Saiz Font A- A A+

Pengenalan

 

Pejabat Perhubungan Negeri Sabah atau dalam bahasa Inggeris "Sabah Liasion Office" diilhamkan pada 16 September 1963  apabila Negeri Sabah bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia. Walaupun Pejabat Perhubungan Negeri Sabah ini direstui penubuhannya sejak tahun 1963, tetapi secara rasminya operasi pejabat ini hanya bermula pada 1 Julai 1968 apabila kabinet Kerajaan Negeri Sabah meluluskan mengikut kertas-kertas kabinet nombor C.141/67 dan diletakkan di bawah bidang kuasa pentadbiran Jabatan Ketua Menteri.

Objektif awal pejabat ini ialah untuk mempermudahkan segala urusan rasmi  Kerajaan Negeri Sabah terutama menyelaras hubungan antara Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Persekutuan dan Kedutaan asing. Ini bermakna penubuhan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah pada awalnya dilihat sebagai "Mini Embassy".

Sebelum penubuhan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah, segala urusan Kerajaan Negeri Sabah di Kuala Lumpur  dan Singapura dikendali dan diuruskan oleh Firma Swasta iaitu Straits Central Agent Private Ltd. Memandangkan kepentingan kerja yang dibuat secara langsung, maka perkhidmatan firma swasta tersebut dihentikan dan operasinya diambilalih oleh Pejabat Perhubungan Negeri Sabah mulai 1 Julai 1968. Pada ketika itu Pejabat Perhubungan Negeri Sabah ditempatkan di Wisma Putra, Kuala Lumpur bersama-sama dengan Kementerian Hal-Ehwal Luar Negeri Malaysia dan satu cawangan lagi diwujudkan di Singapura. Bagaimanapun cawangan di Singapura ditutup dalam tahun 1974 dan segala urusan dikendalikan di Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

Sejak penubuhan Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur ianya telah berkembang pesat dari sebuah unit yang kecil hinggalah menjadi satu pejabat yang besar dan mampu mengendalikan berbagai urusan dan kepentingan Kerajaan Negeri Sabah. Begitu juga dari ruang pejabat yang kecil di Wisma Putra hinggalah wujudnya sebuah kompleks persendirian yang terletak di Jalan Ampang.

Kompleks Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ini dibeli oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam tahun 1971 dari Almarhum Tengku Arif Bendahara iaitu Kerabat Diraja Pahang. Komplek ini terletak di satu kawasan eksklusif yang jauhnya hanya 3.75  batu dari pusat bandar Kuala Lumpur.