Copyright 2019 - Custom text here

SEJARAH

Daerah Kota Marudu yang mempunyai keluasan 1,917 kilometer persegi, terletak di utara negeri Sabah pada kedudukan garisan latitud 6’30”Utara dan garisan longtitud 116’45” Timur. Pentadbiran Daerah Kota Marudu bersempadan dengan Daerah Kudat dan Pitas di bahagian Utara, Daerah Beluran di bahagian Timur, Daerah Ranau bahagian Selatan dan Daerah Kota Belud di bahagian Barat. Daerah pentadbirannya meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri N.5 Tandek dan sebahagian lagi berada di kawasan Dewan Undangan Negeri N.4 Matunggong.

Menurut bahasa Momogun Rungus, Kota Marudu berasal dari kata bahasa Momogun Rungus iaitu “Sindaat Mogkorudu” di mana kawasan Bandau selama hampir 100 tahun dalam kiraan kalendar Momogun Rungus telah ditinggalkan setelah perang melibatkan Sindaat (sihir) yang dilancarkan oleh Aki Sook, seorang Bobolizan Rovusan. Mogkorudu bermakna “meratap atas kematian”. Mengikut legenda Momogun Rungus, Bandau telah dibuka oleh Aki Rungsud sebagai satu pusat perdagangan sistem barter pada zaman lampau dan pada zaman Aki Sook telah berlaku perebutan kuasa antara Momogun Rungus Pilapazan dan Momogun Rungus Kirangavan sehingga mengakibatkan perang Sindaat. Setelah Sindaat Mogkorudu dilancarkan, pusat perdagangan barter Momogun Purba itu telah ditinggalkan dan dikosongkan selama hampir 100 tahun iaitu selepas melalui kalendar Upacara Mamasi Pomogunan dan Upacara Managas.

Dalam versi lain pula, dikatakan “Marudu” berasal dari bahasa orang-orang Balanini iaitu daripada kata “MAIRUDU” atau MAIULUDU” yang dalam bahasa Melayu membawa maksud “suatu kedudukan di situ juga”. Orang-orang Balanini yang mendiami perairan Teluk Marudu melakukan aktiviti menangkap ikan dan perdagangan laut di perairan Marudu. Mereka sering kali belayar dari Limau-limauan Kudat menyusuri teluk Marudu hingga ke Kampung Telaga Pitas. Apabila mereka belayar balik ke seberang teluk di Limau-limauan mereka akan melalui jalan pintas atau menyeberangi Teluk Marudu dan tidak lagi menyusuri Teluk Marudu. Mereka yang berkomunikasi sesama orang laut apabila ditanya dari mana, mereka akan menjawab “Mairu du” atau “Mairu lu ” atau dalam bahasa Melayu bererti “di situ juga” (merujuk kepada kedudukan geografi Teluk Marudu yang membentuk satu lingkungan teluk yang besar). Lama-kelamaan istilah Mairudu bertukar kepada Marudu dan Mailudu menjadi Maludu. Justeru itu, penulis-penulis Barat pada era penjajahan sering kali merujuk Marudu sebagai Marudu, Marudo atau Maludu.

Nama Marudu mula dipetakan oleh seorang ahli pelayaran Belanda pada tahun 1595 yang belayar dari Brunei melalui Marudu menuju ke Palawan dan seterusnya ke Pulau Sulu. Sewaktu berada di perairan Marudu, beliau telah menemui orang-orang Balanini (Banaran) atau digelar juga oleh orang Sepanyol sebagai “Camucones” yang menjadi askar laut Kerajaan Brunei dan Sulu ketika itu. Orang-orang Balanini juga menamakan beberapa tempat di kawasan Teluk Marudu menggunakan bahasa mereka, antaranya ialah “Matunggong” (bererti di hujung pulau kecil dari kata Ma Tong Gong iaitu sebuah pulau kecil di muara Sungai Matunggong di Teluk Marudu), Bak-Bak (bererti tempat berjumpa dari kata “Bak”, iaitu sekarang Pantai Bak-Bak di Kudat), Bulih Adjung (bererti buritan kapal jong dari dua kata iaitu Buli dan Adjung, sebuah tempat berhampiran sungai Tandek, Kota Marudu), Sampang Mangayau (bererti menemui orang untuk beradu kekuatan, dari kata Sampang dan kata Mangayau ), “Pitas” dari kata “Pi Tas” (Pitas dalam bahasa Balanini bererti “suatu keadaan yang satu tapi akhirnya tercerai atau terpisah secara tidak sengaja”), Malubang dari kata “Ma Lobong” yang bererti “di tempat yang ada kuburan”, Tombarungus (dari kata “Tong Ma Rungus” yang bererti “Tanjung hujung yang dipunyai oleh orang Rungus”)dan banyak lagi nama-nama tempat di perairan Teluk Marudu berasal dari perkataan Balanini.

Pada mulanya, Kota Marudu dikenali sebagai Bandau. Nama ini telah digunakan semenjak sebelum Negeri Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia iaitu pada 16 September 1963 sehinggalah pada tahun 1974. Menurut legenda daerah ini, Bandau adalah terbitan daripada perkataan “Mondou” daripada dialek suku Momogun Rungus bermakna “ketua semua binatang buas” yang rupanya seakan-akan musang. Mondou dipercayai pada suatu ketika dahulu ditemui oleh Aki Rungsud di kawasan sepanjang Sungai Bandau.

Manakala nama Kota Marudu yang digunakan untuk menggantikan Bandau adalah sempena peninggalan sebuah kota atau kubu yang terletak di Teluk Bandau. Kota atau kubu Marudu merupakan sebuah kota yang diperbuat daripada batu-batu, tanah dan kayu-kayu keras seperti belian dan nibung yang dibuat oleh Shariff Osman dan pengikut-pengikutnya untuk mempertahankan Kota Marudu daripada pencerobohan penjajah Syarikat British. Di kawasan kota ini terdapat Makam Syariff Osman dan anaknya Syariff Merum serta beratus-ratus dan mungkin juga ribuan kuburan para pejuang yang berjuang menentang penjajah British. Makam syarif Osman pada asalnya mempunyai dua batu nisan yang jarak antara keduanya mencapai 20 kaki dan dipercayai sentiasa memanjang setiap hari. Makam ini dulunya dijaga dan diletakkan kelambu kuning tetapi pada masa ini dibiarkan begitu sahaja. 

 

 

 

Hakcipta Terpelihari @ 2017 Majlis Daerah Kota Marudu

Paparan terbaik menggunakan resolusi 1024 x 768, pelayar IE8, Mozilla Firefox, Google Chrome

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan

NOTIS PENAFIAN

Majlis Daerah kota Marudu tidak akan betanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami disebabkan penggunaan sebarang maklumat yang terdapat di dalam web ini.

HUBUNGI KAMI

Sebarang pertanyaan/nasihat boleh hubungi kami melalui:

Tel: 088-661163

Fax: 088-6616323