Sub Menu 
 
TAKRIF ZAKAT

Dari segi Bahasa
Perkataan "Zakat" dalam Bahasa Arab merupakan kata dasar dari "Zaka" yang bererti berkal, tumbuh, suci, bersih dan baik yang maksudnya membersihkan dan mengembangkan. 

Dari segi Istilah / Fikhiyah/ Syarak.
Zakat bererti "Sejumlah harta tertentu yang diwajibkan Allah diserahkan kepada orang-orang yang berhak" atau "Nama bagi bahagian yang tertentu dari harta yang tertentu yang wajib diberikan kepada orang-orang yang tertentu dengan syarat-syaratnya".

PENSYARIATAN ZAKAT

Perintah Zakat. 

1. Firman Allah s.w.t. 

Maksudnya:

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya (zakat itu) engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Al-Taubah – 9:103)

Dalam Kitab Sahih Bukhari dan Muslim, melalui sumber utamanya “Ibnu Omar”, Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya:

“Saya diperintahkan memerangi manusia kecuali bila mereka mengikrarkan syahadah bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad Rasul Allah, dan mendirikan Solat dan membayar Zakat. “

2. Rukun Islam 

Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam. Sabda Rasulullah S.A.W

Maksudnya : 

“Islam itu diasaskan di atas lima tunggak, mengikrarkan bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan Solat, membayar Zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan melaksanakan Haji bagi siapa yang mampu”

(Hadith “Sepakatan bersama” melalui sumber utamanya “Ibnu Umar”)

Dengan ini nyatalah bahawa tujuan atau hikmat Zakat itu diwajibkan ialah untuk membersihkan orang-orang kaya dari perasaan bakhil kedekut, dan membersihkan orang-orang fakir miskin dari perasaan dendam dan hasad dengki terhadap orang-orang yang hidup mewah, malah untuk membersihkan masyarakat umumnya dari segala kekecewaan dan huru hara yang akan timbul dari golongan yang tidak puas hati, yang merasa dirinya tidak mendapat pembelaan.

Jelasnya, tujuan amalan Zakat ialah untuk membentuk masyarakat adil. Golongan yang senang menolong golongan yang susah;, dan sabaliknya golongan yang susah mengasihi golongan yang senang.

Zakat juga membersihkan harta daripada perkara-perkara yang merosakkannya. Ini diterangkan dalam hadis yang bermaksud:

“Dari Jabir r.a. katanya: Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesiapa yang menunaikan zakat hartanya, nescaya hapuslah segala apa jua yang merosakkan hartanya.”

Dengan mengeluarkan zakatnya, baharulah harta itu menjadi bersih dari hak fakir miskin dan golongan-golongan lain yang diwajibkan padanya, jika tidak maka itu akan punah ranah dan tuanya akan menerima akibat yang buruk di dunia dan di akhirat.

ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Orang yang berhak menerima zakat telah pun ditetapkan oleh Allah meliputi lapan (8) asnaf atau “lapan jenis” sebagaimana yang diterangkan oleh Allah dalam surah Al-Taubah ayat 60:

Maksudnya :

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu   hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan Amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada Jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalan perjalanan. (Ketetapan hukum yang datangnya dari Allah, dan (ingatlah ) Allah Maha Mengetahui, lagi maha Bijaksana.”

MAKSUD GOLONGAN ASNAF

Maksud golongan (asnaf) yang dikehendaki oleh ayat A-Quran di atas adalah seperti berikut :-

1. Fakir

Orang yang tidak mempunyai harta dan tiada mata pencarian, atau ada mempunyai mata pencarian tetapi hasil pendapatannya itu tidak sampai separuh daripada keperluan asas.

2. Miskin

Orang yang ada mempunyai harta atau ada mata pencarian tetapi hanya dapat menampung separuh/lebih daripada keperluan semasa sama ada bagi dirinya sendiri atau keluarga yang di bawah tanggungannya.

3. Amil

Pemungut Zakat yang dilantik oleh pemerintah Islam.

