..
UCAPAN YAB DATUK YONG TECK LEE 
KETUA MENTERI SABAH
SEMPENA PERASMIAN TAMU BESAR KOTA BELUD
PADA 30 NOVEMBER 1997, JAM 8.30 PAGI

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Datuk Hj. Sakaran bin Dandai.

1.     Pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Hj. Sakaran bin Dandai kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada Majlis ini untuk menyempurnakan upacara pelancaran Tamu Besar Kota Belud pada pagi ini. Sesungguhnya kehadiran TYT sudah tentulah lebih menyemarakkan suasana sambutan pesta Tamu Besar ini yang intipati acaranya adalah lebih tertumpu kepada seni budaya dan tradisi tempatan.

2.     Tuan Yang Terutama, dengan segala hormat dan takzimnya saya memohon keizinan Tuan Yang Terutama untuk menyampaikan ucapan saya kepada para hadirin di majlis ini. 

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,

3.     Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah memberikan penghargaan kepada saya hadir bersama-sama menyaksikan acara yang penting dan sungguh bermakna ini dan seterusnya diberi peluang untuk menyampaikan sepatah dua kata pada majlis ini.

4.     Ucapan terima kasih juga saya rakamkan kepada STPC selaku penaja utama yang membiayai pesta ini di samping mempromosikan daerah Kota Belud ini di luar Negara. Saya percaya faedah daripada usaha yang dilaksanakan ini telahpun mula dirasai dengan kedatangan pelawat-pelawat asing yang berkunjung ke pesta ini.

5.     Tamu Besar Kota Belud merupakan produk yang unik dan hanya terdapat di Sabah, Malaysia sahaja. Maka itu, acara ini haruslah diberi keutamaan dari segi promosi pelancongan Negeri.

6.     Industri Pelancongan merupakan industri yang 'versatile' dan mengikut trend masa kini yang sering berubah mengikut taraf dan struktur ekonomi sesebuah Negara destinasi itu. Saya berharap, oleh kerana nilai matawang Ringgit Malaysia telah merosot dalam beberapa minggu ke belakangan ini, kita tidak harus berputus asa. Bagi pelancong Eropah dan juga Amerika Utara, ini adalah masa dan peluang terbaik untuk mereka mengunjungi Negara kita.

7.      Maka dengan itu saya berharap sektor swasta akan terus mempromosikan acara-acara seperti Tamu Besar Kota Belud. Saya ingin menyeru juga kerjasama yang teras dan gigih dari pejabat-pejabat Kerajaan Negeri untuk bersama-sama memastikan acara-acara pelancongan Negeri dapat dijayakan dengan lebih meriah dan menarik.

8.     Saya berharap penganjur dapat meneruskan kreativiti masing-masing untuk lebih memantapkan dan mempertahankan tarikan acara tahunan ini. Terdapat banyak situasi dan peluang yang ada bagi memenuhi visi ini. Kita harus mengambil kesempatan dan peluang ini bagi merealisasikan usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan taraf pendapatan penduduk luar bandar.

9.     Memang tidak dinafikan bahawa kegiatan tamu telah memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat kita sejak dari dahulu lagi hinggalah ke hari ini. Kegiatan tamu turut membawa perubahan dari semasa ke semasa, sama ada dari segi cara tamu diadakan tetapi juga daripada segi hasil atau faedah yang terdapat daripada aktiviti tamu ini.

10.     Kegiatan tamu di Kota Belud misalnya memberikan gambaran tentang cara hidup bermasyarakat yang aman, berharmoni serta bersatu padu. Ciri-ciri ini dapat kita lihat dengan jelas dalam pelbagai bentuk kegiatan interaksi di kalangan masyarakat semasa tamu diadakan. Ini sebenarnya adalah salah satu daripada ciri-ciri istimewa dan unik tentang keadaan hidup masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang aman dan harmoni.

11.     Kegiatan tamu ini juga melambangkan perpaduan kaum di negeri kita. Melalui kegiatan tamu secara individu atau kaum di antara kaum dapat menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan melalui interaksi semasa tamu diadakan. Cara hidup demikian boleh dipupuk dalam masyarakat kita ke arah mewujudkan masyarakat penyayang.

12.     Setiap kaum di daerah ini khususnya, dan di Negeri ini amnya, mempunyai budaya hidupnya yang tersendiri. Budaya yang terdapat di Negara kita mempunyai keunikan yang tersendiri dan tidak terdapat di Negara-Negara lain dan merupakan satu aset istimewa yang boleh digemblengkan sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi masyarakat kita. Sebenarnya, kesedaran untuk memikirkannya telahpun kita mulakan sejak kegiatan tamu ini diwujudkan walau pun dengan cara yang minima. Hari ini kita dapat membuat perubahan supaya kegiatan tamu ini dapat dimanfaatkan seberapa maksima yang mungkin kepada masyarakat setempat dengan berbagai-bagai cara yang lebih canggih tetapi tidak menjejaskan konsep asal tamu itu.

13.     Kita amat berbangga dan mengalu-alukan sambutan serta peranan yang telah ditunjukkan oleh beberapa agensi seperti STPC yang bertujuan untuk mempromosikan kegiatan tamu sebagai daya tarikan pelancong untuk melawat Negeri Sabah. Industri pelancongan merupakan sebahagian daripada agenda Kerajaan. Program ini tidak akan berjaya tanpa penyertaan setiap lapisan masyarakat di Negeri ini. Untuk itu, kita perlulah mengambil bahagian dalam peranan masing-masing supaya hasil usaha kita dapat dinikmati bersama apabila keadaan ekonomi berkembang melalui program ini.

14.     Kegiatan tamu yang sedia ada ini juga boleh dipertingkatkan dengan penyediaan program-program yang menarik, canggih dan sebagainya. Untuk tujuan ini masyarakat kita perlulah bersedia untuk menerima setiap perubahan yang difikirkan perlu dan bersesuaian dengan perkembangan pembangunan. Projek Kerajaan seperti lebuhraya Kota Belud/Kota Kinabalu yang menelan belanja lebih kurang RM150 juta dapat menyumbang peranan kepada perkembangan positif ke atas kegiatan tamu ini. Masyarakat berbilang kaum di daerah ini perlu bersiap sedia dengan perubahan yang berlaku apabila lebuhraya itu siap kerana banyak perubahan yang akan dinikmati khususnya bagi rakyat di Kota Belud ini.

15.     Peranan dan tanggungjawab untuk membuat perubahan dan perkembangan bukanlah terletak kepada bahu Kerajaan Negeri semata-mata, malah pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Kota Belud perlulah juga mengambil inisiatif untuk membuat pengubahsuaian ke atas kemudahan infrastruktur yang terdapat dalam tamu Kota Belud ini seperti pondok tamu dan pentas budaya. Di samping itu, projek penghijauan dan usaha menjadikan kawasan sekitar lebih menarik perlulah dilaksanakan selaras dengan dasar Penghijauan Negara. Program sosial juga perlu diberi perhatian sebagai sebahagian daripada kegiatan tamu ini.

16.     Tuan Yang Terutama, demikianlah sahaja ucapan saya kepada para hadirin di majlis ini. Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah kerana sudi meluangkan masa untuk hadir bersama-sama kita di majlis yang sungguh bermakna ini. 

Sekian, terima kasih

~~~~~~~~~~~~~~~
 
.