TEKS UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT LATIHAN DAKWAH KUDAT DI PUSAT LATIHAN DAKWAH KUDAT, PADA 14 MEI 2004

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Marilah kita bersama-sama panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan taufik dan hidayah-Nya, kita dilimpahi dan dikurniakan dengan pelbagai nikmat dan rahmat yang tidak ternilai harganya khususnya nikmat iman dan Islam, kemakmuran, kesejahteraan dan keharmonian yang kita kecapi.

Pada pagi ini, kita juga bersyukur kerana dapat bersama-sama meraikan majlis Perasmian Pusat Latihan Dakwah Kudat yang bersejarah ini.

Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sabah dan semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan program hari ini dengan jayanya. Selain daripada itu, kita juga telah berjaya melaksanakan tanggungjawab murni dalam perkembangan pendidikan Islam dan pembangunan rohani secara tersusun dan tertib khususnya di negeri Sabah dan negara kita Malaysia umumnya.

Kerajaan melaksanakan "Program Pembangunan Insan" untuk melahirkan rakyat yang berwawasan, berdaya maju, mampu bersaing dan cekal dalam mengorak langkah mengharungi cabaran globalisasi di samping penerapan nilai-nilai murni Agama Islam yang seimbang dunia mahupun akhirat. Dalam hal ini Islam tidak menghalang umatnya daripada mendapat apa jua kecermerlangan yang dihajati seperti kekayaan harta benda, ketinggian ilmu pengetahuan, kecergasan serta kesihatan tubuh badan dan sebagainya asalkan berpaksikan kalimah tauhid yang benar. Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan dan tamadun Islam pada era kegemilangan Islam yang lampau bermula dari titik perpaduan di kalangan Muhajirin & Ansar Sebagai langkah jitu kepada pembentukan Islam yang maju dan harmoni serta disegani. Ini bertepatan dengan kata-kata sahabat yang masyhur iaitu kata-kata Saidina Ali Karramallahu Wajhah yang patut dihayati iaitu:

"Bekerjalah kamu untuk kehidupan duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan Beribadahlah untuk kehidupan Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari".

Bersesuaian dengan semangat Maulidur Rasul yang baharu sahaja dirayakan, marilah kita melihat tentang inspirasi "Negara Maju Matlamat Kita", yang menjadi tema Sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Walau bagaimanapun negara maju yang kita inginkan bukanlah negara maju yang rakus mengaut keuntungan dengan cara yang tidak sewajarnya. Negara maju yang menjadi wawasan kita bersama adalah sebuah negara yang rakyatnya hidup bersatu, mempunyai nilai-nilai moral dan etika yang tinggi, hidup dalam masyarakat yang demokrasi, liberal, bertolak ansur, penyayang, pengagihan ekonomi yang saksama, progresif, makmur, mampu bersaing dalam semua bidang ekonomi, dinamik, cergas serta kental dalam keperibadian dan mampu menempuh dugaan hidup

Justeru saya berpendapat, usaha yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) menerusi terjemahan aspirasi kedua-dua institusi ini yang membawa kepada penubuhan Pusat Latihan Dakwah Kudat (PLDK) ini merupakan usaha terbaik dalam mengorak langkah menggilap generasi pelapis untuk melahirkan kader-kader dakwah yang beriman, berilmu dan beramal demi keutuhan agama dan bangsa selain memberikan kita kekuatan untuk mencapai matlamat ini.

Di masa hadapan negara kita menaruh harapan yang tinggi agar kecemerlangan ilmu dan kemantapan iman yang memancarkan kegemilangan syakhsiah ini terus digilap dalam mencapai matlamat hidup kerana ia menjadi prasyarat penting dalam mencapai kejayaan dan kecemerlangan ummah.

Dalam hal ini, agama Islam amat menuntut umatnya agar sentiasa melakukan perubahan dan meningkatkan kemajuan dari semasa ke semasa. Tuntutan perubahan dan kemajuan dari satu tahap ke satu tahap hendaklah menjurus ke arah yang lebih baik daripada sedia ada sama ada daripada segi jasmani (fizikal) mahupun rohani (spiritual). Walau bagaimanapun, Islam tidak membenarkan umatnya mengabaikan salah satu keperluan hidup dengan memberi tumpuan hanya kepada satu aspek sahaja. Oleh itu, dalam menyediakan keperluan akhirat, Allah S.W.T sentiasa mengingatkan supaya umatnya tidak lupa kepada keperluan di dunia dengan membina kehidupan yang baik dan tidak mengabaikannya. Ia dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T dalam surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud :

"Dan Tuntutlah Dengan Harta Kekayaan Yang Telah Dikurniakan Allah Kepadamu Akan Pahala Dan Kebahagiaan Hari Akhirat Dan Janganlah Engkau Lupakan Bahagianmu (Keperluan Dan Bekalan) Dari Akhirat."

