3 Mac 2018 - Odou Bakanjar ke 5

Date and Venue
Date: 
03/03/2018
Time: 
7.00 pm
Location: 
Kuala Penyu Tamu Ground, Sabah

PENGENALAN

Etnik Dusun Tatana merupakan salah satu etnik dalam rumpun Kadazandusun. Etnik Dusun Tatana berasal dari daerah Kuala Penyu, Sabah  dan mempunyai bahasanya  sendiri iaitu Gia Tatana  serta mempunyai kebudayaannya yang tersendiri. Dari segi kebudayaan, Etnik Dusun Tatana  mempunyai beberapa upacara ritual seperti Moginum, Barasik, Mikajang, Momiliu, Basal, Talang Pongoh, Taun Bagu dan sebagainya. Upacara Moginum  mempunyai tiga tujuan iaitu untuk mengubati orang sakit, menghormati roh orang yang sudah meninggal dan untuk tujuan moginasoh ( kesyukuran dan kegembiraan). Barasik adalah upacara untuk mengubati orang sakit, Mikajang adalah  upacara untuk menghormati para dewato  ( para penguasa dan dewa-dewa) dan lumaag (kuasa-kuasa mistik). Momiliu merupakan acara ritual yang dibuat di bahagian atas rumah untuk menghormati roh nenek moyang yang telah meninggal. Basal pula merupakan satu upacara besar yang dilakukan untuk  ketenteraman dan membersihkan kampung dari segala ancaman dan malapetaka yang diakibatkan oleh kuasa alam semulajadi atau oleh kuasa-kuasa mistik. Talang Pongoh pula adalah upacara untuk menghormati semangat padi lumaag bilod.

Kebanyakan upacara tersebut dilakukan apabila diperlukan dan waktu melakukannya tidak tetap dari segi bulan atau pun tahun mengadakannya. Oleh itu, upacara-upacara tersebut tidak dapat dikategorikan sebagai satu perayaan. Walau bagaimanapun beberapa elemen dalam upacara-upacara tersebut seperti penyertaan masyarakat kampung, penyertaan ahli keluarga, penyediaan makanan dan minuman, persembahan muzik tradisional seperti gong, tarian kebudayaan dan nyanyian tradisi dapat diterapkan sebagai acara dalam perayaan-perayaan pada masa kini.

Taun Bagu merupakan perayaan besar dan meriah bagi etnik Dusun Tatana. Taun Bagu bermakna Tahun Baru Cina. Etnik Dusun Tatana sejak 150 tahun dahulu, mengamalkan kepercayaan campuran iaitu kepercayaan tradisi  Tatana (animisme) dan sebahagian elemen agama Budha iaitu perayaan Tahun Baru Cina. Terdapat dua sebab mengapa etnik Dusun Tatana mengamalkan kepercayaan campuran iaitu disebabkan oleh perkahwinan campur keturunan etnik Dusun Tatana dengan para pedagang Cina dan faktor penerimaan etnik Dusun Tatana sendiri terhadap elemen-elemen dalam agama Buddha. Upacara yang dilakukan oleh etnik Dusun Tatana semasa Taun Bagu ialah upacara sembahyang, menyediakan juadah makan dan minum serta kunjung-mengunjungi disebut mongkoyou.

Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah (STCA) telah berusaha mewujudkan satu perayaan umum yang dapat dirayakan oleh seluruh etnik Dusun Tatana yang pada masa kini telah mengamalkan pelbagai agama seperti Kristian, Buddha, animisme, dan Islam. Satu perayaan yang dicadang untuk dirayakan ialah Odou Bakanjar.

Odou Bakanjar dirayakan semasa perayaan Taun Bagu atau waktu cuti Tahun Baru Cina kerana pada masa tersebut kebanyakan keluarga etnik Dusun Tatana berkumpul atau balik kampung. Elemen-elemen kebudayaan yang sesuai dari beberapa upacara etnik Dusun Tatana digabungkan dalam perayaan Odou Bakanjar seperti makanan dan minuman, persembahan tarian, paluan gong dan sebagainya.

 

OBJEKTIF PENGANJURAN

  • Mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan etnik Dusun Tatana dengan etnik-etnik yang lain.
  • Memulihara dan melestarikan khazanah budaya Dusun Tatana yang unik dan bernilai tinggi.
  • Menghidupkan dan menonjolkan elemen-elemen budaya tradisi Dusun Tatana yang masih relevan.
  • Menggalakkan generasi baru Dusun Tatana untuk mengenali asal-usul kebudayaan mereka.
  • Etnik Dusun Tatana dapat dikenali oleh masyarakat sekitar dan masyarakat luar sesuai dengan konsep 1Malaysia.
  • Menjadikan keunikan budaya Dusun Tatana sebagai salah satu aset pelancongan negeri dan negara.
Last updated: Fri, 10/13/2017 - 11:02

Wisma Budaya Building, Tunku Abdul Rahman Road, Locked Bag 132, 88740 Kota Kinabalu, Sabah Malaysia.
Tel.: (+60)88 268890, (+60)88 268818, (+60)88 259457, Fax: (+60)88 264235, E-mail: sabahculturalboard@gmail.com

Copyright © 2012 Sabah Cultural Board.

Best viewed in any modern browser, preferably the latest Firefox or Chrome,
with minimum screen resolution 1024 x 768.

Designed and developed by Digital Heritage Sdn. Bhd.