TEKS UCAPAN Y.A.B KETUA MENTERI SABAH, DATUK MUSA HAJI AMAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN LAGU, LOGO, MASKOT DAN TEMA SUKAN SABAH (SAGA) PERTAMA TAHUN 2003, DI GRAND BALLROOM 1, MAGELLAN WING, SUTERA HARBOUR KOTA KINABALU, PADA 10 JULAI 2003

(Disampaikan oleh YB. Datuk Seri Panglima Hj. Lajim Hj. Okin,

Timbalan Ketua Menter/Menteri di Jabatan Ketua Menteri)

 

Negeri Sabah amat bertuah sekali di mana kita telah dapat melahirkan atlet bertaraf antarabangsa, pemimpin sukan yang berkaliber, pentadbir dan pegawai sukan yang berkeupayaan mengurus serta pemimpin yang dedikasi. Kejayaan ini mula tercatat dalam lipatan sejarah pembangunan sukan sejak tahun 1960-an lagi. Tradisi kecemerlangan ini dapat kita teruskan dan mantapkan sehingga kini. Nama-nama seperti Gabu Piging, Ramli Ahmad, James Wong, Hassan Sani, Peter Rajah, Martin Guntali, Michelle Koh, Lim Keng Liat dan ramai lagi tidak dapat kita nafikan sumbangan mereka kepada negeri Sabah. Mereka inilah duta-duta sukan yang membuatkan Negeri Sabah digeruni. Mereka inilah juga menjadikan Malaysia gemilang dan disegani di peringkat antarabangsa.

Pemimpin, pentadbir, pegawai serta jurulatih dan pengadil turut menyumbang dalam mempopularkan Negeri Sabah dalam arena sukan. Kemampuan menganjur beberapa acara sukan bertaraf nasional, antarabangsa, dan dunia bukan lagi sebagai kayu pengukur kejayaan. Kemampuan anak-anak jati Sabah tidak lagi boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Sebaliknya, kecemerlangan demi kecemerlangan yang dicatat dijadikan sebagai "bench mark" kepada pemimpin sukan di peringkat kebangsaan dan rantau ini. Pendapat dan cadangan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin sukan negeri juga diberi perhatian dan digunapakai di peringkat kebangsaan. Ini adalah kejayaan sebenar yang harus kita kejar di sebalik kejayaan mendapat pingat dan pengiktirafan. Catatan rekod akan lenyap apabila ada yang lebih baik dan berkebolehan mengatasi kecemerlangan rekod yang telah tercatat. Akan tetapi sumbangan pemikiran kritis ke atas pembangunan sukan negara akan kekal selama-lamanya.

Walau bagaimanapun, selaku bekas atlet, saya juga dapat merasakan keperitan yang dilalui oleh para atlet, jurulatih, pentadbir dan semua yang terlibat dalam usaha memartabatkan sukan tanah air. Untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan tidak ada jalan singkat. Pengorbanan, disiplin dan komitmen yang tinggi adalah amat penting. Selain daripada itu, untuk menjadi yang terbaik di antara yang terbaik, seseorang atlet memerlukan semangat juang yang tinggi lebih daripada keupayaan fizikal, mental dan spiritual. Ekspektasi atau harapan yang terlalu tinggi, memungkinkan seseorang atlet dan para pentadbir sukan melakukan sesuatu di luar daripada batas-batas kesukanan seperti menggunakan dadah dan rasuah. Gejala ini sudah tentulah menjejaskan segala usaha yang telah dilaksanakan selama ini dan memusnahkan harapan serta wang berjuta yang dibelanjakan bagi meningkatkan mutu sukan negara. Saya berharap perbuatan yang tidak beretika ini dapat dihindari dalam pengurusan sukan dan juga dalam semua aspek kehidupan.

Di negeri-negeri lain seperti Sarawak , Pulau Pinang dan Selangor, temasya sukan tahunan telah lama diadakan. Maka tidak hairanlah negeri-negeri tersebut mampu mempertahankan status sebagai kontinjen elit Sukan Malaysia (SUKMA) pada amnya. Di Sabah juga, pada masa dahulu, kita mempunyai siri sukan "Hone Cup" dan kemudiannya dikenali sebagai "The Sabah Cup". Siri sukan Sabah ini yang diadakan pada setiap tahun telah berjaya melahirkan ramai jaguh sukan negeri Sabah selain memberikan kesempatan untuk meningkatkan kecemerlangan sukan. Kita memang berhasrat untuk mengekalkan kegemilangan ini dan ingin mewujudkan semula sukan Sabah (SAGA) ini sebagai menggantikan temasya sukan Sabah dahulu yang telah dihentikan lewat tahun 70-an. Saya yakin bahawa penganjuran SAGA secara dwi-tahunan yang pertama ini, mampu membawa kontinjen negeri Sabah seiringan dengan kontinjen elit di Malaysia.

