LAMAN WEB RASMI KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SABAH

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SABAH

 

UCAPAN PENGGULUNGAN  BAJET 2008 OLEH YB DATUK LIEW YUN FAH

 

“BELIA DAN ATLET CEMERLANG, NEGERI GEMILANG, NEGARA TERBILANG”

01. Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Bajet 2008.  Dalam kesempatan ini, saya akan memberi pandangan keatas Bajet 2008 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri pada 16 November 2007.  Seterusnya, saya akan menjelaskan isu-isu belia dan sukan yang ditimbulkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat  sepanjang perbahasan di Dewan Yang Mulia ini.    

PENDAHULUAN

Tuan Speaker,

02. Bajet 2008 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah pada hari Jumaat yang lalu merupakan satu komitmen besar oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk  kemakmuran rakyat jelata di Negeri Sabah, terutamanya untuk membina modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Bajet ini saya sifatkan sebagi bajet “mesra belia”.  Ini kerana Bajet 2008 mengiktiraf secara khusus bahawa kejayaan sesebuah negara bergantung kepada tahap penguasaan ilmu, kemahiran, inovasi dan kecekapan golongan belia untuk memacu pembangunan.

03. Walaupun baru dua tahun kita dalam Rancangan Malaysia ke–9, ternyata semua perancangan sudah mula menampakkan hasil yang membanggakan. Misalnya, hasil negeri meningkat dari RM1.89 billion seperti yang dianggarkan dalam tahun 2007 kepada RM2.26 billion.  Peningkatan hasil negeri sebanyak 19% merupakan satu kejayaan pengurusan kewangan dan perancangan pembangunan yang bermutu dan berkesan. Saya yakin dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, ekonomi negeri akan terus berkembang.  Dari itu sama-samalah kita berusaha keras untuk menjadikan Sabah Maju menjelang tahun 2015.

04. Bagi pihak warga Kementerian, para pemimpin belia dan sukan, saya merakamkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri  kerana prihatin untuk membangunkan belia dan memajukan sukan.  Untuk tahun hadapan (2008) Kementerian saya diperuntukkan sejumlah RM52.57 juta; iaitu RM28.67 juta untuk perbekalan dan RM23.90 juta untuk pembangunan.  Peruntukan ini merupakan yang terbanyak pernah direkodkan oleh Kementerian saya kecuali pada tahun 2002 semasa Negeri Sabah menganjurkan SUKMA ke–9 iaitu RM80.09 juta.   

PEMBANGUNAN BELIA 2007

05.  Sepanjang tahun 2007, pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan oleh Kementerian saya dan juga Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah untuk membangunkan belia. Pencapaian dalam tahun ini amat menggalakkan terutama sambutan yang diberikan keatas usaha Kementerian saya untuk meningkatkan penyertaan belia dalam Persatuan.  Setakat 15 November 2007, bilangan Persatuan Belia di Sabah yang aktif telah meningkat iaitu dari (121) persatuan dalam tahun 2006  kepada (136) buah tahun ini.  Keahlian dalam Pertubuhan Belia juga turut bertambah  dari  83,000 orang kepada 138,000 orang.    

06. Dalam tempoh sepuluh (10) bulan, enam (6) program teras yang dilaksanakan khusus untuk belia di peringkat Daerah iaitu Kempen Akar Umbi; Program Patriotisme; Program Kemasyarakatan; Program Gaya Hidup Sihat; Program Cinta Alam; dan Program Cabaran/Rekreasi telah disertai oleh seramai (19,250) belia berbanding dengan tahun lepas iaitu hanya (9,516) orang sahaja. Kejayaan ini adalah hasil usaha kakitangan awam, kerjasama pemimpin belia akar umbi, dan juga pemimpin masyarakat setempat. 

