UCAPAN KETUA MENTERI SABAH, Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN DI MAJLIS PELANCARAN PESTA KAAMATAN PERINGKAT NEGERI SABAH TAHUN 2004 DI DEWAN TUN MUSTAPHA, KUDAT

PADA 1 MEI 2004

Saya berasa bangga dan gembira kerana dapat bersama Tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini bagi melancarkan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2004

Pesta Kaamatan merupakan salah satu upacara dalam kalendar perayaan- perayaan Negeri Sabah yang telah diraikan sejak sekian lama dan mempunyai pertalian yang paling bermakna dengan sukukaum-sukukaum bumiputera yang meraikan dan menghayatinya. Malah, sejak kebelakangan ini, Pesta Kaamatan semakin diterima sebagai perayaan bagi semua kaum di negeri ini.

Pemilihan Kudat sebagai pusat pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan pada tahun ini adalah kena pada tempatnya. Kudat mempunyai latarbelakang sejarah dan juga komposisi masyarakat berbilang kaum serta potensi ekonomi dan pelancongan untuk membawa Negeri Sabah kepada kemakmuran yang lebih gemilang.

Sebagai antara pusat pentadbiran yang awal semasa di zaman penjajah dahulu, kedudukan Kudat yang penting dan berperanan juga sebagai pusat perdagangan menjadikan nama Kudat sering disebut dalam penerbitan – penerbitan tempatan dan luar negeri sejak awal abad keduapuluh lagi.

Walaupun pada satu ketika peranan dan kemasyhuran Kudat telah agak pudar, namun Kudat telah semakin menyerlah dan dikenali semula ekoran usaha-usaha membangun dan memajukan daerah ini dalam semua bidang.

Kita telah menyaksikan satu era pembangunan dan pemodenan pekan Kudat dengan kepesatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Pekan Kudat telah melalui satu era transformasi yang hampir mengubah keseluruhan wajah dan ciri-cirinya daripada sebuah pekan yang pernah dijolok sebagai "sleepy town" kepada sebuah bandar indah yang kini boleh berbangga dengan berbagai-bagai kemudahan yang lengkap dan moden. Kudat kini menjadi tempat kebanggaan dan tumpuan menarik bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga pengunjung–pengunjung dari luar daerah termasuk pelancong asing.

Setiap tahun Pesta Kaamatan diraikan dengan berbagai-bagai acara yang melambangkan betapa kayanya tradisi dan budaya tempatan, khususnya suku kaum Kadazan-Dusun-Murut. Kebudayaan dan kesenian tradisi ini adalah unik dan eksklusif bagi negeri Sabah dan merupakan satu aset bukan sahaja dalam mengekal dan mengembang kebudayaan suku kaum Kadazan-Dusun-Murut tetapi juga sebagai khazanah dan warisan bangsa yang perlu dipelihara, dikembang dan disebarkan secara meluas demi kesinambungan budaya generasi akan datang.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita semestinya berbangga dengan kepelbagaian budaya yang unik yang turut mewarnai keindahan dan keistemewaan Sabah dan Malaysia di kalangan masyarakat antarabangsa.

Pada hari ini Malaysia amnya dan Sabah khususnya sudah terkenal di hampir seluruh pelosok dunia sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa yang hidup dalam suasana aman, bersatupadu dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun mempunyai perbezaan daripada segi sukukaum, bangsa dan kepercayaan dan adat resam. Sebenarnya keunikan inilah yang menjadi teras perpaduan dan kecemerlangan bangsa Malaysia sehingga menjadi negara contoh kepada negara-negara lain di dunia yang sering menghadapi berbagai-bagai masalah sosial dan politik sehinggakan mengancam kewujudan negara-negara tersebut.

Kita di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya bernasib baik kerana dapat hidup dalam suasana aman damai dan makmur disebabkan kesediaan masyarakat kita mengiktiraf hak dan perbezaan yang ada di kalangan penduduk berbilang kaum. Selama ini "Unity in Diversity" telah mendorong kita untuk berusaha dengan lebih keras dalam memastikan bahawa rakyat dan generasi akan datang akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran.

