PROJEK TERNAKAN LEBAH MADU

Pengenalan

Projek ini merupakan salah satu projek kendalian KPD yang dilaksanakan secara Perladangan Kontrak dengan para petani. Projek ini bermula pada tahun 1991 di Kota Marudu, Matunggong, Kudat dan Pitas. Selaras dengan halatuju KPD yang baru serta penstrukturan semula operasinya, maka projek ini telah dikembangkan ke kawasan-kawasan lain di negeri Sabah khususnya di Sipitang, Pedalaman, Ranau dan Telupid. Langkah ini dibuat bagi menjamin konsistensi pengeluaran hasil madu lebah pada masa hadapan.

Pada peringkat awal projek ini dibuat dalam bentuk penyelidikan di Kota Marudu (tahun 1980) dengan bantuan pakar lebah dari Kanada, iaitu Scott Fairbairn. Pada tahun 1984 pihak KPD telah menghantar dua (2) orang pegawainya ke Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) untuk mempelajari teknik-teknik penternakan lebah. Seterusnya pada tahun 1985 sekali lagi pakar lebah dari Kanada Dale Hooge datang untuk membantu KPD sehingga tahun 1988. Projek ini seterusnya dimajukan sebagai Projek Perladangan Kontrak kerana hasil madu lebah yang dikeluarkan adalah amat memberangsangkan dan sesuai dijadikan projek sosio-ekonomi.

Sebagai sokongan kepada projek ini, KPD telah mengujudkan Kilang Madu Lebah terletak di Sikuati, Kudat yang dinamakan Borneo Honey Bee Centre. Pusat ini memproses madu lebah yang dibeli daripada peserta dan seterusnya dibotolkan sebelum dihantar ke Kompleks Pemasaran, KPD Teluk Likas untuk tujuan pasaran. Pemasangan peralatan moden seperti vacuum dryer di kilang ini telah mempertingkatkan lagi kualiti madu lebah yang dikeluarkan oleh KPD. Selain itu Borneo Honey Bee Centre juga menjadi pusat pembelajaran mengenai ternakan lebah madu melalui kursus dan latihan yang dianjurkan.

Produk madu lebah KPD yang diberi jenama Borneo Tropical Honey telah mendapat persijilan HALAL dan MS-ISO 9001:2000, yang kemudiannya dinaiktaraf ke versi MS-ISO 9001:2008 pada tahun 2010.

 

Objektif

1. Meningkatkan pengeluaran madu lebah tempatan yang berkualiti

2. Menyediakan sumber pendapatan yang berterusan kepada para
    peserta projek

3. Membantu kerajaan dalam mengurangkan kadar kemiskinan

4. Menjadikan Pusat Lebah Borneo dan Ladang Penternakan sebagai
    destinasi Agro-Pelancongan di utara Sabah



Aktiviti Yang Dijalankan

1.  Memberi khidmat nasihat teknikal mengenai penternakan lebah
     madu kepada para peserta projek Perladangan Kontrak.

2.  Memberi Kursus Teknikal Penternakan Lebah Madu berbayar
     kepada orang awam yang berminat.

3.  Menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan pembelian hasil di
     ladang.

4.  Mewujudkan Muzium Lebah yang mempamerkan jenis-jenis lebah,
     perkakasan menternak lebah madu dan sebagainya.

5.  Mewujudkan Ladang Penternakan sebagai tempat untuk lawatan
     sambil belajar.

6.  Mewujudkan kedai jualan untuk produk-produk madu lebah Borneo
     Tropical Honey.

 

Borneo Tropical Honey

Borneo Tropical Honey adalah produk madu lebah HALAL keluaran KPD yang 100% tulen, tanpa bahan pengawet atau perasa tiruan. Sumber nektarnya adalah daripada pelbagai jenis bunga yang ada di sekitar sarang seperti pokok kelapa, acacia mangium, getah, bunga-bungaan dan sebagainya.

Di peringkat ladang, hanya madu yang matang sahaja akan dituai untuk menjaga dan mengekal keasliannya. Madu yang dituai akan diproses dan dibotolkan dalam pelbagai saiz dan rekabentuk produk madu.

Madu adalah suatu produk yang stabil dan tidak mudah rosak oleh kuman perosak makanan. Untuk menjaga kesegarannya, adalah disyorkan supaya madu disimpan di tempat yang dingin dan kering pada suhu 27C serta tidak terdedah kepada cahaya matahari atau suhu yang tinggi. Madu juga tidak boleh disimpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan daripada berlakunya proses pembekuan ke atas madu tersebut.

 

Nilai Makanan dan Perubatan

1.  Sebagai makanan terbaik untuk kesihatan

2.  Memperbaiki sistem penghadaman makanan dalam badan

3.  Mempertingkatkan tenaga

4.  Gula dektrosa yang terdapat pada madu mudah larut dalam darah
     manusia tanpa melalui proses penghadaman

5.  Gula dektrosa mempunyai kepentingan besar dalam
     menyembuhkan pelbagai penyakit seperti ulser

6.  Mengatasi masalah kekurangan zat makanan terutama sekali
     pada kanak-kanak

7.  Madu digunakan dalam penyediaan bahan-bahan persolekan

 

Sebarang pertanyaan mengenai projek ini bolehlah berhubung terus dengan alamat di bawah:- 

 

Kumpulan Ternakan
Korporasi Pembangunan Desa
Aras 2, Wisma Pertanian Sabah
Jalan Tasik, Luyang
(Off Jalan Maktab Gaya)
Beg Berkunci 86
88998 Kota Kinabalu, Sabah

Tel:  +6088 291363
Fax:  +6088 291354

Laman Web:  http://www.sabah.gov.my/kpd
E-mail:  
kpd@sabah.gov.my


 


Poster raksaksa di Borneo Honeybee Centre, Sikuati, Kudat
 


Ladang ternakan lebah madu di kawasan Borneo Honeybee Centre
 


YB. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri, merangkap
Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah sedang memegang Koloni Apis Cerana atau
dalam bahasatempatan Pomosuon ketika melawat Borneo Honeybee Centre.

Di kiri beliau adalah YB. Datuk Haji Musbah Jamli, Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, manakala di kanan
beliau adalah YB. Tuan Haji Ahmad Bujang, Pengerusi KPD
 


Aktiviti yang biasa dilakukan dalam projek ini adalah memeriksa koloni lebah dalam haif atau kotak sarang
 


YB. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin sedang meneliti produk madu Borneo Tropical Honey yang dikeluarkan oleh KPD
 


Borneo Tropical Honey; di kanan sekali adalah Potiukan (madu Tualang/Lebah Rimba)
 


YB. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin bergambar bersama-sama dengan 5 orang penerima bantuan peralatan menternak lebah madu di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) kawasan Matunggong