1. Secara geografi,
Semporna adalah sebuah pulau yang besar. Ia dihubungkan ke tanah
besar dengan Jambatan Pegagau. Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Lo
merasmikan pembukaan jambatan tersebut pada awal tahun 1965.
2. Sebutan yang betul
bagi Semporna ialah Sampulna' mengikut gaya percakapan kaum Bajau
tempatan. Begitu juga dengan nama-nama pulau seperti Sibuan (disebut
Sibuun), Sipadan (disebut Siparan), Mabul (disebut Mabbul) dan
lain-lain.
3. Dalam Rancangan
Malaysia Ke-9, Kerajaan Malaysia telahpun mewartakan pembinaan
jambatan panjang dari Pekan Semporna ke Pulau Bum-Bum, pulau yang
terbesar di daerah Semporna. Pembinaan jambatan ini kelak akan
merancakkan ekonomi tempatan dan membuka peluang pembangunan yang
lebih besar ke Pulau Bum-Bum. Pulau Bum-Bum terkenal dengan
pantainya yang landai menyebabkan ianya menjadi tempat pembiakan
ketam yang subur. Produk ketam pulau ini (seperti isi ketam dan
bebola ketam) dieksport hingga ke luar negeri.
4. Daerah Semporna
sebenarnya kurang dikenali berbanding Pulau Sipadan walaupun pulau
ini terletak dalam daerah Semporna. Selalunya Pulau Sipadan dirujuk
kepada 'Sipadan - Sabah' atau 'Sipadan - Tawau' kerana di
bandar-bandar besar Sabah terdapat banyak agensi pelancongan yang
mempromosikannya.
5. Dari segi politik
tempatan dan negara, Daerah Semporna telah melahirkan ramai pemimpin
diantaranya Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri Kebudayaan dan
Kesenian Malaysia), Datuk Nasir Tun Sakaran, Datuk Hj. Herman
Mohammad, Datuk Hj. Ramlee Marhaban, Datuk Basalie Abd. Hamid, Datuk
Hj. Mohd. Lan Allani, Datuk Hj. Samsu Bahrun Hj. Abd. Rahman, Datuk
Jasa Datuk Hj. Rauddah, Datuk Hj. Mohd. Yusof Jamlee, Tuan Hj.
Salleh Kalbi (Ahli Parlimen Silam) dan Mantan Tuan Yang Terutama
Negeri Sabah iaitu Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Sakaran Bin Dandai.
6. Semporna merupakan
daerah paling hujung di Malaysia. Ia bersebelahan dengan
persempadanan antarabangsa Negara Filipina dan Indonesia. Oleh sebab
itu penduduk disini agak unik kerana telah bercampur-gaul dengan
suku bangsa Filipina dan Indonesia dan menyebabkan bahasa dan budaya
di sini berwarna-warni. Dari jeti di pekan Semporna, anda cuma
perlukan 1 jam sahaja lagi untuk belayar ke selatan Filipina!
7. Terdapat 49 buah
pulau di Semporna, namun kebanyakkannya tidak dihuni. Untuk tujuan
kedaulatan dan keselamatan negara, pihak Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) mewujudkan bit-bit tentera di kebanyakkan pulau. Pihak TLDM
dan Polis Marin juga sentiasa mengawasi persempadanan setiap masa.
8. Dua buah pulau
yang terkenal disebabkan pertikaian kedaulatan Malaysia-Indonesia
ialah Pulau Ligitan dan Sipadan. Pada tahun 2002, pihak Mahkamah
Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan yang kedua-dua pulau ini milik
Malaysia. Untuk mengekalkan keindahan alam semulajadi dasar laut
Pulau Sipadan, Kerajaan Malaysia telah memutuskan yang semua bahan
binaan buatan manusia di bongkar dan dikosongkan pada tahun 2004.
Kini Pulau Sipadan benar-benar menjadi 'syurga' para penyelam.
9. Terdapat banyak
syarikat produksi filem telah menerbitkan pelbagai iklan,
dokumentari, cereka pendek dan filem di Semporna. Antara yang
terkenal adalah dokumentari National Gegraphic dan filem 'Duyong'
keluaran KRU Films.