4. Muallaf

Orang yang baru memeluk agama Islam iaitu “orang yang dijinakkan hatinya’ dengan diberi bantuan supaya mereka tetap teguh menyintai Islam.

5. Hamba (Al-Riqab)

Hamba sahaya yang diberi peluang oleh tuannya untuk menebus/memerdekakan dirinya, tetapi ia tidak mempunyai wang bagi tujuan tersebut.

6. Orang yang berhutang (Al-Gharimin)

Orang yang menanggung hutang yang dibenarkan oleh syarak seperti hutang untuk muslihat orang ramai tetapi is tidak mampu membayar hutangnya itu.

7. Fisabilillah

Orang yang berjuang untuk keperluan dan muslihat orang-orang Islan demi menegakkan Syiar Islam.

8. Ibnu Sabil

Orang-orang yang keputusan/kehabisan wang atau perbelanjaan untuk meneruskan perjalanan yang bertujuan baik dan dibenarkan oleh Syarak

 
GANJARAN BERZAKAT

Firman Allah 

Maksudnya:

“Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah (zakat). Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.” (al-Baqarah – 2:176)

Laki-laki dari suku Tamim yang memiliki harta yang banyak, kaya dan kaum keluarga serta sahabat handai yang ramai. Sabda Rasulullah S.A.W menjawab pertanyaan seorang,

Maksudnya:

“Anda keluarkanlah zakat dari harta tersebut, kerana itu merupakan pencuci yang akan membersihkan anda, anda hubungkan silaturahim dengan kaum keluarga dan anda akui hak si miskin, tetangga dan si peminta.” (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad melalui sumber Anas r.a) 

Pernah seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah S.A.Q “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda bila seorang itu menunaikan zakat hartanya”

Sabda Rasulullah:

Maksudnya:

“Barang Siapa yang membayar zakat hartanya, bererti hilanglah kejelekannya”

PERINGATAN KEPADA ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR ZAKAT

Firman Allah S.W.T

Maksudnya:

“Dan janganlah sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa perihal bakhil itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat.” (Al-Imran – 3:180)

Firman Allah S.W.T

Maksudnya:

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima tambah lagi Maha Penyayang.” (Al-Taubah – 9:104)

Sabda Rasulullah S.A.W

Maksudnya:

“Kekayaan tidak akan binasa, di darat mahupun di laut, kecuali bila zakatnya tidak dikeluarkan.” (Dipetik dari kitab “Majmak Az-Zawaid Jilid III Halaman 93)

ORANG YANG ENGGAN MEMBAYAR ZAKAT

Sebagai salah satu perkara agama yang diwajibkan, bahkan salah satu ‘rukun Islam’, ketetapan hukum mengenai keengganan seseorang untuk membayar zakat adalah seperti berikut:-

  1. Murtad (Terkeluar dari Islam)
    Jika seseorang itu mengingkari tentang wajibnya hukum mengeluarkan zakat.

  2. Berdosa besar
    Jika enggan membayar zakat tetapi masih tetap beri’tikad bahawa hukum zakat itu adalah wajib

Dalam keadaan ini (2) pemerintah Islam bertanggungjawab mengambil zakat dengan paksa serta menghukum orang yang enggan itu dengan hukuman “Ta’zir”.

Sekiranya mereka terdiri daripada satu kumpulan yang ramai bilangannya dan mempunyai kekuatan pertahanan, maka pemerintah Islam bertanggungjawab memerangi mereka sehingga mereka tunduk menyerah dan membayar zakat.

Hal ini diterangkan oleh hadith riwayat Bukhari dan Muslim:-

‘Rasulullah bersabda: “ Saya diperintahkan untuk memerangi mereka, kecuali bila mereka sudah mengikrarkan syahadat bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah Rasul-Nya, mendirikan sembahyang, dan membayar zakat. Bila mereka sudah melaksanakan hal itu, maka darah mereka sudah memperoleh perlindungan dari saya, kecuali oleh kerana hak-hak Islam lain, yang dalam hal ini perhitungannya diserahkan kepada Allah.”

