UCAPAN KETUA MENTERI Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN DI MAJLIS PENUTUPAN TILAWAH AL-QURAN SAUDARA KITA PERINGKAT NEGERI 1427H./2006M. DI SMK MAT SALLEH II RANAU, PADA 5 OGOS

(Disampaikan oleh YB. Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,

Menteri di Jabatan Ketua Menteri)

 

Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat berhimpun pada malam yang mulia ini untuk sama-sama menyerikan dan menjayakan Majlis Penutupan Tilawah al-Quran Saudara Kita Peringkat Negeri 2006.   Saya yakin bahawa majlis yang diadakan ini akan memperkukuh dan menyemarakkan ukhuwah Islamiah.  Saya berharap nilai ini akan terus dipupuk dan ditingkatkan ke arah membina ummah yang bersatu padu, dinamik dan progresif. 

 

Kemajuan dalam Islam menghendaki penyeimbangan antara kemajuan dunia dan kebahagiaan akhirat.  Kejayaan umat Islam antara lain bergantung kepada kekuatan ilmu dan ekonomi di samping kekuatan rohani.  Mereka yang mempunyai kesedaran beragama di samping kekayaan harta merupakan aset yang penting terhadap masyarakat dan negara Islam.  Ini memandangkan mereka tentunya menjadi pembayar zakat dan pemberi sedekah jariah yang merupakan sumbangan bermakna kepada umat dan negara. 

 

Dalam ajaran Islam kita dapat melihat bahawa kekuatan agama harus beriringan dengan kekuatan ekonomi. Sehubungan itu, meningkatkan amal soleh harus disertai dengan usaha membasmi kemiskinan.  Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran bahawa kemiskinan boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur.  Peringatan Baginda ini secara langsung mengisyaratkan kepada setiap muslim supaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. 

 

Secara asasnya, kemiskinan dari sudut ekonomi dilihat pada kedudukan material atau kebendaan yang dimiliki seseorang, manakala daripada kaca mata Islam, kemiskinan mencakupi sudut kebendaan dan sudut kerohanian seseorang mahupun masyarakat.

 

Dalam usaha untuk membanteras kemiskinan kebendaan, Islam menganjurkan penganutnya supaya bekerja kuat untuk memperoleh rezeki atau pendapatan yang halal.  Ini akan membolehkan kita menunaikan kewajipan menyara keluarga dan tanggungan.  Pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan itu juga membolehkan kita melaksanakan kewajipan berzakat di samping memberikan sedekah, mewakafkan harta, dan memberikan hadiah sebagai satu cara untuk membersihkan rohani dan harta yang kita miliki.

 

Selain memerangi kemiskinan kebendaan, miskin kerohanian merupakan penyakit sosial yang lebih bahaya. Penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara hikmah agama Islam diturunkan. Pada zaman Arab Jahiliah, masyarakatnya hidup bergelumang dengan maksiat akibat kemelaratan rohani.  Justeru, Islam memandang berat ketinggian dan kekayaan rohani seseorang individu.

 

Dalam proses menjadi sebuah negara maju, usaha untuk membanteras kemiskinan sewajarnya mengambil kira kedua-dua aspek kemiskinan yang dimaksudkan, iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskinan rohani. Ini disebabkan kemiskinan akan mendatangkan banyak masalah terhadap proses pembangunan negara. Sehubungan itu, dalam kita terus mencatatkan kecemerlangan dalam pencapaian ekonomi, kerajaan akan terus berusaha memerangi kemiskinan rohani masyarakat.  Dengan usaha ini, kita berharap kadar kes jenayah, gejala negatif dan sebagainya akan dapat dikurangkan dan seterusnya dapat dibasmi sepenuhnya.

 

Salah satu strategi memerangi dua bentuk kemiskinan ini ialah dengan menghidupkan serta mengembalikan semula peranan masjid dalam membangun komuniti Islam dalam setiap lapangan hidup.  Sejarah membuktikan bahawa masjid menjadi titik tolak terbinanya peradaban Islam yang unggul pada kaca mata dunia sebagaimana yang pernah dirintis oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.  Dengan kata lain, institusi masjid merupakan tonggak utama dan terpenting yang mendasari pembentukan masyarakat Islam yang unggul memandangkan masyarakat Islam tidak akan terbentuk secara kukuh dan rapi kecuali dengan komitmen mereka terhadap Islam. Keadaan ini tidak boleh diwujudkan sama sekali kecuali dengan cara memakmurkan masjid.

 

Justeru, Islam menganjurkan umatnya supaya memakmurkan masjid dengan mengunjungi dan melaksanakan pelbagai bentuk ibadat, seperti solat berjemaah, bertadarrus al-Quran, mengadakan kelas-kelas pengajian dan pelbagai aktiviti sosial dan kebajikan. 

 

Jika diimbas kembali sirah Rasulullah, S.A.W. masjid digerakkan dan dihidupkan dengan tiga fungsi utama iaitu:

 

Pertama, masjid diimarahkan sebagai pusat ibadat, baik ibadat khusus mahupun umum.

 

Kedua, memanfaatkan masjid sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal melalui pelbagai saluran dan kemudahan yang dimiliki, seperti perpustakaan, khutbah jumaat, pengajian agama, ceramah agama dan kursus motivasi yang amat diperlukan oleh ahli kariah.

 

Ketiga, memperkasa institusi masjid sebagai pusat pembentukan kesatuan ummah agar umat Islam dapat memartabatkan diri mereka sebagai umat yang terbaik dan menjadi contoh di kalangan masyarakat dunia.

 

Ketiga-tiga fungsi ini sewajarnya disemarakkan sehingga dapat diangkat sebagai tempat untuk memperteguh keimanan dan menggilap kerohanian agar umat Islam meletakkan seluruh kehidupan mereka kepada Allah selaras dengan tuntutan Islam yang sebenar. 

 

Inilah komitmen dan tuntutan Islam yang sebenar untuk menjamin kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.  Semoga kita memperoleh natijah yang kita hajati dalam mengembangkan syiar Islam. 

 

Dengan kata-kata demikian, saya dengan rasminya menutup Majlis Tilawah Al-Quran Saudara Kita Peringkat Negeri 1427H./2006M.

 

Sekian, wabillahit taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.