UCAPAN PERASMIAN Y.A.B. KETUA MENTERI SABAH, DATUK MUSA HAJI AMAN DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN TAHUNAN PEGAWAI-PEGAWAI SYARIAH MALAYSIA KALI KE-7 DI HOTEL SUTERA HABOUR KOTA KINABALU, PADA 23 OGOS 2005

Al-hamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana kita semua dapat dipertemukan di dalam majlis yang penuh gilang gemilang ini. Sebelum saya memanjangkan ucapan saya, izinkan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAA Datuk Sheikh Ghazali B.Hj.Abd.Rahman, Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia di atas undangan beliau untuk saya turut serta bersama tuan-tuan dan puan-puan sekalian di dalam majlis ini. Sesungguhnya saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah amat berasa bangga dan mengalu-alukan kedatangan kesemua para Pegawai Syariah yang akan bersidang untuk kali yang ketujuh pada tahun ini di Negeri Sabah. Saya difahamkan ramai daripada kalangan Pegawai Syariah yang hadir kali ini merupakan kali pertama sampai di Negeri Sabah. Oleh itu pada kesempatan ini saya mengharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan sekalian dapat menggunakan dengan bijak kesempatan berada di sini untuk meninjau dan melancong di persekitaran Negeri Sabah yang penuh dengan keindahan alam semula jadi dan seterusnya jika ada kesempatan selepas persidangan bolehlah mendaki Gunung Kinabalu iaitu gunung yang tertinggi di Asia Tenggara yang terletak di Negeri Sabah.

Di samping itu juga, persidangan seperti ini secara tidak langsung berupaya memperlihatkan komitmen agensi pusat seperti JKSM melaksanakan usaha integrasi dalam pembangunan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam yang melibatkan semua jabatan kehakiman syariah negeri-negeri termasuklah Negeri Sabah. Ini semua adalah usaha ke arah mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam terutama sekali perkhidmatan yang diberi kepada umat Islam khasnya.

Merujuk kepada persidangan yang tuan-tuan dan puan-puan hadiri pada kali ini, saya difahamkan ia merupakan perjumpaan tahunan semua Pegawai Syariah dari pelbagai peringkat bermula dari yang paling tinggi hinggalah yang paling bawah yang terdiri daripada pelbagai disiplin tugas. Pertemuan sebegini amat penting di dalam sesuatu skim perkhidmatan dalam usaha merapatkan hubungan silaturrahim sesama sendiri di samping untuk meningkatkan kualiti dan profesionalisma skim perkhidmatan tersebut.

Perbincangan dan pertukaran buah fikiran dapat dilaksanakan dengan baik pada setiap kali perjumpaan seperti ini. Saya difahamkan tajuk perbincangan sentiasa berubah pada setiap tahun yang mencakupi pelbagai topik yang menyentuh tugas seharian Pegawai Syariah yang berkait rapat dengan kesejahteraan umat Islam dan juga tajuk-tajuk yang bersifat global mengikut perkembangan zaman yang sentiasa memerlukan kepada perubahan dan pembaharuan. Dalam persidangan pada kali ini juga, difahamkan satu topik baru akan diperbincangkan dengan panjang lebar iaitu Penyeragaman Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah yang bertujuan untuk memperkasakan perjalanan dan pengurusan Mahkamah Syariah. Dengan adanya kaedah-kaedah atau peraturan yang digubal khas oleh JKSM ini, diharapkan kes-kes Mahkamah Syariah dapat diurus dan diselesaikan dengan cara yang paling sempurna dan dapat memuaskan kehendak hati pelanggan Mahkamah Syariah iaitu umat Islam seluruhnya.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada tahun 1957 dan juga telah diterima oleh Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 ketika kedua negeri ini menyertai Malaysia adalah merupakan tunjang perpaduan kaum majoriti dan minoriti di negara kita ini yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama. Jaminan hak terhadap kebebasan beragama dan hak kaum minoriti sentiasa dijaga dan diambil perhatian yang serius oleh Kerajaan dan sememangnya Kerajaan sentiasa mengamalkan konsep nilai-nilai keadilan Islam di dalam menyusun masyarakat berbilang kaum dan agama termasuk di Negeri Sabah . Mereka dibenarkan mengamalkan adat istiadat kaum etnik dan agama masing-masing tanpa sebarang sekatan dan diskriminasi. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal seperti mana yang digariskan oleh Islam di dalam menjaga maksud syariah (Maqasid Syar’iyyah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atas alasan perbezaan kaum, etnik, jantina dan agama. Allah SWT menjamin hak seperti ini seperti yang dinyatakan dalam al-Qur’an ayat 13 di dalam surah al-Hujarat. Hasil daripada jaminan hak tersebut, semua rakyat tidak kira yang datang daripada kaum dan agama juga jantina yang berlainan, dapat menikmati nikmat yang ada di negara ini dan turut sama di dalam pembangunan negara, menyertai dalam pentadbiran negara, aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik.

