UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN, KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SEMINAR SEHARI "KE ARAH PENINGKATAN PENGIMARAHAN MASJID DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN UMMAH"

& FORUM "MENANGANI GEJALA SOSIAL: KE ARAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT ISLAM HADHARI YANG CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG", AUDITORIUM TUN RAFFAE, YAYASAN SABAH

KOTA KINABALU, PADA 26 MAC 2005

(Disampaikan oleh Y.B. Datuk Seri Panglima Hj. Yahya Hussin,

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna)

Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya penganjuran Seminar & Forum anjuran USIA pada hari ini dapat diadakan untuk meninggikan syiar Islam ke arah kecemerlangan ummah, suatu misi yang sememangnya dituntut oleh agama kita. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada USIA kerana mengambil langkah yang baik ini dalam usaha mengimarahkan masjid dan surau. Saya difahamkan penganjuran seminar dan forum ini melibatkan usaha bersepadu daripada semua Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, khususnya pihak JAKIM yang membiayai sebahagian besar perbelanjaan penganjuran aktiviti dakwah.

Sesungguhnya penganjuran secara bersepadu ini menunjukkan komitmen dan tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama membantu Kerajaan dalam pembangunan dakwah yang berkesan, selaras dengan tuntutan agama. Sekali lagi saya ucapkan tahniah, terutama kepada USIA sebagai ‘Leading Role" merealisasikan program seumpama ini. Semoga kerjasama sedemikian akan diteruskan pada masa-masa akan datang, bukan sahaja di Kota Kinabalu, tetapi juga di daerah-daerah lain di negeri ini.

Sejak kebelakangan ini, kita melihat umat Islam di seluruh dunia berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan bencana gelombang ‘Tsunami’ yang melanda di beberapa negara di rantau ini termasuk negara kita. Kejadian ‘Tsunami’ dan bencana alam lain yang kita hadapi memberikan keinsafan betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan yang maha Esa. Kita menyedari dan merasakan bahawa dunia tempat kita hidup di atasnya penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Semua ini membuat kita berusaha mempersiapkan diri dengan pegangan keimanan yang kukuh, semangat yang kental dan penuh kesabaran serta ketabahan. Sementara di akhirat, perkara samiyyat sebagaimana yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran adalah tempat yang paling sempurna. Oleh yang demikian, untuk mencapainya, kita perlu melaksanakan kerja-kerja yang baik dan beramal soleh semasa hidup di dunia.

Hari ini kita kekurangan sangat ‘Role Model Cemerlang’. Untuk mencapai kecemerlangan hidup aspek yang perlu kita hayati adalah aspek agama. Kecemerlangan hidup kita hendaklah berpandukan unsur-unsur dan nilai-nilai Islam yang murni. Sifat-sifat Nabi Muhammad S.A.W. yang sungguh mulia, dinamik, jujur, ikhlas, rajin dan sayang menyayangi hendaklah dijadikan contoh kepada umat Islam. Islam menuntut kita hidup aman damai, mesra dan bahagia.

Untuk mencapai kecemerlangan dan ketaqwaan ummah, kita harus kembali membersihkan diri dan Allah amat menyukai orang-orang yang membersihkan diri. Di sinilah peranan besar masjid untuk membentuk ummah menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah. Masjid adalah lambang ketaqwaan dan perpaduan, syiar Islam serta pusat komunikasi antara manusia dan penciptaNya dan antara manusia sesama manusia. Seminar pengimarahan masjid ini adalah sangat relevan dalam usaha kita mengajak masyarakat kembali menyemarakkan masjid.

Sehubungan dengan penganjuran seminar ini, adalah menjadi harapan saya agar seminar ini mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan. Kepimpinan Organisasi Masjid perlu diperkemas dan dipertingkatkan. Aktiviti Masjid perlu dipelbagaikan dengan penganjuran aktiviti-aktiviti bukan sahaja tertumpu kepada ceramah-ceramah agama tetapi juga diperluaskan yang merangkumi aktiviti ekonomi, pendidikan dan sosial. Sudah sampai waktunya Institusi Pengurusan Masjid diurus dengan lebih profesional. Semua pihak perlu berganding bahu dan dilibatkan dengan pengurusan dan aktiviti masjid, sehingga matlamat pembinaan masjid dapat tercapai.

Pada kesempatan ini saya ingin menyentuh gejala-gejala sosial yang melanda masyarakat Islam hari ini. Kerajaan amat memandang berat masalah keruntuhan akhlak khususnya di kalangan remaja. Usaha bersepadu di antara semua pihak perlu diambil, berasaskan kesedaran bersama. Oleh yang demikian, saya memuji usaha USIA membantu Kerajaan seperti penganjuran forum menangani gejala sosial pada petang nanti. Ubat penyakit gejala sosial pada hari ini hanya apabila kita kembali ke ajaran agama berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Generasi muda berperanan besar dalam menentukan masa depan negara. Generasi muda mestilah bersiap sedia daripada segi moral untuk memikul tanggungjawab membangun negara. Dengan persediaan yang menyeluruh, terutama daripada segi ilmu dan kekuatan moral, generasi muda akan terus maju dalam arus pembangunan dan mampu menghadapi cabaran masa depan.

Negara kita memerlukan golongan muda yang berani, berketrampilan, proaktif dan dimanis untuk merealisasikan agenda wawasan pembinaan negara maju tanpa mengabaikan nilai-nilai murni, moral dan budaya. Permasalahan generasi baru hari ini memerlukan kerjasama secara bersepadu daripada semua pihak khususnya dalam menangani gejala sosial yang kurang sihat. Dalam era Globalisasi dan ICT ini, kemantapan generasi muda banyak bergantung kepada sejauh mana perkembangan fizikal dan kemajuan teknologi dapat diseimbangkan dan diharmonikan dengan perkembangan kerohanian. Dengan meletakkan kerohanian sebagai asas penting kepada pembangunan, ia berkait rapat dengan nilai-nilai kehidupan. Sempena majlis forum nanti, saya berharap para peserta dapat mendengar dan membahas untuk mencari jalan keluar penyelesaian dalam menangani gejala sosial ini.

Akhir kata, sekali lagi saya menyeru seluruh masyarakat Islam di negeri ini supaya bersama-sama berganding bahu mengangkat agenda negeri dan negara. Penerapan konsep Islam Hadhari yang dicanangkan oleh Kerajaan adalah suatu yang murni, perlu kita jayakan ke arah pembinaan ummah yang bertamadun, cemerlang dan gemilang.

Bagi pihak Kerajaan negeri Sabah, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Pelajar Cemerlang SPM 2004 Kebangsaan, Cik Nur Amalina Che Bakri yang hadir dalam majlis ini. Sesungguhnya sebagai remaja Islam yang bukan sahaja hebat dalam prestasi akademik, tetapi ketaqwaan beliau dalam ajaran agama perlu dicontohi oleh generasi muda kita pada hari ini dan yang akan datang. Saya mengharapkan akan lahir lebih ramai lagi orang seperti Cik Nur Amalina di negeri ini.

Dengan ucapan Bismillahir Rahmanir Rahim, saya merasmikan Majlis Seminar Sehari "Ke Arah Peeningkatan Pengimarahan Masjid Dalam Konteks Pembangunan Ummah" & Forum "Menangani Gejala Sosial: Ke Arah Pembentukan Masyarakat Islam Hadhari Yang Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang" pada hari ini.

Sekian dan terima kasih.