30 November,2005

 

 

Kerajaan Sedia Bantu Usaha Pendokumentasian Maklumat Sejarah

 

Oleh: Arshad Hussin

 

SEMPORNA: Kerajaan negeri sedia membantu usaha-usaha pendokumentasian dan mengumpul serta memelihara maklumat mengenai fakta sejarah Negara untuk tatapan generasi hari muka.

 

Aktiviti seumpama itu perlu diteruskan dengan penglibatan para penyelidik dan penulis bagi mengumpul bahan-bahan sejarah supaya ianya tidak lenyap begitu sahaja.

 

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran,berkata usaha murni itu akan sentiasa disokong oleh kerajaan negeri dan mengharapkan ianya terus disemarakkan supaya pengumpulan sebanyak mungkin maklumat sejarah di negeri Sabah yang belum diterokai sepenuhnya.

 

“ Kita berharap para penyelidik,penulis dan golongan ilmuan serta cendikiawan akan memberikan kerjasama erat bagi melakukan aktiviti pengumpulan fakta sejarah di negeri Sabah yang belum diterokai sepenuhnya sebagai tatapan generasi hari ini dan juga generasi akan datang,” kata datuk Nasir.

 

Datuk Nasir berkata demikian sempena merasmikan Majis Pengkisahan Sejara Yayasan Sabdi di salah sebuah hotel terkemuka di Semporna.

 

Hadirsama dalam majlis itu Pengarah Pengurusan Perolehan, Pendokumentasian dan Pusat Pandang Dengar Jabatan Arkib Negara, Haji Sallehuddin Abd Ghani, Pengerusi Yayasan Sabdi, Haji Abdul Rahman Tun Sakaran, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Salsidu Haji Ibrahim, Ketua Polis Daerah, DSP Abd Latif Ibrahim, Timbalan Yang diPertua USIA, Datuk Seri Panglima Dr.Hasbullah Taha, Timbalan Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Sabah, Kasno Paijan,pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan serta pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.

 

Datuk Nasir,berkata pengumpulan fakta sejarah melalui pengkisahan sejarah yang dilakukan Jabatan Arkib Negara bukan sahaja sebagai mengumpul bahan sejarah malah ianya akan dapat menyedarkan masyarakat mengenai rentetan awal sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin masyarakat, negeri dan perkembangan pembangunan negeri Sabah sebelum dan selepas merdeka.

 

Selain itu katanya, melalui aktiviti seumpama itu akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kaum dalam usaha menyemai kesedaran peri pentingnya sejarah kepada rakyat melalui program seumpama itu.

 

Yayasan Sabdi yang telah diwujudkan sejak tahun 1960an menjalankan kerja-kerja amal kebajikan untuk penduduk sekitar Daerah Semporna dan diterajui mantan TYT Tun Haji Sakaran bin Dandai.

 

Sebagai sebuah badan yang berteraskan kepada prinsip amal jariah, Yayasan Sabdi yang mengambil singkatan nama pelo[ornya, Sakaran Bin Dandai ( Tun Datuk Seri Panglima Dr. Sakaran Bin Dandai) telah menganjurkan pelbagai aktiviti serta program dalam usaha memberi perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat yang amat memerlukan.

Kini Yayasan Sabdi memiliki sebuah kompleks sebagai pusat pentadbiran yang menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana termasuklah Kompleks Inabah Kamal yang didirikan di atas sebidang tanah seluas 25 ekar  menempatkan Sekolah Agama (Madrasah Inabah Kamal), Asrama Anak Yatim, Pusat Pemulihan Akhlak, Masjid, Tadika Islamiyyah, Ma’ahad Tahfiz Al-Qur’an Wal Qira’at, Pusat Latihan Kursus dan Seminar serta Pusat Kesenian Islam yang menjadi satu wadah amal khairat yang sedang di lakukan oleh yayasan ini. Oleh: ARSHAD HUSSIN