|
Perkhidmatan kerajaan negeri kepada
golongan belia negeri bermula sejak tahun 1964 dengan penubuhan "Bahagian
Belia" di bawah Kementerian Kebajikan Masyarakat melalui kertas
kabinet No. 110/65. Peranan dan tanggungjawab kementerian berkenaan
ketika itu lebih cenderung kepada penggalakkan ke arah perkembangan
persatuan dan penglibatan belia dalam kegiatan-kegiatan berorganisasi
berlandaskan "Youth Welfare Policy".
Wujudnya Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah
pada tahun 1968 juga memberi perkhidmatan kepada golongan belia yang
bergiat kebanyakkannya dalam aktiviti-aktiviti yang bercorak memenuhi
masa lapang.
Pada 16 Oktober 1971, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri
Sabah (KKBS) ditubuhkan. Penubuhan KKBS adalah usaha kerajaan negeri
untuk membangunkan para belia dalam arus pembangunan negara. Pada 8
Jun 1998, kementerian kemudiannya dinamakan Kementerian Belia dan
Sukan selaras dengan penyusunan semula kementerian-kementerian negeri.
Pada 20 Mac 1999, kementerian ditukarkan nama dan dikenali
sebagai Kementerian Pembangunan Belia, Kebudayaan dan
Kemajuan Sukan Sabah. Kementerian ini sekali lagi ditukarkan nama
dalam mesyuarat jemaah menteri kepada Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan pada 4 April 2001. Pada 1 April 2003, ia ditukarkan nama
lagi kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah.
|