Ruj. Kami   :       PMS/UPT(S)/173/5(41)

 

Tarikh                :       6 Julai 2007

 

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

 

Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan

 

Y. Bhg Datuk/Dato’/Tuan/Puan,

 

Penjelasan Berhubung Penyediaan Bon Pelaksanaan Selaras Dengan Surat Perkeliling Perbendaharaan Bil 5 Tahun 2007

 

Dengan segala hormatnya saya menarik perhatian Y. Bhg. Datuk/Dato’/Tuan/Puan kepada perkara di atas.

 

2.      Sepertimana Y. Bhg. Datuk/ Dato’/ Tuan/ Puan sedia maklum, Perbendaharaan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 5 Tahun 2007 (SPP 5/07) berhubung Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender bertarikh 27 Februari 2007.

 

3.       Untuk makluman Y. Bhg Datuk/ Dato’/ Tuan/ Puan, dengan berkuatkuasanya SPP 5/07 tersebut, had nilai projek / kontrak samada bekalan / perkhidmatan / kerja yang dikecualikan daripada bon pelaksanaan dinaikkan daripada tidak melebihi RM50,000 kepada tidak melebihi RM200,000.00.

 

Sekian harap maklum, terima kasih.

 

“ BERKHIDMAT UNTUK NEGARA “

 

Saya yang menurut perintah,

 

 

                t.t

( MOHD. RANI BIN SAUD )

Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah.

 

 

 

 

 

s.k.    Setiausaha Tetap

          Kementerian Kewangan Negeri Sabah

          Tingkat 5, Wisma Kewangan

        88592 KOTA KINABALU

 

        Setiausaha Tetap

          Kementerian Kerjaaan Tempatan

          Blok C, Tingkat 2-6

          Wisma Tun Fuad Stephens

        88999 KOTA KINABALU

(Untuk edaran kepada agensi di bawah Kementerian yang mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan)

       

        Setiausaha Tetap

          Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan

          Wisma Pertanian

          Jalan Tasik Luyang

        Beg Berkunci 2048

        88624 KOTA KINABALU

(Untuk edaran kepada agensi di bawah Kementerian yang mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan)

 

        Pengarah Kerja Raya

          Jabatan Kerja Raya

          Ibu Pejabat

        88582 KOTA KINABALU

       

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Panduan Penyediaan Bon Pelaksanaan Selaras Dengan SPP 5/07

 

A.     Bon Pelaksaaan

1.       Bon pelaksanaan adalah merupakan suatu aku janji tidak bersyarat (unconditional undertaking) oleh sesuatu institusi kewangan yang dibenarkan oleh Perbendaharaan untuk membayar kepada kerajaan suatu amaun tertentu atas tuntutan (on demand) sekiranya kontraktor tidak atau gagal mematuhi dan melaksanakan obligasinya di bawah kontrak.

 

2.       Bagi kontrak bekalan/perkhidmatan, kontraktor hendaklah mengemukakan bersama-sama dengan Surat Setuju Terima, Bon Pelaksanaan yang nilainya adalah seperti berikut:

 

(a)                           Dua setengah peratur (2.5%) daripada jumlah harga kontrak bagi kontrak bekalan atau perkhidmatan yang bernilai melebihi RM200,000.00 hingga RM500,000.00.

 

(b)                          Lima peratus (5%) daripada jumlah harga kontrak bagi kontrak bekalan atau perkhidmatan yang bernilai melebihi RM500,000.00; dan

 

(c)                           Bagi kontrak bermasa (periodic contract) yang berkuat kuasa dalam tempoh dua (2) tahun atau lebih, peratus dan pengiraan nilai Bon Pelaksanaan hendaklah dikira mengikut anggaran harga kontrak setahun sahaja.  Walau bagimanapun, Bon Pelaksanaan yang dikemukakan oleh kontraktor hendaklah meliputi keseluruhan tempoh kontrak bermasa.

 

3.       Bagi kontrak kerja yang bernilai melebihi RM200,000.00, kontraktor hendaklah mengemukakan bersama-sama dengan Surat Setuju Terima, Bon Pelaksanaan sebanyak 5% daripada jumlah harga kontrak.

 

4.       Bon Pelaksanaan hendaklah dikemukakan dalam Ringgit Malaysia (RM) dari bank-bank atau institusi-institusi kewangan yang dibenarkan oleh Perbendaharaan sama ada dalam bentuk:

 

i.                    Jaminan Bank/Syarikat Kewangan yang dikeluarkan oleh bank-bank/syarikat kewangan berlesen di bahawa Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang beroperasi di Malaysia; atau

 

ii.                  Jaminan Bank Islam yang dikeluarkan oleh bank-bank berlesen di bawah Akta Bank Islam 1983 yang beroperasi di Malaysia; atau

 

 

iii.                Jaminan Insurans yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat insurans yang berlesen di bawah Akta Insurans 1996 yang beroperasi di Malaysia; atau

 

iv.                Jaminan Takaful yang dikeluarkan oleh Syarikat Takaful yang berlesen di bawah Akta Takaful 1984 yang beroperasi di Malaysia; atau

 

v.                  Jaminan yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia (SME Bank).

