Ruj. Kami           :           PMS/UP/656-3 JLD.2(   20     )

 

Tarikh                :           14 Disember  2000

 

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan

Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Pengarah Kerja Raya

Ibu Pejabat

Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah

88582 Kota Kinabalu

 

Pengarah

Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah

Tingkat 5 & 6, Menara Khidmat

Jalan Belia

88000 Kota Kinabalu

 

Pengarah

Jabatan Pertanian Sabah

Tingkat 5, Menara Khidmat

Jalan Belia

88000 Kota Kinabalu

 

Pengarah

Jabatan Perhutanan Sabah

Beg Berkunci No. 68

90009 Sandakan

 

 

Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan,

 

 

SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH

BILANGAN 24 TAHUN 2000

 

PELAKSANAAN DASAR DAN KEUTAMAAN KEPADA  SYARIKAT BUMIPUTERA

DALAM PEROLEHAN KERAJAAN

 

Adalah saya dengan hormatnya menarik perhatian Y.Bhg. Dato’/Datuk/ Tuan/Puan kepada perkara yang tersebut di atas. 

 

2.                   Adalah dimaklumkan bahawa di dalam pemerhatian Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) didapati pelaksanaan terhadap Dasar dan Keutamaan kepada Syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan di Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kurang berkesan serta tidak berjaya memenuhi kehendak Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 1995.

 

3.         Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 1995 telah menjelaskan takrifan syarikat Bumiputera, garis panduan dan peraturan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan di peringkat jabatan dan agensi kerajaan.  Adalah  penting dasar ini dijayakan untuk pembangunan negara kita.  Pemberian taraf syarikat Bumiputera kepada sesebuah syarikat yang layak bagi Bekalan dan Perkhidmatan dibuat oleh Kementerian Kewangan sahaja dan bagi bidang kerja dibuat oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) sahaja.

 

4.         Cabutan-cabutan Daripada Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 1995

 

4.1.             Bagi tujuan memudahkan pematuhan dan pelaksanaan Surat Pekeliling ini, diperturunkan beberapa cabutan daripada Surat Pekeliling Perbendaharaan yang berkaitan,  iaitu  seperti berikut:

 

(a)         “ 5.1.1.       Semua tender bekalan dan perkhidmatan yang bernilai tidak melebihi RM100,000.00 hendaklah dipelawa di kalangan syarikat Bumiputera sahaja.”

 

 

(b)                 “5.2.1.Bagi tender yang melebihi RM100,000.00 Agensi adalah dikehendaki memberi keutamaan harga kepada syarikat Bumiputera untuk perolehan bekalan dan perkhidmatan mengikut peraturan seperti berikut:

                       

                                                                                                  Peratusan

                              Nilai Tender                                                Keutamaan

 

                              Melebihi RM100,000 hingga                             10%

                              RM500,000

 

                              Melebihi RM500,000 hingga                             7%

                              RM 1.5 juta

 

                              Melebihi RM 1.5 juta hingga                             5%

                              RM 5 juta

 

                              Melebihi RM 5 juta hingga                               3%

                              RM 10 juta

 

                              Melebihi RM 10 juta hingga                              2.5%

                              RM 15 juta

 

                              Melebihi  RM 15 juta                                      -

 

5.2.2.        Keutamaan harga ini adalah berdasarkan kepada nilai tawaran terendah dan boleh diterima dari syarikat Bukan Bumiputera.”

 

                        (c)         “6.1.     Agensi adalah dikehendaki mengenalpasti dan memperuntukkan sekurang-kurangnya sebanyak 30% dari nilai kerja kecuali kerja kecil/penyenggaraan di bawah RM50,000.00 pada satu-satu tahun untuk dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera untuk ditandingi di kalangan mereka sahaja.  Kerja adalah dimaksudkan sebagai kerja-kerja binaan seperti membina bangunan, jalan, perparitan, membina lapangan terbang, membina tapak kawasan, membina empangan air dan lain-lain.  Ia termasuk semua kerja-kerja sivil, mekanikal dan elektrikal.

 

6.2.             Bagi baki 70% daripada kerja itu, kontraktor Bumiputera boleh mengambil bahagian dalam pelawaan tender dengan tidak diberi apa-apa keutamaan.

 

6.3.             Bagi kerja-kerja yang bernilai tidak melebihi RM50,000.00 dan juga kerja-kerja yang menggunakan Jadual Kadar hendaklah dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera sahaja.  Kerja-kerja ini hendaklah tidak termasuk di bawah peruntukan 30% nilai kerja-kerja yang dikhaskan untuk Bumiputera seperti di perenggan 6.1.

