UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN PERINGKAT JABATAN KETUA MENTERI, DI PERKARANGAN WISMA INNOPRISE, KOTA KINABALU, PADA 14 SEPTEMBER 2005

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Hj. Nasir Tun Sakaran,

Menteri di Jabatan Ketua Menteri)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera, Salam Merdeka dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-48 pada tahun ini. Pada hari ini, kita juga berkesempatan untuk meraikannya di peringkat Jabatan Ketua Menteri setelah kita menyambutnya pada peringkat negeri dan kebangsaan.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana sekali lagi kita telah diberi kesempatan untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara kita. Tidak ada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam keadaan aman dan sejahtera. Satu nikmat yang tidak semua bangsa di dunia ini dapat mengecapinya walaupun mungkin mereka telah merdeka daripada cengkaman penjajahan. Justeru, kerana itu, kita seharusnya bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang telah membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa dan negara Malaysia.

Hari ini, kita telahpun merayakan kemerdekaan yang ke-48 tahun. Jika dibandingkan dengan tempoh negara kita dijajah, jangka masa 48 tahun ini amatlah pendek. Negara kita sebenarnya telah dijajah hampir 450 tahun lamanya. Setelah kejatuhan Melaka di tangan Portugis, kita kemudiannya dijajah pula oleh Belanda, British dan Jepun. Justeru itu, sambutan yang kita raikan pada hari ini seharusnya tidak terlalu mementingkan kepada perkara-perkara keseronokan semata-mata tetapi hendaklah lebih kepada pengisian yang boleh menimbulkan lebih kesedaran kepada generasi kita betapa pentingnya kemerdekaan kini dipertahankan sepertimana warga terdahulu mempertahankannya.

Sebagai langkah untuk meneruskan kesinambungan rasa kecintaan terhadap tanahair, pada tahun ini, kita telah disarankan supaya menyambutnya di peringkat kementerian atau jabatan. Tujuannya ialah untuk menerapkan semangat kebangsaan dan patriotik di kalangan warga perkhidmatan awam di negara ini. Oleh itu, sambutan Hari Kemerdekaan di peringkat kementerian ini amat tepat sekali sebagai sumber untuk memperteguhkan semangat kebangsaan dan cintakan tanahair. Semangat sedemikianlah yang menjadi intipati kepada kekuatan negara. Dan semangat ini jualah yang menjadi landasan untuk kita sentiasa kukuh dalam mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.

Oleh yang demikian, kita haruslah menghayati erti kemerdekaan dengan sebenar-benarnya, seterusnya menyumbang ke arah memastikan kedaulatan kita sentiasa terjamin. Izinkan saya membawa saudara-saudari sekalian untuk berfikir sejenak dalam mengimbas erti kemerdekaan. Mungkin kebanyakan daripada kita amat sukar untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan berikutan sebahagian besar generasi pada hari ini merupakan generasi pasca merdeka atau lahir selepas 31 Ogos 1957. Kerana itu, adalah mustahil untuk anda semua dapat memikirkan keperitan serta kepayahan bagaimana kehidupan di zaman penjajahan dahulu dan juga bagaimana kesusahan yang dialami oleh masyarakat terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan tanahair yang tercinta ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menilai erti kemerdekaan dengan cara yang berbeza supaya kita dapat menghayati nilai sebenar kebebasan yang dikecapi pada hari ini.

Banyak faktor mampu menyumbang ke arah kemusnahan dan kemunduran sesebuah negara. Tambahan pula, pada masa kini, pengaruh global telah semakin rakus menyelinap masuk ke dalam budaya bangsa kita. Pendekatan secara halus inilah yang sebenarnya boleh mendatangkan kehancuran kepada kita dan seharusnya kita berusaha untuk mempunyai daya ketahanan diri yang tinggi agar kita sentiasa merdeka dalam segenap segi. Dalam masa yang sama, kita juga tidak akan terjejas oleh pengaruh global yang mungkin akan menghancurkan nilai-nilai murni bangsa kita.

Sejarah masa lampau merupakan cermin masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang telah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh para pejuang kemerdekaan masa dahulu supaya kita dapat menyumbang demi untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.