Dalam menghadapi cabaran-cabaran hidup dewasa ini, kita mestilah berani berjuang mempertingkatkan jatidiri sebagai umat Islam dan bangsa Malaysia yang lebih bertanggungjawab terhadap masa depan negara kita. Aspek ini amat penting dan saya percaya akan dapat dilaksanakan melalui pembangunan insaniah yang akan mencorakkan masyarakatnya dengan nilai-nilai murni dan akhlak mulia, dinamik serta menjadi pemimpin Islam yang berwawasan dalam merencana agenda pembangunan masyarakat Islam sekaligus memperkuatkan perpaduan dan keutuhan ummah.

Tambahan pula, suasana kehidupan di era globalisasi ini menyaksikan umat Islam sering disogok dengan propaganda Barat melalui kecanggihan teknologi terutamanya dalam bidang teknologi maklumat yang mereka kuasai. Secara tidak langsung, gambaran ini menuntut kita untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bukan sahaja di dalam bidang keagamaan bahkan mencakupi ilmu sains dan teknologi, sains politik, sains sosial dan banyak lagi.

Sesungguhnya peranan dan tanggungjawab kita selaku umat Islam yang hidup pada hari ini iaitu umat akhir zaman ini amatlah besar. Kita semua adalah pemikul amanah Allah S.W.T sebagai generasi yang menjadi contoh bukan sahaja dalam kecemerlangan hidup seharian bahkan menjadi pembimbing masyarakat dan pencetus idea perubahan yang positif dalam mengislahkan lagi masyarakat di negeri Sabah ini khususnya dalam mengukuhkan lagi budaya Islam dalam segenap bidang kehidupan kita.

Inilah yang menjadi salah satu matlamat utama Kerajaan untuk meningkatkan lagi martabat pendidikan agama Islam di kalangan anak bangsa kita agar mereka dapat memberikan sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara. Malah situasi ini dapat menyuburkan lagi keharmonian kaum pelbagai bangsa di negeri ini. Namun, matlamat ini hanya akan dapat dilaksanakan dengan adanya penggemblengan tenaga dan usaha berterusan semua pihak termasuk Kerajaan, masyarakat, ibu bapa dan juga individu sekaligus merubah persepsi pemikiran masyarakat agar menjadikan Islam sebagai landasan kehidupan yang sebenar.

Sempena perasmian Pusat Latihan Dakwah Kudat, pada hari ini, marilah kita sama-sama beriltizam untuk memainkan peranan yang penting sebagai penggerak untuk mencapai apa yang kita cita-citakan selama ini. Gesaan yang ditonjolkan oleh Islam begitu kuat sekali sehingga dapat menggerakkan kejayaan yang besar sepertimana Islam telah menundukkan kekuasaan Rom di sebelah barat dan kekuasaan Parsi di sebelah Timur pada suatu ketika dahulu.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan Kerajaan agar Pusat Latihan Dakwah Kudat (PLDK) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan dapat meneruskan tradisi ilmuan Islam serta memartabatkan kecemerlangan ilmu, meningkatkan keperkasaan bangsa dan memelihara kemurnian serta ketinggian agama Islam pada dekad-dekad mendatang. Seterusnya marilah kita mengukuhkan tekad dan semangat bekerja sebagai satu pasukan dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab sebagai penyumbang kepada peningkatan martabat agama dan bangsa kita. Semoga tahun ini membuka lembaran tersendiri dalam lipatan sejarah kecemerlangan Pusat Latihan Dakwah Kudat mahupun negeri Sabah sendiri. Semoga usaha murni ini akan mendapat ganjaran pahala dan diberkati oleh Allah S.W.T.

Dengan itu, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan majlis perasmian Pusat Latihan Dakwah Kudat ini. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Pusat Latihan Dakwah Kudat ini.

Sekian, terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.