UCAPAN Y.A.B. KETUA MENTERI, DATUK MUSA HAJI AMAN, DI MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT NEGERI SABAH 2004, HOTEL MAGELLAN SUTERA HARBOUR, KOTA KINABALU, PADA 14 JUN 2004

 

Saya ingin memulakan ucapan pada malam ini dengan dua rangkap pantun yang berbunyi;

Pohon meranti buah berangan,

Di ranting aru hinggap sang helang,

Guru berkualiti pemangkin kegemilangan,

Rakyat maju negara gemilang.

Di ranting aru hinggap sang helang,

Sekawan punai terbang bersilang,

Rakyat maju negara gemilang,

Martabat mulia jadi terbilang.

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan Inayah-Nya maka sekali lagi kita dapat mengadakan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua warga pendidik di Negeri Sabah kerana telah berjaya menjalankan amanah negara untuk mendidik para pelajar khususnya di negeri Sabah ini. Kerajaan negeri sentiasa menyokong para guru dan Jabatan Pendidkan Sabah dalam apa juga aktiviti yang dilaksanakan demi mendidik anak watan negeri ini. Sumbangan anda sesungguhnya telah memainkan peranan besar dan utama dalam pembangunan negeri Sabah, khususnya dalam pembangunan sumber manusia.

Sejajar dengan tema Perayaan Hari Guru pada tahun ini "Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan", saya menyeru kepada semua para pendidik agar mempertingkatkan kualiti perkhidmatan, sejajar dengan kehendak dan keperluan zaman ini yang semakin berat dan mencabar. Kerajaan yakin dan percaya bahawa dengan adanya guru yang berkualiti tinggi barulah bangsa dan negara kita akan mencapai kecemerlangan dan kegemilangan.

Majlis Makan Malam ini ditaja oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penat lelah dan usaha para guru dan Jabatan Pendidikan Sabah selama ini. Kerajaan dan rakyat Negeri Sabah, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pendidik atas perkhidmatan cemerlang anda selama ini.

"Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan", tema ini sudah pastilah memberi penekanan kepada dua perkara iaitu ‘Kualiti’ dan ‘Kegemilangan.’ Dua unsur utama dalam mengangkat martabat dunia pendidikan ke satu tahap yang lebih profesional ini adalah sejajar dengan fungsi bidang pendidikan itu sendiri iaitu sebagai agen pembentukan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan berketrampilan.

Globalisasi membawa kepada persaingan yang kian sengit termasuk dalam pasaran buruh. Dalam persaingan yang sedemikian, hanya mereka yang berkualiti tinggi lagi cemerlang saja yang akan berjaya dan mendapat tempat dalam pasaran buruh berkenaan. Persoalannya, bagaimana untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang bermutu tinggi? Dalam konteks pendidikan, pada fikiran saya perkhidmatan yang diberikan oleh guru-guru dan semua aktor atau mereka-mereka yang terlibat dalam sistem pendidikan mestilah cemerlang, memberikan perkhidmatan terbaik, bermutu tinggi dan mapan.

Saya bersetuju bahawa guru yang berkualiti akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan dan kegemilangan pelajar serta tahap pendidikan negara keseluruhannya. Oleh itu, adalah wajar bagi setiap warga pendidik untuk mempertingkat tahap pengetahuan dan kemahirannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya guru sentiasa dahagakan ilmu termasuk ilmu-ilmu baru, kaedah dan pendekatan baru dalam melaksanakan tugasnya. Saya percaya jika proses ini diambil guna oleh setiap guru, output dan ‘outcome’ yang dihasilkan semestinya akan bermutu tinggi sekaligus menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara. Seorang pujangga Barat pernah menyatakan bahawa "Only teachers who provide contagious learning will produce aspiring students".

Sesungguhnya peranan guru amatlah besar. Selain ibubapa, guru merupakan bukan sahaja sebagai pengajar tetapi juga sebagai pendidik, pemberi teladan dan pembimbing kepada anak didiknya. Justeru itu, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu pendidikan dan ketrampilan tertentu tetapi juga membantu membentuk sahsiah dan keperibadian murid-murid atau pelajarnya.

Sesungguhnya guru mewarnai system nilai dan norma yang akan dimiliki pelajar berkenaan. Dengan kata lain, aspek nilai atau ‘intangibles’ ini adalah sama pentingnya dengan aspek fizikal. Tidak ada gunanya memiliki prasarana dan kemudahan yang bertaraf dunia pertama tetapi memiliki minda dan budaya kerja yang bertaraf dunia ketiga. Sesungguhnya, kita tidak mahu melahirkan insan yang berilmu tinggi tetapi tidak bermoral, tidak berbudi bahasa dan tidak mengenang jasa ibubapa dan masyarakat yang telah banyak berkorban untuknya.

