanakan bukan sahaja dapat membawa perubahan yang lebih ketara terhadap pembangunan kaum wanita keseluruhannya tetapi dalam masa yang sama berupaya menambahkan keceriaan dan nilai kebahagiaan dalam rumahtangga. Dengan itu, pembangunan negara akan lebih bermakna di mata masyarakat umum.

 

Saya berasa gembira menyaksikan sambutan Hari Wanita juga dirayakan di semua peringkat Parlimen di Sabah, dan saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang menyediakan peruntukan bagi tujuan ini. Saya berharap Pengerusi-pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga di peringkat Parlimen yang dipertanggungjawabkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program ini di kawasan parlimen masing-masing dapat  membawa mesej dan rasional di sebalik sambutan ini ke peringkat akar umbi agar dapat difahami dan dihayati oleh semua peringkat.

 

Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang terpilih sebagai penerima Anugerah Wanita Negeri Sabah pada malam ini. Saya berharap pemberian anugerah ini akan menjadi pendorong untuk kemajuan wanita dan keluarga serta kesejahteraan masyarakat. Saya berharap, anugerah ini menjadi pendorong dan teladan kepada wanita lain untuk terus mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

 

Dengan harapan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan majlis sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2006.

 

Terima kasih.