Ruj. Kami           :           PMS/UP/656-3/(76)

Tarikh                :           21 Julai 2000

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan Sabah

Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan Sabah

Dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Pengarah Kerja Raya

Jabatan Kerja Raya Sabah

Ibu pejabat

88582 KOTA KINABALU

 

 

Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan,

 

 

SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH

BILANGAN 09 TAHUN 2000

 

TATACARA KEWANGAN – PEGAWAI/ANGGOTA PEKERJA MELAKUKAN PENYELEWENGAN SERTA BERSUBAHAT DAN PENYEDIAAN/PENGENDALIAN DOKUMEN-DOKUMEN TENDER – MERAHSIAKAN PROSES TENDER

 

Dengan hormatnya saya menarik perhatian Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan kepada perkara yang tersebut di atas.

 

2.         Adalah dimaklumkan bahawa pejabat ini mendapati banyak penyelewengan sedang berlaku khususnya berkaitan dengan Tatacara Kewangan di beberapa Jabatan Kerajaan.  Penyelewengan-penyelewengan ini berlaku disebabkan oleh terdapatnya  Pegawai/anggota pekerja yang tidak bertanggungjawab serta terlibat dan bersubahat di dalam penyelewengan-penyelewengan itu.  Beberapa contoh penyelewengan dan contoh-contoh kes Pegawai/anggota pekerja bersubahat di dalam melakukan penyelewengan adalah seperti berikut :-

 

(a)                 Jabatan telah membuat bayaran sepenuhnya bagi bekalan dan perkhidmatan tetapi bekalan atau kerja tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan memuaskan;

 

(b)                 Syarikat tidak membuat sebarang bekalan, tetapi pembayaran telah dilakukakan.

 

(c)                 Syarikat telah membuat tuntutan bayaran untuk kuantiti yang melebihi kuantiti yang sebenarnya yang dibekalkan.  Jabatan telah membuat bayaran ke atas jumlah kuantiti yang dituntut oleh syarikat dan bukan berdasarkan kepada kuantiti yang dibekalkan sebenarnya.

 

(d)                 Bayaran telah dibuat kepada projek/kerja bekalan yang berbeza daripada butir-butir yang tercatat di dalam Arahan Kerja dan Pesanan Kerajaan.

 

(e)                 Pegawai/anggota pekerja membantu menderafkan jawapan bagi syarikat untuk menjawab kuiri daripada Jabatan ini.

 

(f)                  Bagi kerja-kerja penyelenggaraan, bayaran telah dibuat untuk pertukaran berbagai alat yang didakwa telah ditukar oleh Syarikat tetapi di dalam keadaan sebenarnya tidak semua alat ditukar atau diganti.

 

(g)                 Pegawai mengesahkan bekalan dan kerja yang tidak dilaksanakan.

 

(h)                 Pegawai telah meminta syarikat untuk mengemukakan tuntutan walaupun kerja/bekalan belum disempurnakan.

 

(i)                   Setelah dikuiri oleh Jabatan Audit atau Perbendaharaan Malaysia, barulah Pegawai meminta syarikat membekalkan alat/barangan yang belum dibekalkan walaupun bayaran telah dibuat.

 

(j)                   Memproses tuntutan untuk dibuat bayaran walaupun didapati tuntutan itu tidak betul dan tidak tepat.

 

(k)                 Melewatkan untuk memproses bayaran walaupun semua bekalan dan kerja telah selesai.

 

(l)                   Jabatan menguruskan bayaran kepada syarikat lain yang tidak membekalkan alat/barangan iaitu syarikat yang membekalkan alat/barangan bukanlah syarikat yang menerima bayaran.

 

(m)               Jabatan menerima bekalan alat/barangan yang tidak menepati speksifikasi yang telah ditetapkan.

 

(n)                 Pegawai/anggota pekerja membantu syarikat mengisi borang tender/ sebutharga.

 

(o)                 Pegawai berjanji dengan syarikat akan diperakukan untuk dipilih oleh Lembaga Perolehan Persekutuan jika syarikat berkenaan bersetuju untuk sub-kontrak projek kepada sesuatu syarikat yang telah dikenalpasti.

 

(p)                 Pegawai mengarahkan syarikat yang berjaya dipilih oleh Lembaga Perolehan Persekutuan untuk sub-kontrak projek kepada sesuatu Syarikat yang telah dikenalpasti.

 

(q)                 Pegawai telah memberi maklumat kepada sesuatu syarikat mengenai syarikat yang akan diperakukan di dalam Mesyuarat Lembaga Perolehan bagi membolehkan syarikat menghubungi syarikat yang akan diperakukan untuk dapat sub-kontrak kerja yang berkaitan.

