UCAPAN Y.A.B. DATUK MUSA HAJI AMAN KETUA MENTERI SABAH SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "MESRA BELIA" DAERAH KECIL SOOK DI PENTAS PERKARANGAN TAMU PEKAN SOOK PADA 11 JANUARI 2004

(Disampaikan oleh YB. Tan Sri Joseph Kurup,

Menteri Belia dan Sukan Negeri)

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Sabah atas kesungguhan menganjurkan Program Khidmat Masyarakat "Mesra Belia" Daerah Kecil Sook 2004 ini. Dalam kesempatan ini saya mengalu-alukan kehadiran para belia dan masyarakat serta hadiran sekalian sama ada yang datang dari jauh mahupun dekat untuk bersama-sama menyemarakkan suasana majlis pada pagi ini. Sesungguhnya kehadiran pada hadirin sekalian mengambarkan sokongan padu rakyat kepada usaha murni Kerajaan dalam apa juga program yang dianjurkan.

Sebagai rakyat Malaysia di negeri Sabah, kita berasa amat bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam keadaan aman dan sejahtera. Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negeri ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan dan perpaduan kaum. Perpaduan adalah sesuatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya dan kerana itu ia perlu dipelihara dan dipupuk dalam diri generasi belia hari ini agar dapat mempertahankan kemerdekaan ini seterusnya. Sebagai tenaga penggerak utama dalam arus pembangunan negara, tenaga belia perlu digemblengkan secara bersepadu sebagai pekerja produktif dan kreatif yang menjadi sandaran dan harapan bagi membangun dan memajukan negeri ini.

Kerajaan memandang generasi muda dan belia-belia sebagai sandaran dan warisan masa depan. Rakyat dan belia perlu berjuang membela kebenaran tanpa menggadaikan maruah, agama, bangsa dan tanah air tercinta. Masa depan kita tetap cerah asalkan kita terus bersatu padu dan berusaha membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi. Wawasan 2020, hanya tinggal 16 tahun sahaja lagi. Justeru, dalam mengimbangi pelbagai bentuk cabaran alaf baru yang amat getir dan mencabar, generasi muda haruslah bersiap sedia memikul tanggungjawab sebagai pewaris segala khazanah negara dengan memastikan penetapan jati diri yang berterusan, berdaya saing dan mampu mengekang apa juga bentuk penjajahan baru.

Dalam menghadapi era yang mencabar ini, saya mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Sabah dengan mewujudkan "smart partnership" sebagai penganjur utama program Khidmat Masyarakat "Mesra Belia" Daerah Kecil Sook Keningau 2004. Sesungguhnya program hari ini, memperlihatkan bagaimana para barisan pemimpin belia memesrakan masyarakat dengan kerja-kerja belia untuk mendekati masyarakat setempat dengan melibatkan diri bersama-sama menyertai aktiviti-aktiviti yang diatur seperti kursus Bina Negara Pemimpin Belia dan Masyarakat, Kem Bina Pemimpin Belia, Pentas Ria dan gotong royong yang melibatkan para belia dan masyarakat.

Ramai belia hari ini yang terpelajar dan berpendidikan tinggi dalam pelbagai jurusan dan lapangan. Saya amat berbesar hati kerana barisan kepemimpinan kini memberikan khidmat bakti untuk membela negeri dalam konteks nasional. Apa yang kadang kala menghalang kita untuk meneruskan agenda pembangunan ialah persengketan sesama kita. Kita perlulah bersatu sepakat dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan. Hari ini kita bersatu tenaga dalam membina perpaduan yang amat kukuh bagi menjamin jambatan perpaduan yang telah dibina sekian lama.

Apa yang diharapkan adalah kesinambungan perjuangan dan pengorbanan dalam kerja-kerja sukarela untuk membantu pihak Kerajaan secara langsung dalam menjayakan program ini. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa usaha murni Kerajaan hari ini yang ditambah dengan penglibatan secara langsung badan-badan sukarela dalam program ini dapat memupuk dan mengeratkan perpaduan diantara masyarakat dan pemimpin-pemimpin belia serta individu belia khususnya dalam kerja-kerja sukarela bagi mempertingkatkan dan memperkukuhkan semangat kesukarelaan yang lebih tinggi dan menyeluruh dalam arus pembangunan negara. Pada masa yang sama, kita banyak membincangkan kepincangan moral di kalangan generasi baru yang semakin membimbangkan. Walau apapun isu yang berbangkit, saya percaya kita mampu menanganinya asalkan rakyat bersatu tenaga dan bersatu hati menyokong Kerajaan dalam setiap tindakan ke arah kesejahteraan rakyat dan kekukuhan perpaduan serta keamanan negara secara keseluruhan.

Akhir kata, saya berharap program Khidmat Masyarakat "Mesra Belia" Daerah Kecil Sook 2004 mencapai objektifnya. Mudah-mudahan program ini dapat membuahkan hasil kesedaran yang tinggi dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat mengenai peranan dan tanggungjawab persatuan belia di negara kita khususnya penglibatan Majlis Belia Malaysia dan Majlis Belia Sabah. Kedua-dua badan belia ini sentiasa bersedia untuk memberikan sumbangan dan khidmat bakti ke arah memesrakan masyarakat dalam kerja-kerja belia dan sukarela. Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat untuk bersama-sama pemimpin belia melibatkan diri setiap aktiviti sama ada yang dianjurkan oleh Kerajaan mahupun oleh NGO. Marilah kita rapatkan barisan, kukuhkan keyakinan diri dan suburkan semangat kesukarelawan di mana sahaja program serupa ini diadakan.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan program Khidmat Masyarakat "Mesra Belia" Daerah Kecil Sook 2004 dengan rasminya.

Sekian, terima kasih.