UCAPAN Y.A.B KETUA MENTERI SABAH, DATUK CHONG KAH KIAT MERANGKAP PENGERUSI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN SABAH, DI MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH BIASISWA CEMERLANG NEGERI SABAH SIRI KE – 13, AUDITORIUM, MENARA TUN MUSTAPHA PADA 24 OGOS 2002
Saya amat bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan para hadirin sekalian di majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Tahun 2002 pada pagi ini. Saya percaya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja dapat menambah lagi kemeriahan tetapi juga menjadikan majlis ini penuh makna.
Dengan rasa bangga, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada 21 orang pelajar yang telah terpilih untuk menerima anugerah ini kerana telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2001. Sesungguhnya, kecemerlangan ini adalah hasil usaha gigih pelajar-pelajar selama ini. Diharap para pelajar akan terus berjaya untuk mengukir sejarah hidup yang lebih gemilang selepas memasuki Institusi Pengajian Tinggi.
Pencapaian cemerlang seumpama ini, memang wajar diberikan penghargaan. Maka, kerajaan negeri menyediakan anugerah yang berprestij ini. Anugerah ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan kerajaan, bahkan ia diharap akan menjadi perangsang kepada para pelajar untuk terus berusaha ke arah kejayaan yang lebih cemerlang lagi. Ingatlah, bahawa kecemerlangan tidak akan datang dengan sendirinya tanpa adanya usaha dan tanggungjawab yang berterusan.
Saya berkeyakinan kecemerlangan pendidikan di kalangan pelajar-pelajar akan dapat dicapai dengan adanya semangat perkongsian peranan dan tanggungjawab antara ibu bapa, guru-guru dan pemimpin-pemimpin. Kerajaan negeri, yang diterajui oleh Barisan Nasional, akan memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan pengembangan minda anak-anak. Ini adalah sesuai dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang tahun 2020.
Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru agar para pelajar mengekalkan kecemerlangan bukan saja dalam bidang akademik, bahkan dalam semua aspek kehidupan. Apatah lagi, masa kini, kita dalam era teknologi maklumat yang tiada sempadannya, dan sudah pasti ia memerlukan ketahanan jati diri. Keadaan ini menuntut para pelajar mempunyai daya saing dan daya maju yang cekal, supaya dapat menandingi pencapaian rakan-rakan di negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh kerana pada masa ini kerajaan berusaha untuk melaksanakan dasar meritokrasi secara meluas, maka saya berharap para pelajar akan terus mempertingkatkan prestasi dan kecemerlangan akademik. Para pelajar perlu bersedia untuk memanfatkan sepenuhnya kemajuan teknologi maklumat (IT) ketika ini. Kerajaan sentiasa menyediakan peluang kepada seluruh rakyat negara ini, terutama sekali kepada para pelajar agar mereka boleh meraih faedah daripada prasarana IT yang disediakan.
Disini saya ingin menyeru supaya para pelajar sekalian agar menguasai Bahasa Ibunda iaitu Bahasa Malaysia dengan baik, dalam masa yang sama pelajar hendaklah juga harus menguasai Bahasa Inggeris seperti saranan Y.A.B. Perdana Menteri baru-baru ini. Kerajaan menyedari kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa yang digunakan secara meluas. Kajian menunjukkan bahawa 70 peratus pelajar di institusi-institusi pengajian tinggi awam lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Perkara ini berlaku kerana penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di peringkat Sekolah Rendah dan Menengah adalah rendah. Para pelajar mesti berusaha menguasai Bahasa Inggeris, memandangkan teks dan bahan-bahan rujukan di institusi-institusi pengajian tinggi banyak menggunakan Bahasa Inggeris. Kegagalan menguasai Bahasa Inggeris dengan baik akan mengakibatkan para pelajar gagal bersaing dalam kerjaya, terutamanya untuk mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian kelak.
Sejajar dengan itu juga, kita harus ingat bahawa generasi pelajar hari ini adalah bakal pewaris di masa hadapan. Maka, para pelajar seharusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta maklumat terkini supaya dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Hanya dengan menguasai ilmu dan mempunyai maklumat terkini sahaja yang dapat melahirkan kepimpinan yang bermutu ke arah memartabatkan bangsa dan negara supaya kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Peranan ibu bapa pada hari ini adalah amat mencabar, bukan sekadar menyediakan keperluan asas kepada anak-anak, malah ibu bapa juga seharusnya membantu di dalam menentukan hala tuju dan matlamat pendidikan anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa harus mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas dalam aspek mengasuh dan mendidik anak-anak. Saya percaya semua ibu bapa kepada para pelajar cemerlang yang ada di sini, melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan kejayaan anak masing-masing. Bagaimanapun, para ibu bapa mesti meneruskan peranan murni yang telah diamanahkan demi kejayaan anak-anak di masa depan.
Ibu bapa juga harus memahami keadaan di institusi pengajian tinggi yang jauh berbeza dengan keadaan di sekolah menengah. Di institusi pengajian tinggi para pelajar harus belajar berdikari dan tabah dalam menghadapi berbagai-bagai cabaran. Di sini para ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pendorong agar anak-anak dapat meneruskan kecemerlangan mereka hingga memperoleh Ijazah dan kepakaran dalam pelbagai bidang.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin menarik perhatian semua pelajar agar mengambil iktibar dan inspirasi daripada kejayaan cemerlang rakan-rakan anda. Jadikanlah kecemerlangan mereka ini sebagai perangsang untuk terus maju ke hadapan. Mudah-mudahan pada tahun depan, saudara-saudari pula bakal menerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah.
Kepada Ibu bapa, pengetua-pengetua dan guru-guru anda semua merupakan pencorak generasi akan datang. Iltizam dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan terbukti menghasilkan kecemerlangan yang amat membanggakan. Saya berharap jalinan usaha murni ini akan terus ditingkatkan agar masyarakat pelajar di masa akan datang mempunyai jati diri unggul untuk menentukan mereka berdaya saing di dalam era globalisasi yang kian mencabar. Akhir kata selamat maju jaya dan semoga sukses selalu. Sekian terima kasih.