Adalah diharapkan agar halaman web ini dapat dijadikan panduan oleh pembaca bagi melaksanakan rukun Islam yang keEmpat demi untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Semoga usaha-usaha murni yang dilaksanakan itu nanti akan beroleh ganjaran yang berlipat ganda di mana Allah sahaja yang  Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

WAKTU PEMBAYARAN ZAKAT DAN HUBUNGANNYA DENGAN BULAN RAMADHAN ATAU PERMULAAN TAHUN

Ramai orang menyangka bahawa membayar zakat hanya wajib ditunaikan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Setengah daripada mereka menghubungkan pembayaran zakat dengan bulan Ramadhan. Terdapat dalam setengah athar (amalan sahabat) bahawa Saidina Othman telah memilih bulan Ramadnan sebagai bulan pembayaran zakat. Beliau pernah berucap dalam khutbahnya yang bermaksud:

“Bulan ini ialah bulan kamu mengeluarkan Zakat”

Bulan Ramadhan adalah bulan yang dipilih oleh beliau selaku pemerintah bertujuan untuk kebaikan umum. Sebenarnya zakat dikatikan dengan bulan Ramadhan ialah kerana kelebihan bulan tersebut disunatkan bersedekah, bermurah hati dan kerana kebiasaanya umat islam mengeluarkan zakat ketika tibanya bulan Ramadhan. Tetapi pilihan ini bukanlan berdasarkan kepada hukum yang pasti diikuti.

Terdapat satu cara lama ketika mengeluarkan zakat Ternakan, cara ini bertujuan untuk memudahkan Pembayaran zakat yang dipilih oleh pemerintah iaitu dengan menetapkan masa yang tertentu bagi pembayarannya. Ini akan memudahkan lagi pengiraan dan pengurusan zakat.

Ahli-ahli feqah mengatakan sunat bagi Pembayaran zakat dibuat dalam Bulan Muharram kerana ianya merupakan awal Tahun di dalam Islam.

Syarak telah menetapkan syarat cukup haul iaitu cukup 1 tahun yang bermula dengan sempurnanya nisab. Perkara ini berlaku dalam keadaan yang berlainan bagi seseorang.

Kesimpulannya, masa-masa tertentu atau Bulan-bulan tertentu untuk mengeluarkan zakat adalah soal pentadbiran, dan bukan menjadi hukum yang mempunyai kaitan dengan sah atau tidaknya zakat yang dikeluarkan.

HUKUM ZAKAT YANG TERHUTANG

Barang siapa yang telah menjalani masa bertahun-tahun sedang ia belum memenuhi kewajipan zakatnya, mestilah mengeluarkan keseluruhannya, baik orang itu mengetahui bahawa zakat itu wajib atau tidak, biar di negeri Islam mahupun di negeri perang. 

Berkata Ibnu Muadzir: "Seandainya suatu negeri dikuasai oleh orang-orang derhaka, hingga penduduk belum membayar zakat mereka, selama bertahun-tahun, kemudian negeri itu dapat direbut oleh Imam (khalifah), maka menurut Imam Malik Syafie dan Abu Tsaur , hendaklah ia memungut dari mereka zakat masa yang lalu (zakat yang terhutang).”

ORANG YANG MATI MASIH BELUM MEMBAYAR ZAKAT

Orang-orang yang telah meninggal dunia tetapi semasa hayatnya ia masih Belum/tidak membayar zakat bagi harta-harta kepunyaaanya yang telah cukup segala syarat wajib zakat, maka menjadi kewajipan bagi waris simati mengeluarkan zakat dari harta tersebut terlebih dahulu sebelum menunaikan/melaksanakan perkara-perkara berikut:-

  1. Membayarkan hutang piutang simati kepada sesama manusia.

  2. Melaksanakan wasiat yang berkaitan dengan harta peninggalan simati.

  3. Membuat pembahagian kepada waris (Faraid).

Adalah tidak tepat amalan yang dilakukan sekarang iaitu pembahagian harta pusaka kepada waris-waris simati didahulukan sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia, sedangkan masih ada lagi beberapa perkara yang mesti diberi keutamaan seperti mengeluarkan zakat daripada harta tersebut.