Sepanjang 48 tahun yang lalu, kita telah mengecapi nikmat pembangunan dalam pelbagai aspek. Jika dibandingkan dengan ketika negara mula-mula memperolehi kemerdekaan dahulu dengan kedudukan pada hari ini, taraf hidup rakyat sudah jauh lebih baik. Pembangunan fizikal negara juga amat memberangsangkan. Hari ini, kita telahpun berupaya memiliki pelbagai prasarana moden bertaraf dunia untuk dinikmati oleh semua rakyat. Selain peningkatan dan pembaharuan yang ketara ini, dalam masa yang sama, kita juga telah memperolehi pengiktirafan dunia apabila kita dilantik untuk mengetuai dua pertubuhan terbesar di dunia iaitu Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Ini semua menjadi bukti bahawa negara kita Malaysia telahpun melalui proses kematangan dan pendewasaan yang mana perkara ini turut mampu meletakkan negara kita untuk terus disegani dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

Sesungguhnya, kemerdekaan ini amat besar nilai dan ertinya. Kemerdekaan adalah lambang kebebasan, kedaulatan dan kejayaan, bukan sahaja kepada negara yang tercinta ini tetapi juga kepada setiap daripada kita, warganegara yang setia dan bernaung di bawahnya. Dalam pada itu, kita seharusnya tidak mudah merasa terkilan atau kecewa atas apa jua perkara yang berlaku dalam negara yang mungkin sedikit sebanyak merugikan kita, sebaliknya kita mesti sentiasa menanamkan rasa cinta kepada negara dan menjadikannya keutamaan untuk setiap masa.

Sebagai warganegara yang hidup dalam negara yang mempunyai keamanan dan kesejahteraan hasil titik peluh rakyatnya sendiri, kita semua mempunyai peranan masing-masing. Bukan sahaja kita sebagai individu tetapi juga organisasi yang kita wakili turut tidak terkecuali dalam memainkan peranan untuk membangunkan negara. Kerana itu, kita berusaha untuk meletakkan acara seperti yang kita adakan pada hari ini sebagai aktiviti pengisian secara tetap bagi mewujudkan kesedaran kepada setiap warga rakyat di negara ini tentang peranan masing-masing, tidak kira mereka adalah penjawat awam yang berkedudukan tinggi ataupun pekerja peringkat bawahan, harus sama-sama mempunyai semangat cintakan negara dan bangsa Malaysia.

Saya bersyukur kerana atas inisiatif pelbagai pihak dalam Jabatan Ketua Menteri ini, akhirnya program ini berjaya diadakan dengan sempurna. Kesempatan serta peluang ini harus kita gunakan sepenuhnya khususnya dalam sama-sama menghayati makna kemerdekaan, sekaligus membolehkan kita menyumbang ke arah memastikan kedaulatan dan kesejahteraan serta keselamatan negara kita terus kukuh dan kuat. Begitupun, ingin saya tegaskan di sini bahawa sumbangan yang paling berharga dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara ini sentiasa terjamin sebenarnya adalah "kesetiaan" kita kepada negara dan bangsa. Nilai kesetiaan ini bukanlah perkara yang boleh dijualbeli mahupun diperdagangkan. Ia merupakan benteng paling teguh terhadap maruah bangsa dan negara kita Malaysia.

Kita semua harus yakin terhadap ketinggian nilai kesetiaan kepada tanahair sendiri. Peri pentingnya kesetiaan itu adalah untuk menjamin kesatuan, perpaduan dan kemerdekaan bangsa kita yang berdaulat ini. Inilah salah satu sumber kekuatan bagi rakyat di negara ini mengekalkan keutuhan dan kesepaduan terutamanya di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Tidak akan bermakna kemerdekaan yang kita kecapi ini seandainya masih ada di kalangan kita yang tidak sepenuh jiwa dan raga menanamkan rasa setia terhadap negara dan bangsa. Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang mengkhianati negaranya sendiri akan mudah dijajah, ditakluki serta akhirnya mengalami kehancuran dan kebinasaan.

Kita harus sentiasa berusaha untuk menyatukan seluruh tenaga kita dengan segala kepakaran yang kita ada bagi memperkasakan bangsa dan membangunkan negara. Dengan segala usaha tersebut, mudah-mudahan kita akan sentiasa berupaya menikmati kemajuan dan kemakmuran yang saksama.

Atas kesempatan berhimpun pada hari ini, saya ingin menyeru kepada setiap daripada kita yang berada di Jabatan Ketua Menteri ini supaya menanamkan tekad serta azam untuk berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan berhemah tinggi. InsyaAllah, dengan kesetiaan kita kepada tugas dan tanggungjawab, negara dan bangsa, serta berpandukan kepada nilai-nilai keagamaan sebagai teras utama, kita akan dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat, merdeka dan sejahtera, sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara yang benar-benar Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Sekian.