Galeri Gambar | Hubungi Kami | Peta Laman

English

Laman Utama | Maklumat Organisasi | Perkhidmatan Online | Majlis Bersama Jabatan | Sudut Kakitangan

Pengumuman

 

.

 

.Kod Etika  

Maksud Malware  

 

Pilihan Pelayar Web  

Tips Internet  

 
 

 

 

 

KOD ETIKA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SABAH

 

Kod Etika Perkhidmatan Awam Negeri Sabah ini digubal dan diterbitkan adalah sebagai garis panduan dan amalan kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dalam menjalankan amanah dan tanggunjawab yang telah diberikan.

 
1.

Perkhidmatan Awam Negeri Sabah merupakan bahagian yang terpenting bagi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Perkhidmatan Awam Negeri juga mendukung Kerajaan yang memerintah dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan serta menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sabah bertanggungjawab kepada Jemaah Menteri Negeri Sabah. Mereka juga bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri Sabah dan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

   
2.

Sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, anda dilantik berdasarkan merit melalui pengambilan secara terbuka dan saksama. Anda telah diberi amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh komitmen secara dedikasi yang tinggi kepada Kerajaan Negeri Sabah dan hendaklah berpegang teguh kepada nilai-nilai teras seperti berikut: integriti, kejujuran, objektiviti dan kesaksamaan.

   
  Dalam Kod Etika ini:
   
  2.1

'Integriti' bermaksud sentiasa meletakkan kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi;

     
  2.2 'Kejujuran' bermaksud sentiasa bersikap benar dan terbuka;
     
  2.3

'Objektiviti' bermaksud sentiasa memberikan nasihat atau membuat keputusan berdasarkan fakta-fakta dan hujah-hujah yang dianalisis secara mendalam;

     
  2.4

'Kesaksamaan' bermaksud sentiasa bertindak hanya berdasarkan merit sesuatu kes dalam memenuhi hasrat Kerajaan yang mewakili pelbagai aspirasi politik.

   
3.

Nilai-nilai teras ini dijangka dapat mewujudkan pentadbiran Kerajaan yang baik bagi memastikan prestasi dan kualiti yang tinggi tercapai dalam apa juga yang disediakan oleh Perkhidmatan Awam. Ini akhirnya akan dapat meningkatkan keyakinan dan kepercayaan Jemaah Menteri Negeri Sabah, Dewan Undangan Negeri Sabah dan Masyarakat keseluruhannya.

   
4.

Kod Etika ini menggariskan tatakelakuan pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sabah berdasarkan nilai-nilai teras yang termaktub dalam Kod Etika ini. Kementerian, Jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri Sabah bolehlah membuat pernyataan misi dan nilai tersendiri berdasarkan nilai-nilai teras ini termasuk kod etika yang khusus untuk anggota masing-masing.

Integriti
5. Anda hendaklah:
5.1

Melaksanakan tugas dan kewajipan dengan penuh tanggungjawab;

5.2

Sentiasa bertindak secara profesional agar sentiasa mendapat keyakinan yang kukuh dari pihak yang berurusan dengan anda;

5.3

Menentukan dana awam dan sumber-sumber yang lain digunakan secara teratur dan berkesan;

5.4

Mengendalikan urusan orang ramai seberapa yang boleh dengan adil, telus, cekap dan berkesan;

5.5

Mengendalikan maklumat seberapa yang boleh secara terbuka dan telus setakat yang dibenarkan oleh undang-undang; dan

  5.6

Sentiasa patuh kepada undang-undang dan memastikan keadilan diurus dan ditadbir dengan sebaik-baiknya.

6. Anda hendaklah tidak:
6.1

Menyalahgunakan kedudukan rasmi, misalnya menggunakan maklumat-maklumat rasmi yang diperoleh untuk kepentingan diri atau pihak-pihak lain yang tidak berkaitan;

6.2

Menerima hadiah, sogokan dan keraian atau apa-apa bentuk faedah daripada sesiapa jua yang boleh menjejaskan kredibiliti diri; atau

6.3

Mendedahkan atau membocorkan rahsia rasmi tanpa kebenaran. Tanggungjawab ini terus dipikul walaupun telah meninggalkan atau bersara dari Perkhidmatan Awam.