 

B.     Peraturan Berkenaan Bon Pelaksanaan

1.     Kontrak Bekalan/Perkhidmatan

 

(a)               Bon Pelaksanaan hendaklah dikemukakan dalam bentuk seperti di perenggan A(4).

 

(b)              Tempoh sah laku jaminan tersebut hendaklah dari tarikh ianya dikeluarkan sehingga dua belas (12) bulan selepas tarikh tamat kontrak atau selepas obligasi terakhir, mengikut mana yang terkemudian.

 

(c)            Semua Jaminan Bank/Jaminan Syarikat Kewangan/Jaminan Insurans/Jaminan Bank Islam/Jaminan Takaful untuk Bon Pelaksanaan hendaklah menggunakan format dan kandungan seperti di LAMPIRAN A.

 

2.     Kontrak Kerja

 

(a)               Bon Pelaksanaan hendaklah dikemukakan dalam bentuk seperti di perenggan A(4) atau dalam bentuk Wang Jaminan Pelaksanaan.

 

(b)              Wang Jaminan Pelaksanaan (WJP) ialah satu kemudahan bagi memenuhi keperluan Bon Pelaksanaan. WJP bermaksud sejumlah wang yang dipegang oleh Kerajaan bagi memastikan kontraktor mematuhi dan melaksanakan obligasinya di bawah kontrak yang ditandatangani.

 

(c)            Jumlah WJP adalah lima peratus (5%) daripada harga keseluruhan kontrak.  Kemudahan ini hanya dibenarkan kepada kontraktor kerja

 

 

 

 

        tempatan sahaja. Walau bagaimana pun, Wang Jaminan Pelaksanaan   tidak dibenarkan untuk Subkontraktor Dinamakan bagi Kerja.

 

(d)            Sekiranya kontraktor gagal mengemukakan bon pelaksanaan seperti di perenggan A(4) pada tarikh milik tapak, secara automatic kaedah Wang Jaminan Pelaksanaan akan diguna pakai.  Kontraktor yang memilih/dikenakan kaedah Wang Jaminan Pelaksanaan akan dikenakan potongan sebanyak sepuluh peratus (10%) daripada bayaran kemajuan pertama dan seterusnya sehingga ia mencapai jumlah lima peratus (5%) daripada nilai keseluruhan kontrak.

 

(e)              WJP yang dipotong daripada bayaran kemajuan hendaklah dimasukkan ke dalam akaun deposit yang dinamakan Wang Jaminan Pelaksanaan (Kod 79507).  Satu akaun subsidiari dan senarai lengkap kontraktor berkenaan yang menunjukkan butir terperinci setiap potongan WJP dan baki bulanan dan tahunan hendaklah diselenggarakan secara teratur dan kemas kini.

 

(f)                Walau bagaimanapun, pada bila-bila masa di sepanjang pelaksanaan projek tersebut, kontraktor boleh mengemukakan Bon Pelaksanaan seperti di perenggan A(4) dan Agensi berkenaan dikehendaki memulangkan WJP yang ditahan.

 

(g)              Tempoh sah laku Bon Pelaksanaan tersebut hendaklah dari tarikh kuatkuasa kontrak sehingga dua belas (12) bulan selepas tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan.

 

(h)              Jika berlaku kelewatan dalam penyiapan projek, tindakan serta merta hendaklah diambil oleh agensi untuk memastikan tempoh sah laku Bon Pelaksanaan dilanjutkan, tidak kira sama ada Kerajaan mengenakan ganti rugi tertentu atau ganti rugi ditetapkan atau lanjutan masa diluluskan.

 

(i)                Bon Pelaksanaan hendaklah menggunakan format dan kandungan seperti di LAMPIRAN A1.  Bagi kerja yang dilaksanakan oleh subkontraktor dinamakan (nominated subcontractor) (NSC), NSC hendaklah mengemukakan Bon Pelaksanaan kepada kontraktor utama dengan menggunakan format seperti di LAMPIRAN A2.

 

3.     Kontrak Antarabangsa

 

(a)            Kontraktor adalah dikehendaki mengemukakan Bon Pelaksanaan dalam bentuk Jaminan Bank dalam mata wang yang ditetapkan bagi

 

 

 

        harga Kontrak daripada bank yang berlesen di bawah Akta Bank        dan Institusi Kewangan 1989 yang beroperasi di    Malaysia. Format      seperti di LAMPIRAN A atau LAMPIRAN A1 hendaklah     digunakan mengikut mana yang berkaitan.

