UCAPAN KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN SABAH, Y.A.B. DATUK CHONG KAH KIAT DI MAJLIS PENAMAAN BANGUNAN YAYASAN SABAH SEBAGAI "MENARA TUN MUSTAPHA" SEMPENA ULANGTAHUN KE-35 PENUBUHAN YAYASAN SABAH, AUDITORIUM YAYASAN SABAH, 31 JULAI, 2001

Pada petang yang bermakna ini, izinkan saya mengungkapkan kembali riwayat Yayasan Sabah, sebuah institusi kemegahan kita bersama, yang telah mencapai usia 35 tahun pada tahun 2001.

Kita semua tahu yang hal ehwal pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun Kerajaan Negeri, pada tahun enam dan awal tujuh puluhan, amat peka terhadap kewujudan jurang perbezaan di antara Sabah dengan Semenanjung Malaysia. Atas kenyataan inilah, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negara [kini Yang Di-Pertua Negeri] Sabah yang pertama Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun, mengilhamkan penubuhan sebuah organisasi yang akan memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan pendidikan dan sosioekonomi rakyat negeri ini. Ilham ini telah diluahkan, kali pertama, oleh Tun Mustapha semasa satu majlis bersama rakyat di Pekan Mesapol, Sipitang pada 9hb November, 1965. Petikan ucapan bersejarah Tun Mustapha ini berbunyi:

"Dicadangkan supaya ditubuhkan satu yayasan yang diberi nama Yayasan Sabah untuk melengkapkan kemudahan-kemudahan pelajar-pelajar bagi meninggikan pelajaran anak-anak negeri Sabah yang cerdik pandai tidak kira apa bangsa, agama dan kaum".

Visi besar lagi murni ini terus diperjuangkan hingga akhirnya ia menjadi suatu kenyataan. Enam bulan kemudian, pada tanggal 10hb Mei, 1966 sebuah badan, yang kini dikenali sebagai Yayasan Sabah, telah ditubuhkan secara rasmi melalui Enakmen No. 8 Dewan Undangan Negeri Sabah. Dengan penuh iltizam yayasan negeri yang terulung ini menegaskan tiga objektif utamanya, iaitu:-

i. Penekanan terhadap kemajuan pendidikan;

ii. Pengurangan kemiskinan; dan

iii. Pelaksanakan aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan dan amal.

Bertitiktolak dari situ badan berkanun kerajaan negeri ini telah mula bergerak dari sebuah pejabat kecil dan serba daif, di Bangunan Bank Chung Khiaw di Jalan Gaya, dianggotai oleh beberapa kakitangan. Kini, Yayasan Sabah telah berkembang hingga mempunyai dua menara dan seramai lebih daripada 7,000 orang kakitangan.

Sejak penubuhannya Yayasan Sabah telah memainkan peranan yang diamanahkan kepadanya oleh Kerajaan Negeri. Secara hakikat, Yayasan Sabah merupakan wahana strategik Kerajaan Negeri. Oleh itu, ia tetap mendukung tanggungjawabnya dalam ertikata "menokoktambah dan membantu usaha-usaha kerajaan untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri Sabah, rakyatnya dan negara ". Untuk memastikan kesungguhan pelaksanaan tanggungjawab ini, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah adalah terdiri daripada pemimpin Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan. Begitu juga, pihak pengurusan tertinggi organisasi ini telah diamanahkan kepada sekumpulan profesional yang berwibawa. Dengan pengstrukturan sedemikian rupa maka adalah diharapkan agar segala perancangan dan sumbangan Yayasan Sabah akan sentiasa membawa manfaat terbanyak dan berkesan bagi rakyat Sabah.

Selama 35 tahun Yayasan Sabah telah memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan rakyat negeri ini, sama ada dalam bidang pendidikan, sosial mahupun ekonomi. Pada pengalaman masyarakat Sabah badan ini tetap dikenali sebagai sebuah institusi rakyat. Ia merupakan penggerak perintis pembangunan pendidikan massa, bermula dari peringkat pendidikan prasekolah hinggalah ke peringkat institusi pengajian tinggi. Kemudahan seperti asrama di luar bandar disediakan untuk memudahkan anak watan bangsa menikmati kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Yayasan Sabah turut berbakti mempertingkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat, khususnya mereka di kawasan pendalaman melalui program-program kemasyarakatannya. Di samping itu, Yayasan Sabah telah mendukung kewajipan sosialnya melalui sumbangan kewangan dan peralatan kepada pelbagai institusi dan individu agar konsep masyarakat penyayang dan budaya amal kebajikan menjadi sosiobudaya kita bersama.

