Menu Utama |
|
Latar Belakang Daerah Kota Belud
Daerah Kota Belud terletak di Pantai Barat Utara Negeri Sabah, adalah di unjuran kaki Gunung Kinabalu - gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, mengarah ke Utara dan lembahnya dibatasi Laut Cina Selatan.
Daerah Kota Belud mempunyai keluasan 1,385.6 km persegi dan terdiri daripada 168 buah kampung. Ia belum lagi termasuk Pekan Nabalu yang kini telah diletakkan dibawah pentadbiran daerah Kota Belud dan di dalam kawasan perkadaran Majlis Daerah Kota Belud.
Daerah Kota Belud dikelililingi beberapa daerah lain yang bersempadan dengannya, seperti Tuaran, Kota Marudu dan Ranau. Kedudukan daerah Kota Belud yang strategik, menjadi persinggahan utama ke daerah-daerah di Bahagian Pantai Barat Utara, seperti Kota Marudu, Pitas, Matunggong, Banggi dan Kudat. Dengan sempurnanya By-pass Kota Belud / Ranau yang melalui di Kawasan N.7 Kadamaian, telah memendekkan dan memberi keselesaan perjalanan ke Ranau tanpa bersusah payah melalui daerah Tuaran mahupun Tamparuli.
|
Bagaimana Kota Belud Mendapat Namanya?
Petikan asal bahasa Kaum Bajau. KOTA bermakna KUBU PERTAHANAN, dan BELUD bermakna BUKIT. Makanya, Kota Belud diertikan sebagai KUBU PERTAHANAN DI ATAS BUKIT.
Menurut cerita dari mulut ke mulut, bahawa pada zaman silam, sebelum adanya badan pemerintah, sering berlaku permusuhan antara kaum dan antara kampung. Demi memperkukuhkan pertahanan masing-masing, mereka terpaksa mencari tempat untuk bertahan daripada serangan musuh. Justeru itu, kaum Bajau telah memilih sebuah bukit sebagai kota (kubu) mereka, dan kubu pertahanan itu, dikenali sebagai Kota Belud. Setelah tibanya zaman pemerintah dan berlaku pembahagian daerah di Negeri Sabah, maka daerah ini dikenali dengan rasminya sebagai daerah Kota Belud. Sejak itu, bukit tersebut yang juga dikenali sebagai Bukit Perintah, telah dibangunkan sebagai Pusat Pentadbiran daerah dan sehingga kini menempatkan beberapa bangunan kerajaan lain, termasuklah bangunan rumah bekas Pegawai Daerah, yang kini telah dijadikan sebahagian dalam kawasan Rekreasi Taman Tun Said.
|
|
|