 

(b)              Setelah segala obligasi kontrak selesai, surat pelepasan (Letter of Discharge) bagi Jaminan Bank seperti di LAMPIRAN A3 hendaklah dikemukakan kepada bank.  Salinan asal atau satu salinan yang telah disahkan oleh Ketua Jabatan hendaklah disimpan oleh Agensi sebagai rekod.

 

C.     Mengesahkan Surat Jaminan

1.      Agensi hendaklah menyemak dengan Bank/Syarikat Kewangan/Bank Islam/Syarikat Insurans/Syarikat Takaful yang berkenaan tentang kesahihan Bon Pelaksanaan yang dikemukakan kontraktor dengan menggunakan format seperti di LAMPIRAN B dan LAMPIRAN B1.

       

2.      Sekiranya terdapat kes pemalsuan Bon Pelaksanaan, ketua Agensi hendaklah membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil kerana kes pemalsuan sedemikian adalah merupakan kes jenayah.  Bagi kontrak bekalan dan perkhidmatan, Ketua Agensi dikehendaki melaporkan segera kepada Perbendaharaan dan bagi kontrak kerja, hendaklah melaporkan segera kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK)/Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

 

D.     Pelepasan Bon Pelaksanaan

1.     Kontrak Bekalan/Perkhidmatan

 

(a)               Bon Pelaksanaan boleh dilepaskan setelah segala obligasi kontrak selesai. Surat Pelepasan (Letter of Discharge) bagi Jaminan Bank/Jaminan Syarikat Kewangan/Jaminan Bank Islam/Jaminan Insurans/Jaminan Takaful seperti di LAMPIRAN A3 hendaklah dikemukakan kepada Bank/Syarikat Kewangan/Bank Islam/Syarikat Insurans/Syarikat Takaful.  Salinan asal atau satu salinan yang telah disahkan oleh Ketua Jabatan hendaklah disimpan oleh Agensi sebagai rekod.

 

(b)              Bagi perkhidmatan dan barang guna habis (consumable item), Bon Pelaksanaan boleh dilepaskan lebih awal sekiranya Agensi berpuas hati segala obligasi kontrak selesai dan tiada sebarang tuntutan yang akan dibuat.

 

 

 

 

 

2.     Kontrak Kerja

 

(a)            Jaminan Bank/Jaminan Syarikat Kewangan/Jaminan Bank Islam/Jaminan Insurans/Jaminan Takaful

 

i.                    Sebaik sahaja Perakuan Siap Kerja dikeluarkan, Agensi boleh mengurangkan nilai Bon Pelaksanaan yang asal sebanyak lima puluh peratus (50%).

 

ii.                  Agensi dikehendaki memaklumkan secara bertulis tentang perkara ini dan kontraktor berkenaan hendaklah menggantikan Jaminan yang asal dengan Jaminan baru yang nilainya bersamaan dengan lima puluh peratus (50%) dari Jaminan asal. 

 

iii.                Setelah Jaminan baru ini diterima, agensi hendaklah melepaskan Bon Pelaksanaan yang asal kepada kontraktor berkenaan.

 

(b)           Wang Jaminan Pelaksanaan

 

i.                    Agensi boleh memulangkan sebanyak lima puluh peratus (50%) daripada nilai Wang Jaminan Pelaksanaan yang ditahan setelah Sijil Perakuan Siap Kerja dikeluarkan.

 

ii.                  Baki Wang Jaminan Pelaksanaan sebanyak lima puluh peratus (50%) lagi boleh dipulangkan sekiranya kontraktor dapat mengemukakan Jaminan seperti di perenggan A(4) yang sama nilai dengan Wang Jaminan Pelaksanaan yang ditahan.

 

(c)      Baki Bon Pelaksanaan sebanyak lima puluh peratus (50%) lagi hendaklah dilepaskan/dipulangkan dua belas (12) bulan selepas tamat tempoh tanggungan kecacatan atau setelah Perakuan Siap Memperbaiki Kecacatan dikeluarkan, mengikut mana yang terkemudian.

 

(c)               Setelah segala obligasi kontrak selesai, Surat Pelepasan (Letter of Discharge) bagi Bon Pelaksanaan seperti di LAMPIRAN A3 hendaklah dikemukakan kepada Bank/Syarikat Kewangan/Bank Islam/Syarikat Insurans/Syarikat Takaful.  Salinan asal atau satu salinan yang telah disahkan oleh Ketua Jabatan hendaklah disimpan oleh Agensi sebagai rekod.