Maksudnya :

“ Maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan”

KHUTBAH JUMAAT - KEWAJIPAN ZAKAT

Kaum Muslimin saudara-saudari sidang jumaat yang sama-sama berbahagia.

Terlebih dahulu, sayugia khatib mewasiatkan diri sendiri dan saudara-saudara yang dihormati sekalian, supaya sama-sama bertakwa kepada Allah S.W.T. Sungguh benar, barang siapa yang bertakwa itu telah mendapat kejayaan.

Alhamdulilah dan bersyukur kita ke hadirat Allah, dalam kesempatan kali ini, membolehkan kita membincangkan salah satu perkara pokok dan tunggak ajaran agama Islam iaitu kewajipan berzakat. Rasullah S.A.W. ada bersabda:

Maksudnya :

“Dibina Islam itu atas lima tunggak. Pengakuan tidak ada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad S.W.T. itu hamba dan rasulNya. Mendirikan sembahyang fardu 5 kali sehari semalam, mengeluarkan zakat (harta dan fitrah) melakukan Haji dan berpuasa dalam bulan Ramadhan.”

Kaum Muslimin yang dirahmati Allah,

Perkataan zakat berasal daripada kalimah Arab klasik, yang pernah digunakan oleh masyarakat Arab kuno sebelum kedatangan Islam lagi. Imam al-Mawardi dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniah menegaskan bahawa perkataan sedekah yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis memberi makna kepada zakat. Beliau berkata "perkataan sedekah itu semakna dengan perkataan zakat, sebutan nama yang berlainan tetapi memberi makna yang serupa".

Dalam hubungan ini, ungkapan kata dasar zakat itu pula, menurut ilmu bahasa memberi maksud suci, subur, pintar, bertambah, sedekah dan terpuji.

Sementara itu, para ulama fiqah mendefinasikan zakat ialah: Penyerahan wajib sebahagian harta kekayaan kepada segolongan orang yang berhak menerimanya melalui amil yang bertauliah bagi mencari keredaan Allah, penyucian diri dan harta kekayaan untuk membangunkan masyarakat berdasarkan syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak - Allah S.W.T. berfirman.

Maksudnya :

“Ambilah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah atau zakat, supaya dengan itu engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). Dan berdoalah kepada mereka, Sesungguhnya doamu itu penenang bagi mereka, dan Allah itu maha mendengar dan maha mengetahui.”

Kaum Muslimin yang sama-sama berbahagia,

Kewajipan berzakat memberi kesan positif bukan saja kepada pembayar zakat itu sendiri, malah kepada harta dan kepada seluruh masyarakat. Zakat berkait rapat dengan sistem ekonomi, sosial, politik, akhlak, iman dan budaya sesebuah masyarakat dan individu kerana zakat lahir daripada konotasi yang mantap. Seruan zakat pula berupaya memberi respon untuk menggerakkan pembayar zakat dan masyarakat kepada pembangunan yang bersifat menyeluruh dan berlanjutan. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan keluarkan zakat. Dan apa yang kamu lakukan untuk diri kamu daripada kebaikan, nescaya akan kamu dapati/perolehi kelak disisi Allah, sesungguhnya Allah itu dengan setiap yang kamu lakukan maha melihat.”

Kaum Muslimin sidang jumaat yang sama-sama berbahagia,

Zakat merupakan satu sistem yang menekankan kepada kesepaduan kualiti dan kuantiti. Zakat diwajibkan untuk melindungi, melatih dan menjamin pembangunan ummah. Dengan itu, sistem zakat menjadi satu mekanisma yang menggarapi keseluruhan sistem kehidupan sebuah masyarakat supaya dapat menikmati kehidupan yang cemerlang. Sebab itu Allah S.W.T. mengingatkan umat Islam supaya bersegera menunaikan kewajipan berzakat, sebelum saat kematian. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan belanjakanlah (berzakat) sebahagiannya daripada harta yang kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu didatangi oleh ajal maut. Hubaya-hubaya, Kamu akan menyesal dan bermohon kepada Allah: "Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau dilambatkan kematianku ini walaupun seketika supaya aku dapat berzakat/bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang salih.”