Selain menyumbang kepada perpaduan dan pencorakan budaya berwarna-warni, tradisi dan kebudayaan sukukaum yang dimanifestasikan melalui perayaan seperti Pesta Kaamatan pada hari ini sebenarnya telah menjana satu lagi sumber pendapatan negara dan negeri Sabah khususnya melalui industri pelancongan.

Negeri Sabah yang begitu kaya dengan tarian tradisi, muzik, pakaian dan juga kraftangan tradisi seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini telah berupaya menarik pelancong asing berkunjung ke negeri ini untuk menghayati secara lebih dekat sesuatu yang dianggap unik dan mempunyai sentuhan tersendiri.

Aset ataupun daya tarikan ini mempunyai potensi yang besar untuk diperluaskan lagi agar negeri Sabah dapat terus dipromosikan sebagai satu destinasi pelancong yang terkenal bagi pelancong-pelancong asing. Ini akan mempunyai kesan gandaan (multiplier effect) ke atas ekonomi negeri ini di mana sektor perhotelan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain juga akan turut berkembang di samping menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. Kesan kepada ekonomi negeri Sabah pada keseluruhannya ialah peningkatan pertumbuhan ekonomi. Seperti mana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum industri pelancongan berupaya memberi sumbangan yang besar kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara sehinggakan terdapat banyak negara di dunia ini yang bergantung secara "substantial" kepada industri pelancongan dalam mengekalkan kemakmuran dan kekayaan negara.

 

Tema Perayaan Kaamatan tahun ini iaitu "Padi Teras Kehidupan dan Keharmonian" adalah bertepatan dengan sambutan tahun padi antarabangsa pada tahun ini memandangkan bahawa padi merupakan sumber penting bagi rakyat di luar bandar yang bergantung kepada penanaman padi sebagai sumber rezeki. Malah padi adalah sumber dan keperluan hidup manusia sejagat. Di samping itu sejak zaman berzaman, penanaman dan penuaian padi merupakan aktiviti ekonomi dan sosial yang menjalin keharmonian masyarakat luar bandar negeri Sabah melalui amalan gotong royong yang telah menjadikan perhubungan keluarga dan masyarakat setempat menjadi lebih kukuh.

Tema Perayaan Kaamatan ini akan tersebar secara meluas di seluruh negeri kerana perayaan ini akan juga dilancarkan di peringkat daerah bermula dari pelancaran hari ini. Selain berpeluang berinteraksi antara satu sama lain, perayaan-perayaan di peringkat daerah nanti akan menambahkan lagi kemeriahan dan penghayatan tema tersebut di kalangan rakyat akar umbi yang merupakan teras masyarakat khususnya di kawasan luar di bandar negeri ini.

Sepertimana yang kita sedia maklum, kemuncak perayaan Pesta Kaamatan ialah pelancaran majlis Penutupan Peringkat Negeri yang akan diadakan di Kota Kinabalu di hujung bulan Mei ini. Hari-hari tersebut iaitu pada 30 dan 31 Mei merupakan peristiwa yang penting dalam kalendar perayaan-perayaan Negeri Sabah di samping perayaan rumah terbuka Tadau Kaamatan Peringkat Kebangsaan yang juga dijangka akan diadakan di Kota Kinabalu pada 28 Mei ini.

Penganjuran Pesta Kaamatan di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan jelas membuktikan pengiktirafan Kerajaan negeri dan Persekutuan terhadap Pesta Kaamatan ini yang eksklusif bagi negeri Sabah.

Dengan ini saya dengan segala sukacitanya merasmikan Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2004. "Selamat Menyambut Pesta Kaamatan - KOTOBIAN TADAU TAGAZO DO KAAMATAN".

Sekian, terima kasih.