Perlembagaan Kelab

KELAB REKREASI, SUKAN & KEBAJIKAN
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT DAN HAL EHWAL PENGGUNA, KOTA KINABALU, SABAH

 

FASAL 1 - NAMA PERTUBUHAN

1.1
Kelab ini dinamakan sebagai Kelab Rekreasi, Sukan & Kebajikan Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Kota Kinabalu dan selepas ini disebut Kelab.

FASAL 2 - ALAMAT DAN TEMPAT MESYUARAT

2.1
Alamat berdaftar Kelab dan alamat surat menyurat adalah :
 

Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna
Beg Berkunci 2018, Tingkat 1 (Podium)
Wisma Tun Fuad Stephens, Karamunsing
88300 KOTA KINABALU, SABAH

Atau di lain lokasi yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa.

2.2
Alamat berdaftar dan alamat surat menyurat Kelab tidak boleh diubah tanpa mendapat kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.
FASAL 3 - OBJEKTIF KELAB
3.1
Mempertingkatkan persefahaman dan semangat muhibbah di kalangan kakitangan.
3.2
Mengeratkan hubungan antara kakitangan Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna dengan pertubuhan-pertubuhan, persatuan-persatuan dan kelab-kelab berdaftar lain di Negeri Sabah.
3.3
Mengendali dan menyelaras segala aktiviti-aktiviti yang berhubung dengan Kebajikan, Sukan dan Rekreasi di kalangan kakitangan Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna.
FASAL 4 - KEAHLIAN
4.1
Keahlian kelab ini adalah terbuka dan secara automatik kepada semua kakitangan Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.
4.2
Keahlian seseorang akan terbatal dengan sendirinya apabila tidak lagi bertugas di Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna.
4.3
Tiap-tiap ahli baru hendaklah membayar bayaran masuk dan yuran bulan pertama seperti yang ditetapkan, diterima menjadi ahli Kelab dan berhaklah ia sebagai ahli.
FASAL 5 - YURAN KEAHLIAN DAN YURAN BULANAN
5.1

Yuran masuk dan yuran bulanan yang hendak dibayar adalah seperti berikut :

Yuran Masuk - RM 5.00 (Sekali sahaja)
Yuran Bulanan - RM 2.00
( Yuran Satu (1) tahun - RM20.00 )

5.2
Yuran bulanan hendaklah dibayar pada hari penerimaan gaji bulanan setiap bulan. Pembayaran yuran bulanan juga boleh dibuat untuk satu (1) tahun.
5.3
Ahli yang tidak membayar yuran berlanjutan selama 3 bulan akan menerima satu surat ingatan yang ditandatangani oleh Pengerusi Kelab.
5.4
Kutipan atau derma ikhlas boleh dijalankan kepada ahli kelab ini untuk sesuatu perkara yang tertentu dengan persetujuan Ahli Jawatankuasa.
FASAL 6 - PEMECATAN DAN PEMBERHENTIAN AHLI
6.1
Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang kelab atau bertindak dalam apa cara yang akan mencemar nama kelab boleh dipecat atau digantungkan keahliannya dalam sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa.
6.2
Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan itu. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung ditunda atau membatal keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 7 - MESYUARAT AGUNG
7.1
Pengelolaan Kelab ini tertakluk kepada Mesyuarat Agung Kelab. Sekurangnya satu pertiga daripada jumlah ahli-ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli-ahli Jawatankuasa, ikut mana yang kurang hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi bilangan ( korum ) untuk mesyuarat.
7.2

Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh ( tidak lebih daripada 30 hari ) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang kelab dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

7.3

Mesyuarat Agung Tahunan bagi Kelab hendaklah diadakan dengan segera setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah :

 

a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan kerja-kerja Kelab di dalam tahun yang lalu;

b) Menerima laporan Bendahari dan Penyata Kira-kira yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

c) Melantik ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-kira untuk tahun yang akan datang;

d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

7.4
Setiausaha hendaklah menghantar notis mesyuarat kepada setiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Satu pengumuman mesyuarat yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat serta agenda termasuk salinan-salinan peringatan mesyuarat dan laporan-laporan berserta dengan Penyata Kira-kira Kelab bagi tahun lalu yang telah diaudit hendaklah disediakan oleh Setiausaha. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat berdaftar Kelab.
7.5

Mesyuarat Agung Khas bagi kelab ini boleh diadakan :

 

a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau

b) Atas permintaan majoriti secara bertulis tidak kurang daripada 1/5 daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

7.6
Fasal 8 (1) dan 8 (2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.
FASAL 8 - JAWATANKUASA
8.1
Satu Jawatankuasa hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan seperti berikut :
 
1. Pengerusi
2. Timbalan Pengerusi
3. Setiausaha
4. Penolong Setiausaha
5. Bendahari
6. Penolong Bendahari
7. 5 orang Ahli Jawatankuasa Biasa
8.2
Pemegang-pemegang jawatan Kelab ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas dalam Kelab ini hendaklah warganegara Malaysia.
8.3
Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadangkan dan disokong, dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
8.4
Tanggungjawab Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Kelab dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Kelab dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidak boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa taat kepada keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah memberi laporan berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
8.5
Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
8.6

Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan daripada ahli-ahli Jawatankuasa dengan menggunakan Surat Pekeliling. Syarat-syarat berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

 

Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam Surat Pekeliling yang dihantar kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka kepada cadangan itu; dan

Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa kemudiannya untuk disahkan dan dicatitkan di dalam peringatan mesyuarat.

