Citra Wira Rakyat Dalam Lagenda Mat Salleh - Oleh  Low Kok On

 

Seperti diketahui umum, bahawa pihak pemerintah Kompeni Berpiagam Borneo Utara (KBBU) di Sabah menganggap Mat Salleh sebagai ketua pemberontak yang amat menggerunkan.  Dalam Tempoh 1894-1900, apabila berlaku kekacauan, pembunuhan atau rompakan di Borneo Utara pihak Polis KBBU akan mengaitkan kejadian berkenaan angkara Mat Salleh.  Imej buruk Mat Salleh yang berat sebelah ini kemudiannya disebarkan kepada generasi muda penduduk tempatan di Sabah.  Atas sebab ini, penulis cuba mengimbangi pandangan yang berat sebelah ini dengan mengkaji ketokohan Mat Salleh menurut kaca mata penduduk tempatan Sabah yang sebenarnya.

Penulis telah mengenal pasti dan berjaya memperoleh sebelas orang pemberi maklumat di seluruh Pantai Barat Selatan Sabah yang masih mendukung kisah legenda Mat Sallah.  Kisah-kisah legenda Mat Salleh yang dirakamkan secara lisan telah ditranskripsikan secara verbatim dalam bentuk sepuluh "Teks" yang berlainan.  Dengan berbuat demikian, kisah legenda Mat Salleh yang juga merupakan tradisi lisan penduduk tempatan Sabah telah didokumentasikan. Jika tidak, besar kemungkinan tradisi lisan yang sedemikian akan hilang bersama-sama dengan pemergian pemberi maklumat pada suatu hari nanti kelak.Kajian terhadap definisi legenda dan konsep wira telah memberikan satu alternatif kepada sejarawan untuk mengkaji sejarah budaya masyarakat tempatan di Sabah.  Kajian sejarah Mat Salleh bukan sahaja dilakukan melalui kaedah sejarah tetapi pada masa yang sama turut memberi tumpuan kepada pemikiran dan konsepsi penduduk tempatan melalui kisah legenda Mat Salleh yang disampaikan secara lisan.