Peranan sebagai penggerak pembangunan dan kemajuan bidang komersial turut diberi perhatian, melalui Innoprise Corporation Sdn. Bhd.. ICSB, kini dikenali sebagai pengamal utama konsep pengurusan mapan. Pelbagai langkah positif telah dilaksanakan untuk menjayakan pemuliharaan ekologi hutan. Menerima akan kenyataan bahawa kepakaran terbaik harus dimanfaatkan ICSB telah mewujudkan hubungan kerjasama dengan pelbagai institusi kebangsaan dan antarabangsa. Hasil daripada jalinan pintar ini kita berbangga dengan kejayaan Pusat Penyelidikan Lembah Danum yang telah mengukir namanya di peringkat antarabangsa. Para penyelidik tempatan dan antarabangsa sentiasa bergiat aktif di pusat ini. Begitu juga, Lembangan Maliau (Maliau Basin), yang dikenali sebagai "Sabah's Lost World" telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 [Perlindungan] pada tahun 1997. Langkah-langkah seperti ini membuktikan komitmen Yayasan Sabah dalam pemeliharaan khazanah alam negeri Sabah.

Walaupun Yayasan Sabah telah mengukir namanya dalam lembaran sejarah pembangunan negeri Sabah, namun ia perlu bertindak secara tangkas agar kualiti sumbangan dan imejnya pada masa akan datang tetap mengecapi kecemerlangan. Kualiti pengurusannya hendaklah sentiasa peka terhadap perubahan dan tuntutan zaman, dan bersedia menangani segala cabaran yang bakal dihadapi. Langkah-langkah serius seperti menjayakan pelaksanaan sistem pengurusan berkualiti tahap MS ISO 9000 di peringkat organisasi perlu diusahakan. Kebolehan menjayakan tahap produktiviti dan kualiti yang tinggi hendaklah menjadi sebahagian daripada amalan budaya pengurusan, bukan sesuatu yang digeruni. Dalam konteks ini, warga Yayasan Sabah hendaklah bersedia melakukan paradigma bersesuaian kehendak zaman.

Yayasan Sabah, yang berusia 35 tahun, tidak mungkin wujud pada hari ini jika bukan kerana komitmen dan visi Allahyarham Tun Mustapha. Konsep bangunan Ibu Pejabat Yayasan Sabah telah diutarakan semasa Kerajaan Negeri diterajui oleh Tun Mustapha. Bangunan ini bukan sahaja merupakan satu lambang korporat yang futuristik, tetapi juga menyatukan aspirasi murni rakyat Malaysia di Sabah. Selain daripada struktur rekabentuk bangunan yang unik dan mengkagumkan ia juga merupakan bangunan pertama yang sedemikian rupa di rantau Asia. Begitu juga, pembiayaannya telah ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sabah.

Tun Mustapha merupakan antara mereka yang memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negeri Sabah melalui Malaysia. Pemimpin ini telah dipilih sebagai Yang Di-Pertua Negara Sabah (kini Yang Di-Pertua Negeri) yang pertama, namun, setelah menjawat jawatan tertinggi ini selama hanya satu penggal, tokoh berjiwa rakyat ini sanggup meninggalkan jawatan ini untuk menceburi semula dalam arena politik demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri Sabah.

Menerima akan kenyataan sejarah ini Kerajaan Negeri dan Lembaga Pemegang Amanah Sabah Yayasan Sabah telah memilih nama yang melambangkan jasa dan perjuangan seorang wira yang dikenali rakyat di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pada hemat kami Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun merupakan pejuang pembangunan negeri Sabah sebelum dan selepas kemerdekaan. Pemilihan nama tokoh ini turut mengambil kira akan kepentingan memelihara warisan kita bersama agar generasi akan datang mengenali siapakah pejuang-pejuang negeri kita dan merasa bangga terhadap jasa dan pengorbanan mereka. Bangsa yang mempunyai peradaban tinggi tidak lupa jasa mereka yang mendahului kita.

Pada kita yang mewarisi khidmat bakti para pemimpin perintis negeri Sabah, seperti Tun Mustapha, saya mengajak para hadirin sekalian agar membulatkan kesungguhan kita untuk memastikan agar obor perjuangan yang diamanahkan kepada kita dapat terus bersinar demi kepentingan negeri. Dalam memperingati jasa Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha marilah kita menghidupkan semangat pejuang dalam hati sanubari kita. Sekian dan terima kasih.