 

07. Program hubungan dan jaringan antarabangsa juga mencatatkan kemajuan dimana pada tahun ini (3) Operasi Raleigh International dilaksanakan.  Operasi ini disertai oleh (202) orang belia dari luar Negara bersama-sama dengan (31) orang  belia tempatan.  Program ini akan diteruskan dimana ianya merupakan peluang terbaik bagi belia di Sabah melebarkan jaringan dengan belia luar Negara.  Bagi memastikan komitment Kementerian saya, rombongan Negeri Sabah yang diketuai oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke England (di Ibu Pejabat Raleigh International) pada bulan Julai yang lalu untuk memantapkan hubungan kerjasama

 

08. Badan Sukarela belia beruniform dibawah Majlis Belia Sabah juga turut menyumbang kepada usaha untuk memajukan pergerakan belia dan seterusnya meletakkan nama Negeri Sabah dimata dunia.  Misalnya, pada bulan Julai tahun ini (2007), Persatuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah telah menghantar seramai (31) Pengakap ke England untuk mengikuti Jamboree Pengakap Se-Dunia yang ke–100 tahun yang dihadiri oleh (40,000) pengakap daripada 60 buah negara. Seterusnya, Negeri Sabah diberi penghormatan untuk menjayakan Sunrise Scouting sempena perayaan Pengakap ke–100 tahun sebagai wakil Persatuan Pengakap Malaysia.  Program ini disertai oleh 40 orang pengakap dari Asia untuk mengibarkan bendera pengakap dan jalur gemilang di atas Gunung Kinabalu serentak di seluruh dunia pada 1.8.2007.

09.  Persatuan Belia yang tidak bernaung dibawah Majlis Belia Sabah seperti Persatuan Belia Penyayang Kota Kinabalu Sabah (CARYS’) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah juga turut menyumbang secara ilmiah keatas pembangunan belia dimana kajian keatas tingkah laku devian remaja telah dijalankan di Kota Kinabalu.  Penemuan kajian ini akan saya umumkan dalam tempoh terdekat apabila semua persiapan disempurnakan. Oleh kerana kajian seperti ini dapat memberi maklumat yang penting berhubung dengan masalah belia terkini, Kementerian saya akan meneruskan kajian yang sama di kawasan Tawau dan Sandakan tahun hadapan.  Dengan adanya kajian ilmiah ini, dasar dan program belia akan lebih fokus untuk membendung masalah belia semasa.  

 

Tuan Speaker,

10.          Modul Khidmat Komuniti - Program Latihan Khidmat Negara tahun 2007 di (7) buah kem latihan di Sabah yang diselaras oleh Kementerian saya telah disertai oleh 6,301 wira dan wirawati. Program Modul Khidmat Komuniti menekankan rasa tanggungjawab peserta kepada alam sekitar, kemudahan awam, kesukarelaan, kejiranan dan kefahaman peranan agensi kerajaan dalam membangunkan negara. Sepanjang program ini dijalankan, wira dan wirawati menunjukkan komitmen yang tinggi. Keadaan ini memberi gambaran awal bahawa wawasan negara untuk membinaan modal insan minda kelas pertama boleh dicapai menjelang tahun 2020.  

Tuan Speaker, 

PERGERAKAN BELIA  TAHUN 2008 

11.  Bagi tahun 2008, Kementerian saya akan mengkaji semula strategi-strategi pembangunan belia yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke–9 supaya ianya relevan dengan perkembangan minat dan tabii belia. Dalam masa yang sama, sebagai persediaan untuk menangani perubahan yang akan berlaku ke atas pergerakan belia di Sabah akibat daripada penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 bermula tahun hadapan. 

12. Untuk makluman bersama di Dewan Yang Mulia ini, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 akan diwartakan penguatkuasaannya oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mulai tahun 2008.  Bagi kes Negeri Sabah, Kementerian saya telahpun memaklumkan dengan rasminya supaya tarikh mula kuatkuasa dikecualikan sehingga Jemaah Menteri Negeri Sabah memutuskan sebaliknya.  Pendirian yang sama telah juga diambil oleh Negeri Sarawak yang mengamalkan sistem pentadbiran eksekutif yang sama iaitu “sistem kerajaan kabinet” bukannya “sistem kerajaan exco” seperti yang amalkan oleh Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia. Walau apa pun perubahan yang bakal berlaku, saya memberi keyakinan kepada semua pertubuhan belia di Sabah bahawa Kementerian saya akan meneruskan  perkhidmatan seperti yang sedia ada. 