Walau bagaimanapun, untuk merealisasikan impian tersebut memerlukan sokongan kewangan yang tinggi. Dari itu saya mempelawa badan-badan korporat yang beroperasi di Sabah untuk mewujudkan "smart partnership" sama ada sebagai penaja utama atau penaja peralatan dan pakaian. Saya yakin melalui jalinan jangka panjang ini, kedua-dua belah pihak iaitu penganjur (kerajaan negeri) dan badan-badan korporat akan mendapat faedah yang berterusan dan berkekalan seperti penganjuran SUKMA dengan PETRONAS. Melalui perkongsian bijak seperti ini pihak penaja pastinya mendapat exclusive rights dan mileage dalam usaha mempromosi SAGA. Saya juga sedar bahawa liputan SAGA tidaklah sehebat SUKMA,COMMONWEALTH GAMES dan OLYMPIC GAMES. Walau bagaimanapun perkongsian bijak ini hendaklah dianggap sebagai tanggungjawab sosial atau "social obligation" dalam usaha untuk memajukan negeri Sabah pada keseluruhannya.

Kerajaan negeri dalam konteks ini akan terus memberi sokongan dalam memajukan sukan di negeri Sabah. Kemudahan-kemudahan sukan di daerah akan diberi perhatian sewajarnya terutama sekali kerja-kerja menaiktaraf seperti menukar balapan bitumen kepada rubberised track, padang hoki biasa kepada rumput tiruan dan kemudahan lain mengikut kesesuaian dan piawaian pertandingan sukan berprestij. Dari itu saya minta agar Kementerian Belia dan Sukan Sabah mengkaji keutamaan pembinaan kemudahan sukan di seluruh negeri. Keutamaan hendaklah memberi tumpuan kepada pemantapan kemudahan di Bahagian sebagai regional sports center. Pendekatan ini adalah selaras dengan konsep sukan SAGA yang berpusat di enam buah zon di Sabah.

Sumbangan Kerajaan Persekutuan dalam mempertingkatkan prasarana sukan juga amat memberangsangkan. Ini merupakan hasil daripada hubungan yang intim di antara Kerajaan negeri dan Persekutuan terutama sekali apabila Kerajaan negeri diterajui oleh Barisan Nasional. Pembinaan Kompleks Sukan Tawau bernilai RM 69juta yang dijangka siap pada tahun 2005 merupakan sumbangan yang tidak ternilai bagi para penggiat sukan di Bahagian Tawau. Cadangan pembinaan Kompleks Sukan Beaufort sedang dalam perbincangan akhir di antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Saya percaya apabila semua kemudahan ini siap nanti, mutu sukan tanah air akan lebih mantap.

Sabah merupakan antara negeri yang pada amnya mempunyai kemudahan dan prasarana sukan yang terbaik di Malaysia. Kita mempunyai padang golf yang bertaraf antarabangsa, gunung-ganang yang mencabar dan terseragam indah yang menjadi tumpuan dunia seperti Mount Kinabalu Climbathon, sungai dan laut yang boleh dieksploitasi sebagai pusat sukan air yang mencabar. Kelebihan ini hendaklah diterokai secara optima untuk menarik atlet dari luar negara. Dalam masa yang sama negeri Sabah juga mempunyai rangkaian perhubungan udara, laut dan darat yang bertaraf antarabangsa. Dari itu saya sekali lagi meletakkan harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk mempromosi dan seterusnya membuat tawaran kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia supaya Negeri Sabah dijadikan salah satu hub atau pusat kepada penganjuran sukan masa kini seperti X-GAMES dan sukan-sukan lasak seperti " adventure" dan "endurance sports" yang kini semakin diminati di kalangan belia.

Sukan merupakan satu institusi dan industri yang amat berpengaruh di Negara Maju. Pendekatan untuk mentadbir sukan secara tradisional yang selesa harus berubah. Idea baru pengurusan sukan secara professional harus diterapkan mulai dari sekarang. Ini bertujuan untuk mengurangkan halangan atau rintangan pada masa akan datang yang boleh membantutkan perkembangan sukan. Saya ingin menyeru pentadbir-pentadbir sukan supaya mempunyai wawasan dan berpandangan jauh serta mengambil langkah-langkah wajar bagi memperluaskan SAGA. Dalam hubungan ini, SAGA tidak hanya dijadikan sebagai venue pemilihan atlet negeri ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa sahaja, tetapi haruslah juga berperanan untuk memperkukuhkan hubungan kesukanan atau "sporting ties" di kalangan negara-negara jiran dalam kawasan BIMP-EAGA, Northern Territory of Australia, Hong Kong dan sebagainya. Hubungan yang sedia ada ini perlu diperkukuhkan dan diperluaskan kerana banyak faedah yang boleh didapati daripada pertumbuhan ekonomi seperti sport tourism dengan penglibatan negara-negara berkenaan, di samping dapat memperkukuhkan hubungan dan semangat persahabatan melalui sukan. Saya yakin sekiranya pemimpin dan persatuan sukan bekerja keras ke arah tersebut, SAGA akan lebih meriah dan kompititif. Inysaallah.

Dengan harapan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur dan berdoa semoga penganjuran SAGA akan terurus dengan tertib dan sempurna. Kepada semua enam zon di Sabah, saya memohon kerjasama dari semua pihak supaya memberi persembahan terbaik untuk Negeri Sabah yang kita cintai. Selamat berjuang dan selamat maju jaya. Akhir kata dan dengan lafaz BISMILLAH….SAYA DENGAN INI MELANCARKAN DENGAN RASMINYA LOGO, LAGU, MASKOT DAN TEMA SUKAN SABAH (SAGA) YANG PERTAMA TAHUN 2003. WASSALAM….