10. Sesiapa sahaja
yang berkunjung ke Semporna pasti tidak akan melupakan pengalaman
menikmati makanan laut yang segar di sini. Sejak dahulu lagi
Semporna memang terkenal sebagai pengeluar bahan laut yang
berkualiti tinggi. Antara bahan laut yang agak 'ganjil' tetapi
istimewa disini ialah 'ikan bolong', 'ikan belawis (laimang)', 'ikan
buntal', 'kamun (udang mantis)', 'kahanga (siput laut)', 'kima
(kerang gergasi)', ikan tuna (yellowfin and bluefin), sirip ikan
jerung (sharkfin) dan banyak lagi. Sifat perairan Semporna yang
tenang tanpa gelombang di Lautan Sulu ini merupakan tempat
spesis-spesis ini membiak. Malah ada juga spesis dari Australia yang
hanya datang ke sini untuk bertelur sahaja setiap tahun. Begitu juga
dengan penyu yang pelbagai spesis turut mengunjungi pantai
pulau-pulau Semporna untuk bertelur.
11. Semporna
merupakan pusat penternakan mutiara dan rumpai laut terbesar di
Sabah. Produk ini dieksport hingga ke luar negeri.
12. Industri kelapa
sawit merupakan bidang pertanian yang dominan di Semporna. Oleh itu
jangan hairan jika disepanjang perjalanan anda dari lapangan terbang
Tawau ke Semporna anda akan melihat hanya ladang-ladang kelapa sawit
sahaja. Kelapa sawit telah menggantikan penanaman koko dan kelapa
yang satu masa dahulu diusahakan oleh penduduk tempatan.
13. Kepada pengunjung
muslim dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia, hati-hati dengan waktu
sembahyang atau berbuka puasa apabila berkunjung ke Semporna. Ini
kerana daerah ini mendapat cahaya matahari terlebih dahulu
berbanding tempat anda. Jika pada bulan puasa, waktu maghrib di sini
adalah seawal jam 5.49 petang! Begitu juga dengan waktu subuh, ia
bermula seawal jam 4.38 pagi. Terbit matahari adalah seawal jam 6.00
pagi.
14. 'Payau' merupakan
bahasa tempatan merujuk kepada rusa. 'Nasi Payau' merupakan juadah
istimewa yang boleh dipesan di restoran tempatan Semporna. Nasi
payau (Nasi daging rusa) dihidangkan dengan nasi putih dan hirisan
tipis daging rusa masak halia. Selain menu ini, anda digalakkan
untuk mencuba 'kuehtiow basah - seafood' dan 'ikan belawis masak
sup-sayur'.
15. Suku kaum Bajau,
Suluk dan Bugis yang terdapat di daerah Semporna adalah dari
kumpulan suku-bangsa 'Malayo-Polinesia'. Keturunan bangsa-bangsa ini
beragama Islam turun-temurun dan mengekalkan adat-budaya mereka.
Kaum 'melayu' disini adalah merujuk kepada keturunan bangsa dari
Semenanjung Malaysia. Namun budaya suku kaum yang disebutkan ini
tidak jauh dari adat Melayu. Selain dari bertutur dalam bahasa
ibunda, mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu (dialek Sabah).
Adat-adat lain seperti menghormati tetamu, memuliakan golongan yang
lebih tua, perkahwinan dan majlis sambutan perayaan adalah sama
seperti kaum melayu lain.
16. Kaum Bajau
Semporna dan Palauh adalah dua bangsa yang berbeza. Sebenarnya
perkataan 'Bajau-Laut' yang merujuk kepada 'palauh' adalah tidak
tepat dan disalahertikan. Kaum Palauh ini hidup di perahu,
kebanyakkannya tidak ada agama dan tergolong dalam kumpulan 'orang
asli'. Mereka hanya singgah ke daratan untuk mendapatkan keperluan
harian dan kecemasan. Perkara menarik tentang Palauh adalah mereka 'tidak
berasa takut' dengan haiwan laut biar sebesar mana sekalipun. Mereka
juga pelayar dan penyelam yang handal. Palauh dilindungi oleh PBB
(United Nation) dan kaum ini tiada kena-mengena dengan orang
kepulauan Republik Palau di kawasan utara Laut Pasifik.