Kejujuran
7. Anda hendaklah:
7.1

Membentangkan fakta sesuatu isu dengan sejelas-jelasnya dan segera membetulkan sebarang kesilapan dan kesalahan yang berlaku; dan

7.2

Menggunakan hanya sumber-sumber yang diperuntukan dan yang dibenarkan untuk kepentingan umum sahaja.

8. Anda hendaklah tidak:
8.1

Memperdaya atau secara sedar mengelirukan Jemaah Menteri Negeri Sabah, Dewan Undangan Negeri Sabah; atau

8.2

Mudah dipengaruhi oleh tekanan yang tidak berpatutan daripada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

Objektiviti
9. Anda hendaklah:
9.1

Memberikan maklumat dan nasihat, terutama kepada Jemaah Menteri Negeri Sabah, berdasarkan fakta-fakta, bukti-bukti penemuan berserta opsyen-opsyen yang terpilih dengan setepat-tepatnya;

9.2

Mengambil keputusan ke atas sesuatu kes berdasarkan merit kes tersebut; dan

9.3

Mengambil perhatian terhadap sebarang nasihat dan pendapat daripada pakar-pakar profesional.

10. Anda hendaklah tidak:
10.1

Membiarkan atau meninggalkan sebarang fakta yang boleh dianggap relevan semasa menyediakan nasihat atau membuat keputusan; atau

10.2

Menghalang pelaksanaan dasar-dasar yang telah diputuskan, seperti tidak melaksanakan atau tidak mengambil bahagian dalam pelaksanaan sebarang hasil daripada keputusan tersebut.

Kesaksamaan
11. Anda hendaklah:
11.1

Menjalankan tanggungjawab anda dengan adil dan saksama tanpa pilih kasih dalam memenuhi kehendak pelbagai pihak yang berurusan dengan anda.

12. Anda hendaklah tidak:
12.1

Bertindak secara pilih kasih atau prejudis atau melakukan diskriminasi ke atas seseorang individu atau pihak-pihak tertentu.

Bebas dari politik
13. Anda hendaklah:
13.1

Berkhidmat dengan sebaik-baiknya kepada Kerajaan dan sentiasa bebas daripada sentimen politik;

13.2

Sentiasa bertindak yang dapat mengekalkan keyakinan Jemaah Menteri Negeri Sabah melalui hubungan yang sentiasa harmoni agar keyakinan itu dapat berterusan walaupun Kerajaan bertukar ganti; dan

13.3

Mematuhi larangan yang telah dikenakan agar tidak melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan politik.

14. Anda hendaklah tidak:
14.1

Bertindak mengikut pengaruh politik kepartian atau menggunakan jentera dan sumber-sumber Kerajaan untuk kepentingan parti-parti politik; atau

14.2

Membenarkan pandangan politik persendirian mempengaruhi sebarang nasihat atau tindakan yang diberikan.

Hak dan Tanggungjawab
15.

Setiap kementerian, jabatan atau agensi bertanggungjawab untuk memberikan kesedaran tentang etika ini kepada anda, dan jika anda dipaksa melanggar etika ini, kementerian, jabatan dan agensi hendaklah mengambil maklum ke atas keresahan anda dan anda tidak seharusnya dihukum kerana menyatakan perkara ini.

16.

Berbincanglah dengan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab ke atas anda jika anda berasa sukar untuk mematuhi etika ini atau telah mendapati ada pihak yang telah melanggar etika ini atau ada tanda-tanda dan bukti bahawa perlakuan jenayah atau pelanggaran mana-mana undang-undang telah berlaku maka hendaklah dilaporkan kepada polis atau pihak yang berwajib.

17.

Jika anda mendapati bahawa anda tidak dapat mematuhi atau mengamalkan etika ini anda mempunyai pilihan untuk meninggalkan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah demi kepentingan awam atau jika mempunyai bukti yang mencukupi tindakan tatatertib boleh diambil ke atas anda.

 
 

 

 

 
 

 

 
 

 

 

 

 

 

e-Cuti | e-Pekeliling | e-Prestasi | e-exam | SM2 | SM2(Peribadi) | Izin Kursus Insan | Izin Hadir Seminar | Izin Keluar Negeri | Single Sign On

Dasar Privasi | Hubungi Kami | Peta Laman | Webmaster

PENAFIAN: Pejabat ini tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam laman web ini. Paparan terbaik dengan IE versi 6.0 dan keatas dengan resolusi 1024 X 768

Hakcipta terpeliharan 2009  Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, Kuala Lumpur