Kaum Muslimin yang sama-sama berbahagia,

Zakat yang diwajibkan oleh Islam itu bukan sahaja ibadah ritual semata-mata malah merupakan satu sistem kehartaan dan ekonomi umat Islam yang berperanan untuk membangun diri manusia dan budaya mereka. Dengan itu, zakat yang terkumpul adalah salah satu sumber tetap perbendaharaan Islam (Baitul Mal).

Perkataan zakat sering diulang-ulang di dalam al-Quran kerana harta dalam ajaran Islam sentiasa berfungsi untuk faedah pembangunan masyarakat, samada ia menjadi modal atau menjadi sumber kebajikan. Harta dalam Islam tidak boleh dibekukan dalam simpanan sahaja tanpa dikeluarkan zakatnya. Tuhan berfirman yang bermaksud:"supaya harta itu tidak hanya teredar diantara orang-orang kaya sahaja". Dan dalam ayat yang lain Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan orang yang menyimpan emas dan perak (wang) dan tidak membelanjakannya kepada jalan Allah (berzakat/bersedekah), maka khabarkanlah kepada mereka azab siksa yang tidak terperi sakitnya.”

Kaum Muslimin yang sama-sama berbahagia,

Zakat juga merupakan satu sistem yang berupaya menentukan keadilan sosial masyarakat kerana zakat berperanan menjamin perlindungan dan pertanggungjawaban terhadap kesejahteraan dan keamanan ummah. Golongan kaya wajib menunaikan sumbangan yang berbentuk zakat kepada golongan fakir miskin dan golongan yang perlukan bantuan kebendaan. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Sesungguhnya dana zakat terkumpul itu adalah untuk diagih-agihkan secara adil/saksama kepada orang-orang fakir, golongan miskin, para amil-amil zakat, golongan mualaf, hamba-hamba yang ingin memerdekakan diri, untuk kebaktian di jalan Allah dan kepada musafir yang keputusan belanja diperjalanan.”

Kaum Muslimin yang sama-sama berbahagia,

Ketahuilah dan sungguh benar, dana zakat yang terkumpul adalah satu jaminan terhadap keperluan sosial ummah supaya mereka dapat turut serta dalam kehidupan bermasyarakat, tidak menjadi individu atau golongan yang terpinggir dan terpencil. Allah memberi amaran keras terhadap orang yang kaya tetapi bersifat kedekut serta cuai kepada golongan daif. Ancaman yang akan dirasai ialah mereka akan dihumbankan ke dalam neraka saqar dan wayl, kerana mereka termasuk orang-orang yang mendustakan agamanya.

Allah memberi amaran keras kepada orang-orang musyrik dan menerangkan ciri-ciri mereka, iaitu tidak membayar zakat dan mengingkari hari akhirat. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Celakalah orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, iaitu orang-orang yang tidak membayar zakat dan mengingkari hari akhirat.”

Oleh itu, kaum muslimin sekalian, ketahuilah dalam setiap harta yang kita perolehi dan yang kita miliki itu terdapat hak orang-orang yang memerlukannya. Allah berfirman:

Maksudnya :

“Dan adapun dalam setiap harta yang mereka miliki itu terdapat bahagian atau hak bagi mereka yang meminta-minta dan pada mereka yang memerlukan bantuan”

Disediakan oleh: Abu Nadera Mohd.Zaratkhan Abd.Rahman Yarali Khan

ke muka depan

Disediakan oleh
Bahagian Baitulmal dan Zakat
Majlis Ugama Islam Sabah.
baitulmal@sabah.gov.my