Semua Ketua Jabatan Dan Badan Berkanun Persekutuan Di Sabah
Semua Ketua Jabatan Dan Badan Berkanun Persekutuan Di Wilayah Persekutuan Labuan
Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan,
_________________________________________________________________
_________________________________________________________________
Adalah saya dengan hormatnya menarik perhatian Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan kepada perkara yang tersebut di atas.
2. Sepertimana Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan sedia maklum, bagi Pendaftaran Kontraktor Bekalan dan Perkhidmatan di Semenanjung Malaysia adalah diselenggarakan oleh Kementerian Kewangan sahaja sebagai pusat pendaftaran. Manakala bagi Negeri Sabah dan Sarawak Pendaftaran Kontraktor Bekalan dan Perkhidmatan diselenggarakan oleh Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Perbendaharaan Malaysia Sarawak. Bagi kontraktor kerja dan elektrik, pendaftarannya diselenggarakan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.
3. Sehubungan dengan ini, sukacita diingatkan kepada Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan semua perolehan kerajaan hendaklah diuruskan dengan kontraktor yang berdaftar dan tempoh pendaftarannya masih berkuatkuasa. Walau bagaimanapun kecuali:
i. Perolehan perkhidmatan yang bernilai tidak melebihi RM10,000.00 setahun;
ii. Perolehan bekalan yang bernilai tidak melebihi RM10,000.00 setahun bagi satu item atau kelas jenis item.
4. Pengeluaran Surat Pekeliling ini adalah bertujuan supaya pihak Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan sentiasa memastikan mana-mana kontraktor yang menguruskan kontrak Bekalan dan Perkhidmatan/Kerja dengan Kerajaan, tempoh pendaftarannya hendaklah sentiasa sah dan berkuatkuasa dibawah Kelas, Bidang/Sub-bidang dan Kepala/Sub-kepala yang bertepatan dengan perolehan tersebut.
5. Berdasarkan pemerhatian Perbendaharaan Malaysia Sabah, mendapati ada kes dimana kontraktor-kontraktor yang berjaya ditawarkan bagi melaksanakan perjanjian kontrak bermasa (time contract) bagi sesuatu perolehan kerajaan telah tidak memperbaharui tempoh pendaftarannya walaupun tempoh perjanjian kontrak tersebut masih lagi berkuatkuasa. Tindakan kontraktor sebegini boleh membawa kepada penafsiran bahawa perolehan tersebut diperolehi daripada kontraktor yang tidak berdaftar.
6. Oleh itu, bagi mengelak berlakunya penafsiran yang sedemikian, pihak Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan adalah diminta supaya memastikan satu klausa tambahan didalam perjanjian kontrak yang kenyataannya bermaksud seperti berikut:
"Kontraktor mestilah memastikan tempoh kuatkuasa pendaftaran didalam kelas, bidang/sub-bidang dan kepala/sub-kepala yang berkaitan dengan kontrak perjanjian sentiasa berkuatkuasa. Sekiranya pendaftaran kontraktor berkenaan terputus atau tidak diperbaharui maka kontrak tersebut dengan secara otomatik boleh ditamatkan dengan serta merta."
7. Diatas sokongan dan kerjasama Y.Bhg. Dato/Datuk/Tuan/Puan dalam pematuhan mengenai perkara ini amatlah diharapkan.
Sekian. Terima kasih.
"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
Saya yang menurut perintah,