Keburukan Pengeboman Ikan Dari Segi Keselamatan, Kerosakan Alam Sekitar dan Kepupusan Ikan.

OLEH: UNIT PERHUBUNGAN AWAM

 

Pengeboman ikan ialah aktiviti penangkapan ikan secara pengeboman dengan menggunakan bahan letupan seperti dinamit kuari, belerang mercun, TNT dan tidak kurang juga yang terlalu kreatif dengan membuat sendiri bahan peletup dari baja nitrat serta garam racun rumpai (sodium chlorate).

Aktiviti ini sebenarnya menyalahi undang-undang kerana menggunakan bahan peletup secara haram dan boleh didakwa di bawah Seksyen 26 (1) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-dua sekali.  Aktiviti ini juga boleh diambil tindakan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Taman-Taman Sabah.

Nelayan yang melakukan kerja penangkapan ikan secara pengeboman sebenarnya mementingkan diri sendiri  tanpa memikirkan kesan kerja pengemboman ikan kepada diri sendiri serta alam sekitarnya. 

Risiko kerja pengemboman ikan adalah amat bahaya.  Sodium Chlorate (NaCIO3) bukanlah garam Sodium Choride (NaCI) air laut yang kita gunakan.  Ia adalah hasil sampingan tindak balas kimia dalam satu reaktor.  Garam ini dipasarkan dalam kuantiti yang berbeza sama ada dalam beg satu kilogram atau drum kecil.  Ia adalah sejenis racun rumpai dan digunakan untuk membunuh rumpai berdaun panjang serta tunas buluh.  Di dalam garam berkenaan terdapat satu bahan beracun yang dipanggil arsenik dan ia adalah sisa tindak balas kimia yang menghasilkan garam berkenaan dan kepekatannya berbeza-beza bergantung kepada kepekatan proses yang dijalankan.  Garam Sodium Chlorate juga berbahaya dan sedikit sebanyak boleh meresap menembusi kulit dan bersatu dengan bendalir badan dan boleh merosakkan sistem penapisan darah.  Arsenik pula adalah bahan beracun dan berdasarkan kepada had piawaian bahan berkenaan, ia hanya memerlukan kurang dari 1.0 gram untuk memudarat dan membunuh seorang manusia dewasa.  Semasa percampuran ramuan, sedikit sebanyak serbuk arsenik berkenaan akan sampai ke tubuh si pengebom samada secara serapan atau tersedut debu ramuan.  Di samping itu debu bahan lain seperti sulfur juga berbahaya kerana boleh membentuk asid sulfurik di dalam paru-paru apabila disedut.  Bahan campuran ini juga amat sensitif kepada haba.  Sebarang geseran termasuklah geseran tapak tangan boleh menyebabkan campuran ini terbakar.  Apatah lagi jika terkena sinaran matahari.  Risiko letupan ketika menyediakan ramuan ini sehingga meletupkannya di bawah air adalah amat tinggi dan sesiapa yang melakukannya seolah-olah meletakkan nyawanya sekadar berharga beberapa kilogram ikan yang hendak ditangkap.  Ada yang hilang jari dan sesetengahnya kudung tangan.  Bagi yang lebih malang, tubuh berkecai terkena bahan letupan yang dibuat sendiri.

Kerja pengeboman ikan bukan sekadar merbahaya  dan salah di sisi undang-undang, malah ianya menyebabkan negara Malaysia kehilangan sumber pendapatan berjuta-juta ringgit daripada hasil hidupan laut.  Letupan kuat mampu memusnahkan ekosistem batu karang yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut.  Setiap letupan boleh mengakibatkan kemusnahan ekosistem batu karang seluas 1 kilometer persegi sedangkan proses pertumbuhan batu karang sangat lama iaitu cuma  tumbuh 2.5 sentimeter setahun.  Selain menjejaskan industri perikanan pengeboman ikan juga akan menjejaskan industri pelancongan kerana ianya boleh memusnahkan alam semulajadi serta membahayakan para pelancong yang datang untuk menyelam dan menikmati keindahan alam sekitar di dasar laut. Kegiatan ini juga turut mengancam mata pencarian nelayan lain yang bergantung hidup kepada hasil perikanan.

Kegiatan pengeboman ikan turut menjadi penyumbang kepada kepupusan pelbagai spesis ikan dalam jangka masa panjang.  Ini kerana letupan bom akan membunuh bukan sahaja ikan-ikan bersaiz besar tetapi turut membunuh ikan bersaiz kecil, telur-telur ikan dan tempat pembiakan seperti batu karang.  Kesan bahan kimia di laut juga dikatakan sebagai salah satu faktor kurangnya pembiakan ikan di kawasan-kawasan pembiakan hidupan laut seperti batu karang.  Jika kegiatan pengeboman ikan ini tidak dikawal akan menyebabkan kepupusan ikan di kawasan perairan Malaysia khususnya di negeri Sabah yang mencatatkan kegiatan pengeboman ikan yang paling tinggi di Malaysia.

Kesimpulannya aktiviti penangkapan ikan secara pengeboman haruslah dihentikan kerana ianya akan membahayakan keselamatan para penyelam, merosakkan dan memusnahkan alam sekitar dan menyebabkan kepupusan ikan.    Malah ikan yang ditangkap hasil dari pengeboman adalah cepat buruk dan berkualiti rendah. 

Diharapkan maklumat yang diberikan di atas dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keburukan dan kesan pengeboman ikan.

KORPORASI KEMAJUAN PERIKANAN DAN NELAYAN SABAH (KO-NELAYAN)
Aras 4, Block A, Wisma Pertanian, Jalan Tasik, Simpang Jalan Maktab Gaya,
Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
Tel: 088-294307 / 294327    Fax: 088-218897    E-mel: konelayan@sabah.gov.my
Hakcipta Terpelihara 2004-2007, Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah | Paparan Terbaik dengan resolusi IE 800 x 600 dan keatas.
PENAFIAN: Pentadbir dan operator laman web ini tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan sebarang maklumat yang terdapat di dalam laman web ini.