UCAPAN Y. A. B. KETUA MENTERI SABAH, DATUK CHONG KAH KIAT DI MAJLIS PENYAMPAIAN BIASISWA KECIL PETRONAS 2001, BAHAGIAN PANTAI BARAT & W.P. LABUAN, MENARA PETRONAS , 23 JULAI 2001
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada PETRONAS dan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kerana sudi mengundang saya untuk hadir dan merasmikan Majlis Penyampaian Biasiswa Kecil Dan Pameran Kerjaya PETRONAS bagi tahun 2001 ini.
Tahniah kepada pihak PETRONAS dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah kerana sekali lagi telah dapat menganjurkan majlis ini. Majlis seperti ini bukan sahaja akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai kecemerlangan di bidang akademik dan ko-kurikulum malah akan meningkatkan semangat dan menjadi galakan kepada murid-murid yang lain untuk bersama-sama meningkatkan kecemerlangan diri khususnya dalam bidang akedemik.
Saya difahamkan bahawa para penerima Biasiswa Kecil PETRONAS terdiri daripada murid-murid Tkt 1 dan 4 yang datang dari keluarga yang kurang mampu yang telah mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan UPSR dan PMR mereka pada tahun lalu. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kesemua 75 orang penerima Biasiswa Kecil PETRONAS bagi kawasan Pantai Barat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini. Jumlah ini adalah merupakan satu peningkatan jika di bandingkan dengan tahun lalu.
Pada tahun lepas seramai 63 orang murid telah menerima biasiswa ini. Saya berharap murid-murid semua akan dapat terus menunjukkan prestasi yang cemerlang dan mengharumkan nama baik sekolah dan menjadi kebanggaan kepada ibubapa, kepada keluarga dan kepada masyarakat. Moga-moga kejayaan murid-murid ini akan menjadi sumber inspirasi murid-murid lain untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang ko-kurikulum dan akademik mereka.
Usaha PETRONAS memberi bantuan biasiswa kepada rakyat negeri ini akan dapat membantu Kerajaan Negeri & Kerajaan Persekutuan di dalam meningkatkan taraf pendidikan di Negeri Sabah. Kerajaan Negeri sendiri di Sabah menyediakan peruntukan yang besar untuk membiayai pelajar-pelajar daripada keluarga-keluarga yang kurang mampu dari segi pendapatan tetapi mempunyai potensi yang cerah di dalam bidang akademik untuk meneruskan pengajian mereka samada di peringkat menengah mahupun tinggi.
Penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi di Sabah seperti UMS, UiTM, Politeknik, Maktab-maktab Perguruan dan beberapa buah lagi maktab-maktab swasta di Sabah memberi peluang kepada murid-murid yang berpotensi ini untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Saya berharap murid-murid yang menerima biasiswa kecil PETRONAS akan terus berusaha untuk terus mempertingkatkan pencapaian akademik mereka supaya mendapat peluang bantuan PETRONAS di peringkat pengajian yang lebih tinggi.
Adalah menjadi dasar Kerajaan kita untuk menambah lagi bilangan warga intelek dan cendikiawan yang dapat menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran negara. Moga-maga kejayaan murid-murid nanti, akan dapat memertabatkan hasrat dan dasar Kerajaan kita.
Dari segi pembiayaan pula, saya berharap agar ibubapa-ibubapa tidak menjadikan faktor kos pengajian sebagai penghalang kepada anak-anak mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi. Selain daripada sumbangan biasiswa oleh badan-badan korporat seperti PETRONAS, Yayasan Sabah, Agensi seperti Tabung Pendidikan Tinggi Negara, MARA dan sebagainya, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat juga menawarkan bantuan kepada mereka yang layak, menerusi tawaran biasiswa atau pinjaman pelajaran.
Dalam keadaan ekonomi kita yang beransur pulih dan kukuh, saya merasa amat yakin peluang-peluang pekerjaan di Negara kita khususnya di Sabah akan bertambah dan ini akan memberi banyak peluang perkerjaan kepada pelajar-pelajar khususnya kepada pelajar-pelajar lulusan Institusi Pengajian Tinggi nanti.
Kejayaan akademik sahaja tidak akan menjamin kecemerlangan hidup pelajar-pelajar . Ini bermakna para pelajar mestilah juga berusaha untuk melengkapkan dan mempertingkatkan diri sebagai pelajar-pelajar yang mempunyai akhlak dan moral yang baik dan berfikiran positif. Oleh itu saya menyeru murid-murid supaya :-
(a) mendisiplinkan diri dalam memenuhi suruhan agama masing-masing serta patuh kepada peraturan sekolah dan undang-undang negara.
(b) mempunyai daya saing yang sihat untuk mencapai kecemerlangan
(c) hormat kepada ibu-bapa, hormat kepada guru-guru serta orang yang lebih tua daripada kita
(d) menanam silatulrahim sesama murid melalui kegiatan seperti sukan, persatuan dan aktiviti ko-kurikulum
(e) menyemai rasa sayang kepada masyarakat dan kepada negara melalui gotong royong dan penyertaan dalam perayaan seperti hari-hari kebesaran Peringkat Negeri dan Kebangsaan.
(f) menjauhi dan menghindarkan diri daripada terlibat dalam aktiviti-aktiviti dan gejala-gejala yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, lepak, ponteng sekolah, rusuhan dan sebagainya.
Akhir kata, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah ingin mengambil kesempatan di sini lagi ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada PETRONAS yang telah berjaya menguruskan sumber petroleum negara dengan begitu baik di samping berupaya memberi sumbangan dalam bidang latihan sumber tenaga manusia dan kebajikan masyarakat di Malaysia amnya dan Sabah khususnya.
Dan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah saya juga mengucapkan tahniah dan berbanyak-banyak terima kasih kerana usaha Jabatan Pendidikan Negeri khususnya kepada begitu banyak pihak swasta hari ini bersama PERTONAS menganjurkan majlis yang kita ada ini Penyampaian Biasiswa Kecil PETRONAS bagi tahun ini. Dengan itu saya dengan segala sukacitanya merasmikan majlis Penyampaian Biasiswa Kecil PETRONAS bagi tahun 2001. Terima kasih.