Ruj. Kami      :         PMS/UP/656-3 Jld.3 (26)

 

Tarikh          :         12  Disember 2006

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan Sabah

Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan Sabah

Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

 

Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan,

 

 

SURAT EDARAN PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH

BIL. 4/2006

 

PENGGUNAAN KENDERAAN GUNASAMA/POOL

DAN SEWAAN KENDERAAN

 

 

Dengan hormatnya saya menarik perhatian Y. Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan kepada perkara di atas.

 

2.       Dimaklumkan bahawa Perbendaharaan Malaysia Sabah dipertanggungjawab menyediakan kenderaan rasmi bagi kegunaan Hakim-Hakim dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi Gred Utama/Jusa C dan ke atas atau yang setaraf dengannya termasuk Pegawai Kerajaan yang menjadi Ahli Ex- Officio Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri semasa menjalankan tugasan rasmi di Negeri Sabah.

 

3.       Sekiranya Perbendaharaan Malaysia Sabah tidak dapat menyediakan kemudahan kenderaan rasmi, Jabatan-jabatan bolehlah memohon kelulusan menyewa kenderaan untuk kegunaan rasmi Hakim-hakim dan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Kumpulan Pengurusan Tertinggi Gred Utama/Jusa C dan lain-lain berpandukan kepada Pekeliling Perbendaharaan Bil. 3 Tahun 1997. Manakala sewaan untuk tujuan lain bolehlah diurus sendiri oleh Jabatan berdasarkan peraturan perolehan semasa. Perlu diingatkan perolehan penyewaan kenderaan hendaklah dibuat daripada syarikat yang berdaftar dengan Perbendaharaan Malaysia Sabah.

4.       Disamping itu, Jabatan-jabatan Persekutuan boleh memohon untuk meminjam ‘coaster’ atau kenderaan 4WD bagi kegunaan rasmi yang lain dengan syarat jabatan pemohon bersedia menanggung perbelanjaan tuntutan lebih masa pemandu dan kos bahan bakar kenderaan yang dipinjam sepanjang tempoh penggunaannya.

 

5.       Sehubungan dengan ini, permohonan bagi mendapatkan kemudahan kenderaan rasmi hendaklah menyatakan tujuan penggunaan kenderaan dan disertakan dengan tentatif penuh program atau aturcara urusan rasmi.

 

6.       Kerjasama Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan dalam melaksanakan peraturan ini diharap akan dapat mempertingkatkan akauntabiliti dan imej Jabatan Persekutuan.

 

Sekian. Terima Kasih.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

Saya yang menurut perintah,

 

 

                        t.t

( MOHD. RANI BIN SAUD )

b.p. Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah.