17 Ogos,2005

 

 

Kerajaan Pandang Berat Kepentingan Pendidikan

 

Oleh: Arshad Hussin

 

 

KOTA KINABALU: Kerajaan amat memandang berat kepentingan pendidikan dalam memastikan generasi muda Negara ini mampu menjadi individu bertahap global sekaligus berpegang teguh kepada identiti mereka sebagai rakyat Malaysia dengan keupayaan memahami dan bertutur dalam bahasa pengantara antarabangsa sebagai ciri-ciri penting mencapai tahap demikian.

 

Sehubungan itu kerajaan mengalu-alukan penyertaan serta sumbangan syarikat-syarikat korporat membantu generasi muda Negara ini mencapai tahap tersebut bagi menjamin masa depan mereka (pelajar) lebih cemerlang dalam bidang pendidikan.

 

Menteri Di Jabatan ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, berkata pendekatan yang diperkenalkan Petronas Dagangan dalam menjayakan program Tabung Mesra dan Sudut Bacaan StreetSmart dapat membantu memupuk minat pelajar-pelajar meningkatkan pemahaman Bahasa Inggeris sekaligus mengasa kebolehan mereka dalam bahasa itu disamping memberi tumpuan kepada ilmu Kemahiran Hidup.

 

Kita berharap langkah murni Petronas Dagangan tampil memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah di negeri ini akan menjadi teladan kepada badan-badan korporat serta syarikat-syarikat korporat lain menganjurkan program berkaitan pendidikan demi menjamin masa depan generasi muda Negara ini lebih cemerlang,gemilang dan terbilang, kata Nasir.

 

Beliau berucap demikian sempena merasmikan majlis Penyerahan Sumbangan Dana Tabung Mesra PETRONAS Dagangan Berhad kepada sekolah-sekolah Wilayah Malaysia Timur di S.K. Dimpokuan Penampang.

 

Hadir sama dalam majlis itu Pembantu Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Jahid Jahim, Pengurus Besar Bahagian Jualan Runcit PETRONAS Dagangan Berhad, Amyn Mohamed Hussain, Wakil Kementerian Pelajaran Malaysia, Puan Maznun Mohd. Isa, Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan, Ahmad Staun, Wakil Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Awangku Jiar Pengiran Hj Deraman, Wakil Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak, Puan Haminah Lek dan Guru Besar SK Dimpokuan, William Sarimpok.

 

Sempena majlis itu Datuk Haji Nasir menyampaikan sumbangan PETRONAS Dagangan Berhad bernilai 540,000 kepada 18 buah sekolah di Malaysia Timur bagi mendirikan Sudut Bacaan StreetSmart.

 

Jumlah keseluruhan tersebut merangkumi RM210,000 disalurkan kepada tujuh buah sekolah terpilih di Negeri Sabah dimana setiap sekolah akan menerima sebuah Sudut Bacaan StreetSmart bernilai RM30,000 setiap sekolah sementara RM210,000 pula disumbangkan kepada tujuh buah sekolah di Negeri Sarawak manakala selebihnya RM120,000 disalurkan kepada empat buah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada projek Dana Tabung Mesra PETRONAS yang melibatkan 100 buah sekolah di seluruh Negara yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama PETRONAS Dagangan.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan Runcit PETRONAS Dagangan Berhad, Amyn Mohamed Hussain,berkata sumbangan Dana Tabung Mesra ini merupakan kesinambungan daripada program-program komuniti yang telah dilaksanakan PETRONAS Dagangan selaras dengan lain-lain program kemasyarakatan yang dijalankan PETRONAS yang menjurus kea rah meningkatkan mutu pendidikan Negara.

 

Program tersebut bertujuan menggalakkan suasana pembelajaran di kalangan pelajar khususnya di peringkat sekolah rendah dimana di bawah program tersebut dana dari Tabung Mesra digunakan untuk penyediaan Sudut Bacaan StreetSmart yang dilengkapi dengan lebih 500 buah buku yang berkaitan dengan subjek Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup.

 

Menurut Amyn Mohamed Hussain,buku-buku sedemikian dipilih selaras dengan hasrat kerajaan meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup di kalangan pelajar dan bertujuan memupuk minat para pelajar menguasai Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantara antarabangsa.

 

Kempen Tabung Mesra itu telah dilancarkan pada bulan Oktober 2001 bagi tempoh setahun dimana PETRONAS Dagangan telah memperuntukkan sebanyak satu sen kepada Tabung Mesra bagi setiap pembelian RM1 oleh pelanggan yang menggunakan Kad Mesra disemua stesen servis PETRONAS di seluruh Negara dan hasilnya PETRONAS Dagangan berjaya mengumpul sejumlah RM3.5 juta disepanjang tempoh kempen dan disalurkan kepada projek Sudut Bacaan StreetSmart.

 

Amyn Mohamed menambah, sumbangan Sudut Bacaan StreetSmart dari Dana Tabung Mesra itu akan dilaksana dalam dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan 30 buah sekolah yang telah bermula pada awal Mei 2004 sehingga Mac 2005 sementara fasa kedua melibatkan 70 buah sekolah dan telah bermula bulan April 2005 lalu.