 

6.4.             Kerja-kerja yang bernilai dari RM50,000.00 hingga RM350,000.00 pengagihan sekurang-kurangnya 50% hendaklah dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera, manakala bakinya hendaklah ditandingi oleh kontraktor Bumiputera dan kontraktor tempatan.”

 

5.         Tindakan-tindakan Jabatan

 

5.1.             Bagi memastikan prinsip serta peraturan dasar dan keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan dilaksanakan sepenuhnya secara teratur dan sempurna, adalah diharapkan Ketua-ketua Jabatan/Agensi mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:

 

5.1.1.        Memahami serta mematuhi dan melaksanakan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4 Tahun 1995 dan Pekeliling-pekeliling yang berkaitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan Perbendaharaan Malaysia Sabah. 

 

5.1.2.        Menubuhkan Jawatankuasa Khas Jabatan untuk memastikan dan memantau pelaksanaan dasar dan keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan jabatan.

 

5.1.3.        Jawatankuasa Khas Jabatan menyemak senarai-senarai untuk perolehan sebelum sesuatu tindakan diambil untuk memastikan semua perolehan bekalan dan perkhidmatan yang bernilai tidak melebihi RM100,000.00 hendaklah dipelawa di kalangan syarikat Bumiputera sahaja.

 

5.1.4.        Jawatankuasa Khas Jabatan menyemak senarai-senarai projek untuk mengenalpasti serta memperuntukkan sekurang-kurangnya sebanyak 30% dari nilai kerja kecuali kerja kecil/penyenggaraan di bawah RM50,000.00 pada satu-satu tahun untuk dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera bagi ditandingi di kalangan mereka sahaja.

 

5.1.5.        Jawatankuasa Khas Jabatan juga perlu mengenalpasti dan menentukan projek-projek yang bernilai dari RM50,000.00 hingga RM350,000.00 yang mana pengagihannya sekurang-kurangnya 50% hendaklah dikhaskan kepada kontraktor Bumiputera.

 

5.1.6.        Projek-projek yang telah dikenalpasti dan diperuntukkan untuk kontraktor Bumiputera hendaklah diiklan sebagai tender khas untuk kontraktor Bumiputera sahaja, apabila tawaran tender dikeluarkan.

 

5.1.7.        Jabatan-jabatan dikehendaki mengemukakan laporan-laporan kepada Perbendaharaan Malaysia Sabah tiap-tiap tahun tidak lewat daripada bulan Februari tahun berikutnya berdasarkan format di Lampiran A, B dan C Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 1995.  Disamping itu, jabatan dikehendaki mengemukakan senarai perancangan perolehan bagi tahun semasa.

 

6.         Surat Pekeliling ini adalah bertujuan untuk memberi garis panduan beberapa dasar keutamaan kepada syarikat Bumiputera bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan serta kontrak kerja.  Disamping itu, Surat Pekeliling ini bertujuan memberi garis panduan tindakan-tindakan yang perlu diikuti dan dipatuhi serta dilaksanakan oleh Ketua-ketua Jabatan/Agensi berkaitan dengan dasar dan keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan.  Ia merupakan cabutan terhadap  beberapa bahagian penting dari Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 4 Tahun 1995 dan oleh yang demikian kedua-dua Pekeliling tersebut hendaklah dibaca bersama-sama.

 

7.         PMS berharap Ketua-ketua Jabatan/Agensi dapat mematuhi dan melaksanakan segala dasar dan keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan.  PMS akan sentiasa memantau dan menyemak agar Jabatan-jabatan/Agensi melaksanakan dasar ini dan dasar-dasar yang berkaitan yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa dengan cara menyemak laporan-laporan yang dikemukakan dan membuat lawatan mengejut.

 

8.         Adalah diharapkan Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan memberi penuh perhatian kepada perkara ini.  Segala perhatian dan kerjasama Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan  di dalam memastikan pelaksanaan dan pematuhan dasar serta keistimewaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan Kerajaan sangatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

 

Sekian.   Terima kasih.

“ BERKHIDMAT UNTUK NEGARA “

Saya yang menurut perintah,

                             T.T

(  DATUK DR. ABDUL AZIZ BIN MOHD. ALI  )

Pegawai Kewangan Persekutuan,

Sabah.

 

SPP PMS Bil. 24