TEKS UCAPAN
>> 16 Jun 2009
   Galeri Peristiwa

UCAPAN YB. DATUK SERI PANGLIMA HAJI YAHYA HUSSIN
TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP
MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN SABAH
SEMPENA PERASMIAN SEMINAR KECERGASAN
JABATAN PERTANIAN SABAH KALI KE-6
PADA 16 JUN 2009 (SELASA), JAM 08.00 PAGI
DI INSTITUT PERTANIAN SABAH, TIMBANG MENGGARIS KOTA BELUD


Bismillahirahmannirrahim.... Assalammualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Terima kasih saudara/saudari Pengacara Majlis

Y.Bhg. Encik Idrus Shafie, Pemangku Pengarah Pertanian Sabah.

Yang Berusaha Encik Hanafiah Haji Arsad,
Timbalan Pengarah Pertanian Bahagian Pengurusan merangkap Pengerusi Penganjur Seminar Kecergasan Jabatan Pertanian Sabah kali ke-6.

Dif-dif Jemputan Khas,
Ketua-ketua Penolong Pengarah Pertanian dan Penyelidik,
Penolong-penolong Pengarah Pertanian dan Penyelidik,
Pegawai-pegawai Pertanian dan Penyelidik Kanan,
Para Peserta Seminar Kecergasan, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

Alhamdulilah syukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia- Nya, maka kita semua telah diberi kesihatan yang baik untuk berkumpul bersama-sama di majlis pada pagi ini. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pertanian Sabah kerana sudi menjemput saya untuk menghadiri dan seterusnya menyempurnakan perasmian Seminar Kecergasan Jabatan Pertanian Sabah kali ke-6 ini.

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Pertanian dan Kelab Rekreasinya kerana berjaya menganjurkan Seminar Kecergasan pada tahun ini. Kejayaan penganjuran seminar ini adalah berkat kerjasama dan sokongan yang padu dari semua peringkat kakitangan. Seminar Kecergasan yang diadakan pada pagi ini merupakan wadah terbaik untuk seluruh peringkatkan kakitangan Jabatan Pertanian menyemai dan meningkatkan lagi semangat kerjasama, kekitaan, kesamaan dan juga semangat berpasukan.

Hadirian sekalian.

Tema seminar kali ini iaitu `Cergas dan Cerdas Menjana Perkhidmatan Cemerlang’, amat tepat dan bersesuaian. Maksud Cergas ialah tahap ketahanan (endurance) seseorang dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Cerdas pula adalah berkaitan dengan minda. Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental juga perlu dijaga. Aspek amalan makanan dan pemakanan (diet and nutrition) juga perlu diberi perhatian yang berat. Kerajaan amat prihatin dan komited untuk melahirkan anggota-anggota perkhidmatan awam yang sihat dan cergas, baik dari segi fizikal mahupun mental, supaya kakitangan awam dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar kakitangan awam menghargai kesihatan. Gunakanlah kemudahan pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan atau klinik swasta yang disediakan oleh kerajaan. Saya difahamkan daripada seramai 101 orang Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam Jabatan Pertanian Sabah, hanya 4 orang pegawai sahaja yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan pada tahun 2006. Dalam tahun 2007 pula seramai 4 orang dan tahun 2008 hanya seramai 9 orang pegawai yang telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Sabah Medical Centre (SMC).

Angka tersebut jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran tentang kesihatan dikalangan kakitangan Jabatan Pertanian masih rendah. Perkara ini amat membimbangkan. Justeru, saya nasihatkan para pegawai Jabatan Pertanian agar gunakanlah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan mengadakan pemeriksaan kesihatan. Saya berharap selepas Seminar Kecergasan ini, para pegawai sedar tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan lebih ramai lagi yang akan tampil membuat pemeriksaan kesihatan tahun ini.

Hadirin sekalian.

Beberapa jabatan dan agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri telah menganjurkan beberapa acara sukan yang melibatkan jabatan-jabatan di bawah kementerian, baru-baru ini. Objektif dan matlamatnya adalah sama dengan seminar ini iaitu kesedaran tentang kesihatan dan juga untuk membentuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan kakitangan antara jabatan-jabatan.

Saya difahamkan Seminar Kecergasan ini bukan sahaja menumpukan terhadap aspek-aspek kesukanan semata-mata, tetapi merangkumi ceramah berkaitan dengan kesihatan, kecergasan dan juga motivasi. Seminar seumpama ini penting dalam membantu membangun modal insan yang trampil, berinovatif dan mempunyai daya saing yang tinggi di dalam jabatan.