8.7
Ahli Jawatankuasa yang tidak hadir Mesyuarat Jawatankuasa tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
8.8
Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan calon yang kedua terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk mengisi kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli Kelab yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
FASAL 9 - KEWAJIPAN PEGAWAI
9.1
Pengerusi
 
Hendaklah mempengerusikan semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab di atas kesempurnaan perjalanan setiap mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Kelab bersama Setiausaha dan Bendahari.
9.2
Timbalan Pengerusi
 
Hendaklah membantu Pengerusi menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.
9.3
Setiausaha
 

Hendaklah menjalankan kerja-kerja Kelab mengikut undang-undang Kelab dan beliau hendaklah menjalankan Perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua rekod-rekod, surat-surat serta dokumen-dokumen lainnya kecuali buku kira-kira atau buku kewangan. Ia hendaklah hadir dalam semua mesyuarat dan membuat catitan-catitan mesyuarat. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli.

Setiausaha hendaklah mengirim penyata tahunan Kelab kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa 28 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

9.4
Penolong Setiausaha
 
Menolong Setiausaha menjalankannya dan memangku jawatan Setiausaha semasa ketiadaan Setiausaha.
9.5
Bendahari
 
Adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal Kewangan Kelab. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab tentang kesahihannya. Beliau hendaklah memberikan laporan kewangan kelab dalam setiap Mesyuarat Agung Tahunan. Ia hendaklah menandatangani semua cek-cek Kelab bersama Pengerusi dan Setiausaha.
9.6
Penolong Bendahari
 
Hendaklah membantu Bendahari dalam menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan Bendahari semasa ketiadaan Bendahari.
9.7
Ahli Jawatankuasa Biasa
 
Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
FASAL 10 - KEWANGAN
10.1
Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan yang berikut bagi undang-undang ini, wang Kelab ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Kelab, termasuklah belanja pentadbiran, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji. Walau bagaimanapun tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah.
10.2
Bendahari dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM100.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dalam tempoh 3 hari dimasukkan ke dalam bank yang disetujui oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Kelab.
10.3
Segala cek-cek atau penyata pengeluaran wang dari kira-kira Kelab hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi bersama Bendahari dan Setiausaha, semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang Kelab.
10.4
Perbelanjaan yang lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus) bagi sebulan tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi bersama Bendahari dan Setiausaha.
10.5
Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan berserta timbangan kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira mengikut undang-undang Fasal 11 dengan segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutan, dan salinan-salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di alamat berdaftar kelab.
10.6
Tahun Kewangan Kelab ini bermula dari 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
FASAL 11 - PEMERIKSA KIRA-KIRA
11.1
Dua orang yang bukannya ahli Jawatankuasa Kelab boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama satu tahun dan boleh dilantik semula.
11.2
Tugas Pemeriksa-pemeriksa Kira-Kira adalah memeriksa kira-kira Kelab bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Mereka harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Pengerusi memeriksa kira-kira Kelab bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan-jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
FASAL 12 - PEMEGANG AMANAH
12.1
Tiga orang pemegang amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Kelab. Kepada mereka akan diamanahkan semua harta tetap kepunyaan Kelab dengan menandatangani suatu Surat Amanah ( Deed of Trust ).
12.2
Pemegang amanah tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan milik harta kepunyaan kelab dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung.
12.3
Seorang Pemegang amanah boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana lain sebab yang menyebabkan dia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pemegang amanah maka kekosongan itu boleh dipenuhkan oleh Pemegang amanah yang baru dilantik di dalam Mesyuarat Agung.
FASAL 13 - TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
13.1
Di antara Mesyuarat-mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan bila mustahak memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
13.2
Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.
FASAL 14 - PENASIHAT/ PENAUNG
14.1

Jawatankuasa Kelab ini boleh jika difikirkan perlu melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/ Penaung bagi Kelab ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

FASAL 15 - LARANGAN
15.1
Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Kelab: Roulette, Lotto, Pan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, Semua Permainan Dadu, Banker's Game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.
15.2
Kelab atau ahli-ahlinya tidak boleh mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam Gerakan Kesatuan Sekerja seperti yang diterangkan di dalam Ordinan Kesatuan Sekerja, 1959.
15.3
Kelab ini tidak boleh menjalankan loteri samada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak atas nama Kelab atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa atau ahli tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa berkenaan.
15.4
Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Kelab kepada mana-mana ahli Kelab.
FASAL 16 - PINDAAN UNDANG-UNDANG
16.1
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan hendak membuat perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan dan pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
FASAL 17 - PEMBUBARAN
17.1
Kelab ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima jumlah semua ahli-ahli yang berhak mengundi di dalam Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.
17.2
Sekiranya Kelab hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Kelab yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Agung.
17.3
Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di masa 14 hari dari tarikh keputusan pembubaran itu.

 

Kembali

Laman Utama