PENDUDUK DAERAH TENOM
Daerah Tenom mempunyai bilangan penduduk seramai 39,240 orang mengikut banci (Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia Tahun 2000). Pada tahun 2006 penduduk Tenom seramai 51,000 orang . Bilangan ini termasuk Daerah Kecil Kemabong. Suku kaum Murut merupakan suku kaum yang terbesar iaitu 60%, diikuti oleh cina 20%, Melayu 10%, Dusun/Kadazan 8% dan lain-lain 2%. Suku kaum Murut terbahagi kepada dua kumpulan iaitu suku Murut Timugon dan Murut Tagol Suku kaum Murut Timugon kebanyakannya menetap di Kawasan Mukim Pekan, Mukim Melalap dan Mukim Entabuan manakala kaum Murut Tagol menetap di kawasan di Mukim Sapong, Mukim Kemabong, Mukim Tomani dan Mukim Rundum.
Daerah Tenom mempunyai kebudayaan dari berbagai kaum. Ia memberi sumbangan dan gabungan dari berbagai kaum, khususnya Murut Tagol, Murut Timugon, dan Suku Lundayeh, Melayu dan Cina. Sikap tolak ansur antara kaum juga nampak dan jelas menjadikan pegangan. Semua bentuk kebudayaan serta agama lain adalah dihormati. Di majlis-majlis perkahwinan, Sambutan Hari Raya Aidilfitri/Adha, Hari Natal atau Krismas, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan atau hari Napangan Nanantab dan lain lain, masyarakat dari semua kaum akan bergaul dan mengunjungi rumah saudara mara tanpa mengira keturunan dan agama demi mengeratkan tali persahabatan serta muhibbah yang telah diamalkan sejak sekian lama.
Agama Kristian dianuti oleh sebahagian daripada masyarakat Murut Lundayeh dan Kadazan / Dusun. Agama Buddha dianuti oleh Masyarakat Cina. Selain itu terdapat sebahagian daripada masyarakat Murut Lundayeh, Cina yang menganuti agama Islam, Tao, Nasrani dan ada juga yang masih Pagan. Walaupun agama yang dianuti oleh masyarakat di Tenom, sesuatu yang jelas ialah kepatuhan terhadap tanggungjawab untuk mengerjakan ibadat sembahyang di kalangan komumniti -komumniti yang mengamalkan sistem yang berbeza-beza. Semuanya ini melambangkan toleransi yang wujud di kalangan kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza itu dan jelas juga selaras seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.
|