UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN SABAH, Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN, SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BAGI BIASISWA IHSAN, DI BILIK MESYUARAT, ARAS 3, WISMA INNOPRISE

PADA 19 OKTOBER 2004

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya maka kita dapat bersama-sama di majlis yang amat bermakna ini untuk melaksanakan Majlis Penyampaian Sumbangan bagi Biasiswa Ihsan pada pagi ini. Sumbangan tiga dermawan ini amat bertepatan dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, dan kita berharap semoga amalan ini menjadi teladan kepada semua.

Saya amat berbesar hati apabila diberitahu mengenai kewujudan program ini. Terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Kalimullah Bin Masheeril. Pewujudan Biasiswa Ihsan merupakan satu langkah yang sangat baik kerana program ini dapat membantu meningkatkan tahap pendidikan murid-murid sekolah khususnya di kawasan luar bandar. Kumpulan Yayasan Sabah telah diberi amanah dan kepercayaan untuk mengurus dana ini bagi tujuan yang murni seperti yang telah ditetapkan.

Saya difahamkan dengan dana yang ada ini, ia berupaya membantu seperti kata Tan Sri Khalil, seramai 530 orang murid-murid miskin di luar bandar. Saya berharap lebih ramai lagi individu dan organisasi-organisasi yang lain yang berkemampuan mencontohi langkah ini dan tampil ke hadapan untuk memberi sumbangan.

Selain itu, dengan adanya dana seumpama ini saya yakin lebih ramai murid yang tidak berkemampuan terbela untuk menikmati peluang pendidikan yang sama seperti rakan-rakan sebaya mereka yang tinggal di bandar. Melalui pendidikan yang sempurna akan mendorong masyarakat memahami erti kehidupan dengan lebih baik. Setiap individu mempunyai potensi untuk maju dan cemerlang jika mereka diberi peluang yang sewajarnya. Justeru itu saya yakin Biasiswa Ihsan ini akan mencapai matlamatnya.

Selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, dan sebagai wakil daripada Kumpulan Yayasan Sabah, saya amat berbesar hati menerima sumbangan ini daripada ECM Libra. Saya harap sumbangan yang disalurkan pada hari ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka seterusnya. Semoga langkah dan niat murni ECM Libra ini yang menderma untuk kebaikan ini mendapat balasan dari Tuhan dan diberkati oleh Allah s.w.t.

Sekali lagi, saya bagi pihak Kerajaan negeri Sabah, bagi pihak Yayasan Sabah saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada saudara Khairy bagi pihak ECM Libra kerana memberi sumbangan kepada Yayasan Sabah, kepada negeri Sabah khususnya untuk memberi biasiswa untuk memberi peluang kepada murid-murid kita yang tidak berkemampuan mendapat manfaat hasil daripada pemberian ini.

Sekian, Terima kasih.