Taman
Pulau Tiga
Pengenalan dan lokasi
Pulau
Tiga, pada mulanya merupakan Hutan Simpan, bagaimana pun, kawasan tersebut
telah ditawarkan sebagai Taman Negara Sabah, pada tahun 1978.
Taman Negara pulau
Tiga (sekarang dikenali Taman Pulau Tiga) meliputi keluasan 39,000 ekar
(15, 864 hektar). Pulau Tiga sendiri, mempunyai keluasan 1,500 ekar (607
hektar), manakala selebihnya adalah meliputi kawasan laut bunga karang
termasuklah dua pulau kecil yang dikenali sebagai Pulau Kalampunian Besar
dan Kalampunian Damit (Pulau Ular).
Taman Pulau Tiga,
terletak di kawasan Teluk Kimanis, kira-kira 50 kilometer dari Kota Kinabalu.
Pekan Kuala Penyu adalah merupakan pekan dan daratan yang terdekat dengan
Taman Pulau Tiga, iaitu kira-kira 16 kilometer. Para pengunjung boleh datang
ke Taman tersebut dengan menaiki bot dari Kuala Penyu. Biasanya perjalanan
dengan bot memakan masa lebih kurang 25 minit. Para pelawat dari Kota Kinabalu
atau W.P. Labuan, boleh menggunakan speed boat (bot laju) dan biasanya
memakan masa 90 minit.
Daya tarikan yang terdapat di
Taman Pulau Tiga
Selain daripada
keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar, seperti hutan dara,
tumbuhan bakau (mangrove), pantai-pantai yang berkilauan, di Taman Pulau
Tiga memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat lebih kurang 60
spesis burung, termasuklah burung Tambun (Megapodius freycinet) yang merupakan
endemik species, di kepulauan Borneo. Selain daripada burung-burung, Taman
Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa jenis binatang liar seperti
Monyet (Maccaca Fasicularis), biawak (Eguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang
(Flying fox). Manakala di Pulau Kalampunian Damit (Pulau Ular), para pelawat
dapat menyaksikan beratus-ratus ekor ular laut (Laticuda Calubrina) yang
menjadi penghuni tetap di pulau tersebut. Pulau Ular (Snake Island) sejak
kebelakangan ini telah menjadi tumpuan para pelawat dari luar negara.
Para pelawat yang
berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan merasai satu kepuasan
apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut, termasuklah bunga karang,
yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah dipercayai terumbu karang
ini di antara yang tercantik di dunia.
Turut menjadi daya
tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung Berapi Lumpur
(Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang terdapat dipesisiran
pantai.
Untuk keterangan lanjut
tentang kemudahan Pulau Tiga, sila lawat laman web Pulau Tiga
|