Ruj. Kami           :           PMS/UP/656-3/(  55 )

Tarikh                :           24 Disember 1999

 

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan Sabah

dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan Sabah

dan Wilayah Persekutuan Labuan

 

 

 

Y.Bhg. Dato'/Datuk/Tuan/Puan,

 

 

SURAT PEKELILING PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH

BILANGAN 10 TAHUN 1999

 

PENYERAHAN SEMULA TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB UNIT PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN HARTA (UPPH) PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH KEPADA  PEJABAT SETIAUSAHA PERSEKUTUAN SABAH

 

 

1.                  TUJUAN

 

1.1.       Surat Pekeliling Perbendaharaan Malaysia Sabah ini bertujuan untuk memaklumkan kepada semua Ketua Jabatan Persekutuan dan Ketua Badan Berkanun Persekutuan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berkenaan dengan penyerahan semula tugas dan tanggungjawab Unit Pembangunan dan Pengurusan Harta (UPPH) Perbendaharaan Malaysia Sabah kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

 

 

2.                  LATAR BELAKANG

 

2.1.             Ekoran dari pemansuhan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah pada tahun 1982 melalui Surat Pekeliling Am Bil. 5/1982, tugas dan tanggungjawab mengurus dan menyelenggara Bangunan Gunasama dan Kuarters Persekutuan di Sabah telah diserahkan kepada Pejabat Kewangan Persekutuan Sabah pada ketika itu.

 

2.2.             Berikutan pengwujudan semula Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah melalui Surat Pekeliling Am Bil. 4/1990, tugas dan tanggungjawab mengurus dan menyelenggara Bangunan Gunasama dan Kuarters Persekutuan di Sabah masih lagi kekal dipertanggungjawabkan di Perbendaharaan Malaysia Sabah.

 

2.3.             Walaubagaimana pun Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada bulan Ogos 1999 telah memutuskan supaya tugas dan tanggungjawab UPPH Perbendaharaan Malaysia Sabah diserahkan semula kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

 

 

3.                  SENARAI TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB UPPH PERBENDAHARAAN MALAYSIA SABAH YANG DISERAHKAN SEMULA KEPADA PEJABAT SETIAUSAHA PERSEKUTUAN SABAH

 

3.1.             Senarai tugas dan tanggungjawab berkenaan yang diserahkan semula kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah adalah seperti berikut:

 

3.1.1.        Bertanggungjawab merancang pembangunan projek Bangunan Gunasama serta Kuarters Persekutuan di Sabah dalam Rancangan Pembangunan lima (5) tahun.

 

3.1.2.        Bertanggungjawab mengurus, menyelenggara dan mentadbir sebanyak (219) unit Kuarters Persekutuan yang terletak di enam (6) buah bandar/daerah berasingan iaitu di Kota Kinabalu, Keningau, Kudat, Sandakan, Semporna dan Tawau.

 

3.1.3.        Bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa dan tugas-tugas mengenai tanah dan Bangunan Gunasama Persekutuan  di Sabah .

 

3.1.4.        Bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Ruang Pejabat (JRP) bagi permohonan Jabatan-jabatan Persekutuan di Sabah untuk menyewa ruang pejabat di Bangunan-bangunan swasta.

 

3.1.5.        Bertanggungjawab mengurus, menyelenggara dan mentadbir sebanyak enam (6) buah blok bangunan Gunasama Persekutuan yang terdapat di lima (5) buah bandar/daerah berasingan iaitu dua (2) buah bangunan di Kota Kinabalu serta masing-masing satu (1) buah bangunan di Beaufort, Keningau, Sandakan dan Tawau.

 

3.1.6.        Bertanggungjawab  kepada Jawatankuasa Kuarters Persekutuan untuk permohonan pegawai/anggota pekerja yang memohon untuk menduduki Kuarters Persekutuan di Sabah.

 

3.1.7.        Mengawal selia peruntukan perbelanjaan di bawah B52.

 

 

4.                  TARIKH KUAT KUASA

 

4.1.             Surat Pekeliling Perbendaharaan Malaysia Sabah ini berkuat kuasa pada tarikh ianya dikeluarkan.

 

4.2.             Sehubungan dengan itu Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan/Puan adalah diminta berurusan terus dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah bagi perkara-perkara yang melibatkan tugas dan tanggungjawab seperti yang dinyatakan di para 3. Walaubagaimana pun, Perbendaharaan Malaysia Sabah bersedia memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya sekiranya timbul sebarang masalah atau kemusykilan dalam masa tempoh peralihan tugas dan tanggungjawab UPPH Perbendaharaan Malaysia Sabah kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.

 

 

Sekian.  Terima kasih.

 

“BERKHIDMAT UNTUK  NEGARA”

 

Saya yang menurut perintah,

 

 

                        T.T

(  DATUK DR. ABDUL AZIZ BIN MOHD. ALI  )

Pegawai Kewangan Persekutuan,

Sabah.

 

s.k.

 

Ketua Setiausaha Negara

Jabatan Perdana Menteri

Bahagian Pengurusan Hartanah

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62502 PUTRAJAYA.

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Kementerian Kewangan Malaysia

Kompleks Kerajaan,

Jalan Duta

50592 KUALA LUMPUR.

 

Ketua Setiausaha

Kementerian Kerja Raya Malaysia

Cawangan Pentadbiran dan Penyenggaraan Bangunan

Tingkat Bawah, Blok A, Kompleks Kerja Raya

Jalan Sultan Salahuddin

50580 KUALA LUMPUR.