Hadirin sekalian.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak telah mengilhamkan gagasan `Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Justeru, Jabatan Pertanian Sabah juga perlu melakukan satu transformasi baru iaitu `Satu Jabatan Pertanian, Petani didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Gagasan tersebut amat penting kerana masih ramai golongan petani tradisional khususnya di kawasan luar bandar yang amat memerlukan bantuan dan sokongan daripada Jabatan Pertanian. Mereka perlu dibela dan dibimbing agar dapat menyumbang dengan berkesan dalam memajukan sektor pertanian negeri dan sekaligus menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

Satu Jabatan Pertanian memberi maksud kakitangan Jabatan dari semua peringkat harus bersatu dan berkerjasama secara profesionalisma dalam apa jua program dan aktiviti yang dilaksanakan, dengan mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan diri. Setiap bahagian atau seksyen yang diwujudkan dalam Jabatan Pertanian mempunyai peranan dan fungsi masing-masing. Justeru, bahagian dan seksyen-seksyen tersebut adalah saling berkaitan yang membentuk sebuah organisasi yang lengkap, dengan hanya satu matlamat iaitu mendokong usaha kerajaan memajukan sektor pertanian dan membela nasib golongan petani agar mereka berdaya saing dan mampu meningkatkan pengeluaran bahan makanan.

Setiap bahagian dan seksyen dalam Jabatan Pertanian perlu terus meningkatkan pencapaian dan prestasi masing-masing dengan meletakkan sasaran kerja yang hendak dicapai setiap tahun, selaras dengan gagasan ”pencapaian diutamakan”. Ketua setiap bahagian dan seksyen perlu sering turun padang bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi sama ada oleh kakitangan di peringkat bawah atau masalah birokrasi yang menyebabkan sesuatu bantuan atau program gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Hadirin sekalian.

Jabatan Pertanian harus terus berusaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti sektor pertanian agar sektor ini lebih berdaya saing di peringkat negeri, negara dan global. Sektor pekebun kecil yang bersifat tradisional perlu ditransformasikan menjadi sektor yang moden, dinamik dan komersil. Ini selaras dengan objektif Dasar Pertanian Negeri Sabah (DPNS) Kedua iaitu `memaksimumkan pendapatan melalui penggunaan secara optima sumber-sumber dalam sektor pertanian demi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Sabah’. Ini bersesuaian juga dengan Wawasan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan iaitu `mewujudkan sektor pertanian yang berdaya saing, komersil dan progresif’.

Dalam usaha melakukan transformasi ini, Jabatan Pertanian perlu memiliki tenaga pekerja yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Justeru, usaha untuk melahirkan dan membangunkan satu pasukan kakitangan yang pro-aktif, cergas dan berdisiplin amat dituntut.

Hadirin sekalian.

Sebelum berundur, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Penganjur, para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan seminar ini. Saya percaya, walaupun anda semua sibuk dengan tugas-tugas utama Jabatan yang telah diamanahkan, namun semangat dan kesungguhan anda semua telah mampu menjayakan Seminar Kecergasan ini dengan cemerlang. Sesungguhnya, saya yakin bahawa sumbangan moral dan material yang anda berikan adalah atas niat untuk menyokong agenda Jabatan Pertanian khususnya dan Pembangunan Sektor Pertanian Negeri Sabah amnya. Semoga Allah subhanahu wata’ala memberkati sumbangan tuan-tuan dan puan-puan.

Kepada para peserta seminar, saya ucapkan selamat bersukan dan bersainglah secara sihat. Dalam apa jua acara yang melibatkan pertandingan atau kejohanan, sudah pasti ada pihak yang menang dan kalah. Kemenangan sememangnya amat baik untuk dijadikan sebagai pengukur bagi menilai pencapaian individu, pasukan atau kontinjen yang diwakili. Kepada pihak yang menang, tahniah diucapkan. Bagi pihak yang kalah pula, jangan merasa kecewa dan putus asa. Cuba lagi di kesempatan yang lain.

Akhir kata, dengan iringan doa agar penganjuran Seminar Kecergasan Jabatan Pertanian Sabah akan mencapai objektifnya. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kecergasan Jabatan Pertanian Sabah kali ke-6, tahun 2009. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wasalamualaikum w.b.t. Terima Kasih.

Kembali...