PROJEK TERNAKAN KAMBING BOER

 

 

Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer, KPD Kabang, Papar


Pengenalan


Pada penghujung tahun 2005, Korporasi Pembangunan Desa atau KPD telah menubuhkan satu ladang ternakan kambing kacukan Boer milik sendiri terletak di Kabang, Papar yang dinamakan Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer. Fungsi utamanya adalah untuk menjalankan aktiviti pembiakbakaan (breeding) dan penggandaan (multiplication) kambing baka Boer. Kini terdapat 2 buah ladang baru iaitu Ladang Kambing Boer Bukau, Beaufort dan Ladang Kambing Boer Kelatuan, Papar yang juga berfungsi antara pusat pembiakbakaan dan penggandaan kambing Boer bagi memenuhi permintaan pasaran di negeri Sabah.
 

Kambing Boer ini dipilih memandangkan ia adalah salah satu baka kambing pedaging paling popular di dunia yang memiliki kadar tumbesaran yang cepat, kesuburan yang tinggi, kualiti karkas yang baik, kualiti daging yang rendah kolestrol, ketahanan terhadap penyakit yang tinggi serta keupayaannya menyesuaikan diri di dalam pelbagai sistem pemeliharaan dan iklim. Oleh itu baka ini sangat sesuai sebagai kambing pedaging bagi memenuhi permintaan daging kambing yang semakin meningkat pada masa kini.  ‘Competitive advantage’ dalam bidang ternakan yang dimiliki negeri Sabah seperti bebas daripada beberapa jenis penyakit utama ternakan khususnya penyakit kuku dan mulut (FMD) menjadi salah satu faktor utama yang membolehkan hasil-hasil ladang menembusi pasaran eksport ke luar negara pada masa hadapan.
 

Program pembiakbakaan di pusat ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak MARDI dan UPM dengan matlamat untuk menjadikannya sebagai sebuah pusat terunggul yang ‘sustainable’ dan komersil di dalam pemeliharaan dan pembiakbakaan kambing Boer.  Selain itu ia juga dapat membantu kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan industri ternakan kambing ke tahap yang lebih memberangsangkan.

 

Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer ini adalah satu-satunya pusat yang menjalankan aktiviti seumpamanya di negeri Sabah dan telah mendapat persijilan kualiti  MS-ISO 9001:2000 pada tahun 2007.  Pada tahun 2010 persijilan tersebut telah dinaiktaraf kepada MS-ISO 9001:2008. Kesemua Ladang Kambing Boer KPD ini sudahpun disahkan bebas dari penyakit ‘Brucellosis’ oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan Dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Negeri Sabah, Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang melalui ujian saringan darah yang di jalankan dari masa ke semasa. Pusat ini juga sedang dalam peringkat akhir proses untuk mendapatkan persijilan  SALT (Skim Amalan Ladang Ternakan) oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.


Objektif

 

1.     Menjadi ladang ternakan kambing terunggul di dalam pembiakbakaan dan pengeluaran kambing  Boer.

2.     Menjadi pembekal utama baka kambing Boer bermutu tinggi kepada penternak-penternak kambing di negeri Sabah.

3.     Menjadi ladang contoh dalam kaedah penternakan kambing secara intensif yang moden dan komersil serta mengamalkan sistem penternakan yang baik (Good Animal Husbandry Practice, GAHP).

4.     Menjadi pusat kajian dan pembangunan (R&D) ternakan kambing seperti pemakanan kambing (Feeding & Nutrition), Program Kesihatan Kambing (Herd Health) dan Kaedah pembiakbakaan menggunakan bioteknologi seperti Permanian Beradas (Artificial Insemination), Pemindahan Embrio (Embryo Transfer) dan lain-lain.

 

Aktiviti Yang Dijalankan

 

1. Program pembiakbakaan kambing Boer tulin (nucleus herd) dan
    kacukan Boer melalui kaedah semulajadi [penggunaan kaedah
    bioteknologi seperti kaedah Permanian Beradas (Artificial
    Insemination)
 serta Pemindahan Embrio (Embryo Transfer)
    masih di peringkat perancangan untuk dilaksanakan
    dengan bantuan kepakaran daripada pihak MARDI].

2. Penjualan kambing baka dan kambing pedaging.

3. Penanaman rumput bermutu tinggi untuk makanan kambing.

4. Pemprosesan tinja untuk menghasilkan baja organik bermutu
    tinggi (Sila lihat gambar No. 3)

5. Program latihan dalam bidang penternakan kambing untuk para
    penternak dan pelajar Instituisi Pengajian Tinggi Awam dan
    Swasta. (Sila lihat gambar No. 4)

6. Kajian dan pembangunan (R&D) di dalam bidang pemeliharaan
    kambing secara komersil yang merangkumi aspek pemakanan,
    kesihatan dan kawalan penyakit serta pembiakbakaan kambing
    dengan pihak UPM (Projek ‘technofund’ di bawah peruntukan ‘pre-
    commercialization fund’ Kementerian Pertanian Malaysia, MOA
    yang bertajuk ”Development Of A Sustainable Herd Health
    Protocol For Goat Farm At Korporasi Pembangunan Desa, Sabah”
).
 

Sebarang pertanyaan mengenai projek ini bolehlah berhubung terus dengan alamat di bawah:- 

Kumpulan Ternakan
Korporasi Pembangunan Desa
Aras 2, Wisma Pertanian Sabah
Jalan Tasik, Luyang
(Off Jalan Maktab Gaya)
Beg Berkunci 86
88998 Kota Kinabalu, Sabah

Tel:  +6088 291323, 363, 372
Fax:  +6088 291354

Laman Web:  http://www.sabah.gov.my/kpd
E-mail:  
kpd@sabah.gov.my

 

Gambar 1: Kambing Boer jantan (buck).

Gambar 2: Kambing Boer betina (does)

Gambar 3: Aktiviti pembuatan baja organik

Gambar 4: Program Kursus Asas Ternakan Kambing