 

(r)                  Pegawai mengadakan pebincangan dengan syarikat secara sulit berkaitan dengan tawaran-tawaran harga tender/sebutharga yang sesuai dikemukakan oleh syarikat.  Terdapat sesuatu pakatan dengan syarikat di dalam urusan tender/sebutharga Jabatan.

 

3.         Di samping penyelewengan-penyelewengan serta kes-kes Pegawai/anggota pekerja bersubahat di dalam melakukan penyelewengan ke atas Tatacara Kewangan, terdapat juga unsur-unsur kebocoran rahsia proses tender di dalam pengurusan tender beberapa Jabatan.  Contoh-contoh kebocoran rahsia proses tender adalah seperti berikut :-

 

(a)                 Salinan speksifikasi tender berada dalam simpanan pihak perseorangan/syarikat sebelum urusan pelawaan tender dilaksanakan;

 

(b)                 Salinan anggaran projek Jabatan diketahui oleh pihak perseorangan/ syarikat sebelum tarikh tutup tender;

 

(c)                 Salinan deraf kertas taklimat tender disediakan oleh jabatan boleh diperolehi oleh pihak perseorangan/syarikat;

 

(d)                 Salinan deraf terjemahan kertas taklimat tender daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia dalam simpanan pihak perseorangan/syarikat;

 

(e)                 Terdapat pihak perseorangan/syarikat membuat temujanji dengan Perbendaharaan Malaysia Sabah dan membawa bersama mereka deraf kertas perakuan tender Jabatan yang akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Lembaga Perolehan Persekutuan.  Kadangkala pejabat ini belum lagi menerima kertas perakuan tender Jabatan, sedangkan pihak perseorangan/syarikat sudah memperolehi dokumen tersebut ataupun tahu apa yang ditulis di dalam kertas perakuan.

 

(f)                  Syarikat mengetahui bahawa syarikat telah diperakukan oleh Jabatan di dalam tender sesuatu Jabatan;

 

(g)                 Salinan surat terperingkat Jabatan berhubung dengan sesuatu tender disertakan bersekali dengan surat-surat layang/aduan yang diterima oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah;

 

(h)                 Wakil Jabatan di dalam Mesyuarat Lembaga Perolehan menyebarkan maklumat mengenai perkara-perkara yang telah dibincangkan di dalam mesyuarat kepada Syarikat. Terdapat juga wakil Jabatan memaklumkan keputusan Lembaga Perolehan Persekutuan kepada syarikat yang berjaya memperolehi sesuatu kontrak sebelum keputusan dikemukakan kepada Jabatan secara rasmi.

 

4.         Pejabat ini berharap dapat Jabatan-jabatan mematuhi segala prinsip-prinsip dan Tatacara Kewangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.  Kerjasama dan pertolongan daripada Ketua-ketua Jabatan adalah dipohon untuk menghapuskan serta membenteraskan segala penyelewengan-penyelewengan dan unsur-unsur bersubahat yang dilakukan oleh Pegawai/anggota pekerja di Jabatan masing-masing yang telah melanggar prinsip-prinsip serta tatacara Kewangan.

 

5.         Berkaitan dengan pengurusan tender, bagi mempastikan kredibiliti Jabatan secara amnya dan Lembaga Perolehan Persekutuan khususnya tidak tercemar daripada tohmahan-tohmahan dan aduan-aduan yang tidak berasas, ingin saya memohon kerjasama dan pertolongan daripada pihak Y.Bhg. Dato’/ Datuk/Tuan/Puan agar merahsiakan proses tender/perolehan dan memperketatkan lagi pengendalian dokumen-dokumen terperingkat Jabatan terutamanya dokumen-dokumen yang berkaitan dengan urusan tender/perolehan.

 

6.         Suka ditegaskan bahawa Pegawai/anggota pekerja yang melakukan penyelewengan, bersubahat  di dalam melakukan penyelewengan, gagal mematuhi segala Tatacara Kewangan Kerajaan dan terlibat di dalam membocorkan rahsia Kerajaan khususnya proses perolehan boleh disyorkan untuk dikenakan tindakan tatatertib dan surcaj.

 

7.         Kerjasama dan pertolongan daripada Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan mengenai perkara ini amatlah diharapkan dan diucapkan terima kasih ke atas perhatian Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan kepada perkara ini.

 

 

Sekian.  Terima kasih.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

Saya yang menurut perintah,

 

 

 

 

 

( DATUK DR ABDUL AZIZ BIN MOHD ALI )

Pegawai Kewangan Persekutuan

Sabah

 

 

Pek.Perb.bil.9/2000