TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM BERSAMA KURSUS KEPIMPINAN PENGAWAS SEKOLAH MENENGAH KALI KE-12 PERINGKAT KEBANGSAAN, BERTEMPAT DI GRAND BALLROOM 2, MAGELLAN SUTERA HARBOUR HOTEL, PADA 18 JULAI 2006

 

( Disampaikan oleh Y.B. Datuk Masidi Manjun

Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah)

 

Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya jua kita dipertemukan dalam majlis yang sungguh bermakna ini.  Saya mengucapkan tahniah kepada Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga Jabatan Pelajaran Sabah yang berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin muda di kalangan pelajar sekolah menengah dari seluruh negara untuk mengikuti Kursus Kepimpinan di negeri Sabah. 

 

Saya mengalu-alukan kedatangan para peserta dan mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar kerana terpilih mengikuti kursus ini dan bagi pelajar-pelajar yang pertama kali datang ke Sabah diharap dapat mengambil kesempatan ini untuk mengenali sosio budaya dan pembangunan di negeri ini dengan lebih dekat lagi.  Apabila balik nanti dapatlah bercerita kepada keluarga, rakan-rakan dan guru-guru di negeri masing-masing tentang pengalaman dan keseronokan ketika berada di negeri Sabah. 

 

Sesungguhnya majlis jamuan pada malam ini sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sumbangan yang telah diberikan selama ini.  Saya difahamkan pengisian kursus kali ini amat padat sekali dan yang menariknya, para pelajar telah membuat kajian lapangan di kawasan kampung di sekitar Kinarut dan melawat sekitar Kota Kinabalu, termasuk Muzium Negeri dan Universiti Malaysia Sabah.

 

Aktiviti ini secara tidak langsung mendekatkan diri pelajar dengan kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Sabah.  Kesempatan ini sudah tentulah memberikan kesempatan kepada para pelajar memperluas pengetahuan dan pengalaman tentang budaya dan cara hidup masyarakat di sesebuah negeri, khususnya negeri Sabah.  Melalui lawatan ke UMS pula, secara tidak langsung dapat memotivasikan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas meninggalkan alam persekolahan. 

 

Bagi pelajar-pelajar dari Sarawak dan Semenanjung, seandainya ditawarkan ke Universiti Malaysia Sabah, janganlah lagi menolak dengan alasan jauh, susah dan pelbagai alasan.   Saya pasti saudara-saudari sudah mendapat gambaran yang jelas tentang negeri ini, bukan hanya mendengar cerita daripada orang lain yang kadangkala memberikan gambaran yang negatif tentang suasana kehidupan di sini.  Sebenarnya, kehidupan rakyat di negeri Sabah amat unik jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

 

Aspek perpaduan rakyat di negeri ini amat cemerlang, kepelbagaian suku kaum, etnik, agama dan adat resam tidak menghalang mereka bercampur gaul dan bekerjasama antara satu sama lain.  Malah setiap orang mempelajari dan menghormati kepecayaan dan cara hidup orang lain tanpa rasa prejudis.  Sebagai pemimpin, keharmonian, keamanan dan perpaduan di kalangan rakyat amat penting kerana secara tidak langsung factor ini membantu kerajaan melaksanakan program pembangunan untuk meningkatkan sosio-ekonomi di negeri ini. 

 

Dunia hari ini serba mencabar.  Lebih-lebih lagi dalam mengharungi era globalisasi dan liberalisasi, kita tidak dapat mengelak daripada pengaruh-pengaruh luar yang adakalanya memberikan impak yang negatif, khususnya dikalangan golongan muda termasuklah para pelajar.  Penglibatan golongan muda dalam gejala sosial, misalnya penagihan dadah seperti syabu, jenayah seksual, gangsterisme, vandalisme, buli, adalah amat membimbangkan malah menakutkan masyarakat.

 

Saya yakin pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil pelbagai langkah bagi membendung gejala ini agar tidak berleluasa.  Dalam hal ini, pihak sekolah melalui kerjasama guru-guru dan pengawas-pengawas sekolah memain peranan penting dalam memastikan para pelajar mematuhi peraturan. 

 

Peranan mendisiplinkan pelajar bukan semata-mata tanggungjawab pihak sekolah, tetapi juga ibu bapa dan ahli masyarakat.  Selain menjadi ‘role model’ kepada anak-anak, keperluan emosi mereka perlu dipenuhi memandangkan kebanyakan pelajar yang terlibat dengan gejala sosial adalah terdiri daripada mereka yang kurang mendapat kasih sayang, tidak diberi perhatian yang sewajarnya, menghadapi tekanan perasaan yang boleh mengganggu emosi mereka.  Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama bagi membendung gejala sosial di kalangan remaja ini. 

 

Pemimpin datang dan pergi.  Warga belia termasuk pelajar, merupakan pelapis yang akan menggantikan pemimpin yang ada sekarang.  Saudara saudari merupakan generasi yang menentukan pencapaian matlamat wawasan negara.  Oleh itu, perkasakanlah diri saudara saudari melalui pengusaan pelbagai kemahiran dan pengetahuan di samping meningkatkan sahsiah dan etika diri agar dapat menggalas tanggungjawab sebagai rakyat dan pemimpin negara yang cemerlang. 

 

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pelajaran Sabah dan warga kerjanya yang terdiri daripada pegawai-pegawai, pengetua-pengetua, guru besar, guru-guru dan para pelajar serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.  Semoga sumbangan tuan-tuan, puan-puan dan saudara saudari diberkati Allah dan mendapat ganjaran yang sewajarnya.

 

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.