Kerana itu di Negeri Sabah terdapat satu lagi badan kehakiman selain Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Anak Negeri. Saya kira Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum tentang hal ini. Mahkamah Anak Negeri ditubuhkan oleh Yang Dipertua Negeri melalui pemberitahuan dalam warta yang dikawal oleh Ordinan Mahkamah Anak Negeri Sabah Tahun 1992. Ia juga meliputi rakyat Sabah yang beragama Islam yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik. Untuk makluman Datuk-Datuk, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Mahkamah Anak Negeri lebih tertumpu kepada pertikaian mengenai pelanggaran adat sesuatu komuniti kaum itu sendiri. Keputusan bagi sesuatu kes di Mahkamah Anak Negeri tidak boleh berdiri sendiri tetapi ia perlu mendapat pengesahan Pegawai Daerah di kawasan berkenaan sebelum boleh dikuatkuasakan.

Menyentuh perkembangan Institusi Kehakiman Syariah di negara kita ketika ini, saya mendapati banyak kemajuan yang telah dicapai hasil usaha dan peranan aktif yang dimainkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman/Mahkamah Syariah Negeri-Negeri. Pertamanya syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kehakiman/Mahkamah Syariah negeri-negeri yang telah mendapat pengiktirafan persijilan MS ISO. Sesungguhnya pengiktirafan ini amat besar maknanya kepada Institusi-Institusi agama yang mana ini menunjukkan mereka boleh bersaing dengan sesiapa sahaja, malah ia adalah bersifat global kerana ISO adalah piawaian antarabangsa. Mendapatkan persijilan memang mudah, tetapi untuk mengekalkan kecemerlangan seperti mana yang tercatat pada sijil adalah susah. Oleh itu, saya mengharapkan pengurus-pengurus Mahkamah Syariah sentiasa peka dan memastikan khidmat yang diberi kepada pelanggan iaitu umat Islam sewajarnya setaraf dengan pengiktirafan yang diperolehi. Ia mesti nampak pada permulaan apabila seseorang itu mula untuk berurusan dengan Mahkamah Syariah, sebagai contoh pengurusan kaunter yang baik dan layanan telefonis yang mesra. Inilah trademark awal untuk memperlihatkan samada jabatan itu bagus ataupun tidak layanannya kepada pelanggan.

Bagi Kerajaan Negeri Sabah, kita turut menyokong langkah dan usaha Kerajaan Persekutuan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan dan pentadbiran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan sememangnya saya mengalu-alukan usaha-usaha tersebut. Saya mengharapkan langkah kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Cuma, bagi Negeri Sabah yang luas ini, kami memerlukan lebih ramai Pegawai Syariah dan kakitangan operasi dan kekurangannya amat dirasakan dan ia sedikit sebanyak mengurangkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada masyarakat. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri Sabah sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Pusat melalui JKSM untuk mengatasinya termasuk kemudahan prasarana bangunan Mahkamah Syariah di beberapa buah daerah.

Kerajaan Negeri Sabah juga telah bersetuju untuk menerima Perkhidmatan Gunasama Persekutuan Pegawai Syariah dan sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Pusat dan difahamkan ia telahpun berada di peringkat akhir. Doa dan harapan saya ia akan menjadi kenyataan dan pegawai-pegawai serta kakitangan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah seharusnya menerima berita ini dengan hati yang terbuka dan gembira kerana ia akan membuka peluang yang lebih luas kepada mereka di dalam banyak perkara antaranya ialah peluang kenaikan pangkat.

Akhir kalam, saya sekali mengucapkan lagi syabas dan tahniah kepada pihak JKSM, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Jabatan-Jabatan Kerajaan daripada Negeri Sabah yang terlibat secara langsung mengajurkan persidangan ini dengan jayanya dan terima kasih sekali lagi diucapkan kerana memilih Sabah sebagai tuan rumah persidangan dan dengan lafaz :

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Tahunan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali Ke-7.

Sekian.