Kita tidak harus membiarkan arus globalisasi menghakis nilai murni dan jati diri pelajar dan masyarakat kita. Kita mestilah memperkasa hubungan kekeluargaan, memupuk dan membajai nilai-nilai murni dan budaya yang baik yang telah kita warisi sejak berzaman. Oleh itu saya menyeru dengan penuh ikhlas supaya setiap warga pendidik dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan.

Sesungguhnya, guru umpama bunga yang mengharumi orang disekelilingnya disamping dirinya sendiri. Saya percaya penghormatan untuk guru dalam masyarakat amatlah tinggi. Apabila seseorang itu telah menjadi seorang guru, guru itu akan dipanggil "Cikgu" di sepanjang hayatnya dan sentiasa disanjung tinggi oleh masyarakat. Teaching is a dignified profession that does not discriminate persons on the basis of race, religious beliefs, color, sex, gender, physical characteristics, age or place of origin.

Pertambahan penduduk dan petempatan baru menuntut peningkatan penawaran prasarana pendidikan. Bagi memenuhi permintaan ini, kerajaan sentiasa memberi komitmen yang tinggi dengan menyediakan peruntukan pembangunan yang besar dalam bidang pendidikan. Peruntukan yang besar ini adalah untuk menyempurnakan projek pembinaan sekolah rendah dan menengah, rumah guru, asrama dan pembangunan kemudahan pendidikan yang lain.

Dalam kesempatan ini, saya ingin menekankan bahawa guru semata-mata tidak memadai untuk melahirkan pelajar yang berkualiti lagi terbilang. Pada hemat saya, pihak pengurusan Sekolah dan Jabatan Pelajaran mesti memainkan peranan yang penting untuk mengurus guru-guru dan pelajar-pelajar dan mewujudkan satu sistem kerja yang berkesan lagi berwibawa supaya matlamat di atas tercapai. Oleh itu, saya ingin mencadangkan supaya Jabatan Pelajaran diperingkat negeri dan daerah akan berkerjasama dengan pihak pengurusan Sekolah di seluruh negeri ini bagi menghasilkan satu pelan tindakan pendidikan untuk membawa Sabah ke mercu yang lebih gemilang. Kita juga mesti meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan masyarakat dan negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain yang lebih maju di negara kita.

Seperti yang telah dinyatakan di awal tadi bahawa tanggungjawab dan cabaran para guru dalam melaksanakan tugas amatlah berat dan besar. Tanpa guru sudah pasti usaha pembangunan sumber manusia yang berilmu luas, berkemahiran tinggi tidak akan dapat dicapai. Sumber manusia yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang sebenarnya amat diperlukan dalam pembangunan negara demi mencapai wawasan 2020.

Sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada segala usaha dan jasa bakti kaum guru maka pada setiap tahun Sambutan Hari Guru diadakan diseluruh negara. Pelbagai anugerah diberikan seperti ‘Anugerah Tokoh Guru’, ‘Sekolah Harapan Negara’, ‘Guru Kreatif’ dan sebagainya disediakan.

Walaupun hadiahnya tidak seberapa tetapi nilainya amatlah tinggi sebagai tanda penghormatan negara kepada profesion perguruan di negara ini. Saya teringat pepatah Inggeris yang berbunyi "School teachers are given too much credits and too little cash" yang menggambarkan bertapa besarnya sumbangan para pendidik yang tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit.


Saya menyeru kepada para pendidik supaya lebih rajin berkreatif dan menghasilkan pelbagai jenis buku bacaan ilmiah yang boleh meningkatkan keilmuan dan kemahiran profesionalisme perguruan. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan tahniah dan penghargaan kepada guru-guru dari Sabah dan Sarawak yang telah bekerjasama menulis buku ProDELT (Profesional Development In English Language Teaching), di bawah seliaan Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Saya berharap buku ini akan dimanfaatkan oleh semua sekolah dan guru-guru di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah masing-masing.

Kerajaan Negeri Sabah serta seluruh rakyat Negeri Sabah juga mengucapkan tahniah kepada semua guru dan sekolah penerima anugerah kecemerlangan pada tahun ini. Semoga anugerah ini akan dapat meningkatkan lagi iltizam para guru di dalam berkreatif, berinovatif dalam mencipta alat-alat dan pendekatan-pendekatan baru dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing, demi meningkatkan kualiti dan prestasi pendidikan di Sabah khususnya.

Dengan lafaz Bismillah Hirrahmanir Rahim saya MERASMIKAN PELANCARAN BUKU ProDELT(Professional Development in English Language Teaching)

Sekian , wabillahi taufik walhidayah Wassalaamualaikum Warahmatullahi Warbarakaatuh. Terima kasih.