Tuan Speaker,

13. Saya akur bahawa Kerajaan Negeri mempunyai keutamaan lain yang mendesak untuk memajukan Negeri Sabah.  Walau bagaimanapun, belia yang berjumlah (1.3) juta pada masa ini di Sabah perlu diberi perhatian sewajarnya.  Dari itu, peruntukan pembangunan belia berjumlah RM3.0 juta untuk tahun 2008 (walaupun tidak seperti yang diharapkan) akan diagihkan seperti berikut:- 

a.      Kegiatan Belia di peringkat Daerah berjumlah RM0.8 juta (2007) bertambah kepada RM1.0 juta (2008);

b.      Kemahiran dan Keusahwanan berjumlah RM0.8 juta dikekalkan;

c.       Majlis Belia Sabah dan Ahli Gabungan berjumlah berjumlah RM0.5 juta bertambah kepada RM0.7 juta;

d.      Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah berjumlah RM0.2 juta dikekalkan; dan

e.      Kegiatan belia seperti jaringan antarabangsa dan bantuan kepada Pertubuhan Belia bukan ahli gabungan 

         Majlis Belia Sabah  kekal berjumlah RM0.3  juta.  

Tuan Speaker, 

14. Untuk memastikan apa jua permasalahan yang timbul sama ada disebabkan oleh karenah belia dan atlet atau sebaliknya dapat ditangani dengan cepat dan pantas, Kementerian saya akan mengwujudkan Biro Aduan Belia Semasa mulai tahun hadapan.  Setakat ini, Kementerian saya sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan syarat-syarat rujukan untuk menyalurkan maklumat yang diterima nanti dengan pihak berwajib.  Dengan wujudnya Biro Aduan Semasa Belia ini - belia, atlet dan orang perseorangan boleh mengemukakan aduan terus ke Kementerian saya untuk ditangani.  Harapan saya apabila Biro ini beropersi nanti, ibu bapa, penjaga, pendidik, pemimpin persatuan, pemimpin masyarakat dan pemimpin atasan memberi kerjasama untuk menjayakannya. 

Tuan Speaker,                

KEMAJUAN SUKAN  

15.  Dalam tahun 2007, Kementerian saya telah berjaya menganjurkan Sukan Sabah (SAGA) ke–3 di Tawau pada 19 -24 Ogos yang lalu melibatkan seramai 1,000 atlet, jurulatih, pemimpin dan pegawai sukan.  Dalam kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana sudi untuk merasmikan temasya tersebut. Ucapan yang sama juga saya panjangkan kepada Presiden dan warga kerja Majlis Perbandaran Tawau, pegawai-pegawai kerajaan Negeri dan Persekutuan  atas komitmen untuk menjayakan SAGA ke–3.  Kepada masyarakat setempat, terima kasih kerana memberi sokongan moral sepanjang penganjuran diadakan.

16. Dalam kesempatan ini juga, saya bagi pihak diri saya dan warga Kementerian memohon maaf seandainya ada kekurangan atau perlakuan tidak menyenangkan sepanjang penganjuran SAGA ke–3 di Tawau.  Kami berjanji dan berusaha untuk memperbaiki dan melakukan yang terbaik dimasa akan datang.  Harapan saya, penganjuran SAGA ke-4 di Sandakan akan lebih meriah dan cemerlang

 

17.  Dari segi penyertaan luar, Kontinjen Negeri Sabah  yang diwakili oleh 44 atlet telah mengambil bahagian dalam Sukan Wanita Kebangsaan ke-2 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1 – 9 Jun 2007. Seterusnya, Negeri Sabah telah menghantar seramai (6) orang jurulatih untuk mengikuti International Sports Conference sempena Sukan Arafura di Darwin, Australia pada 12 -19 Mei. 

 

 

18. Tahun ini kalender penyertaan luar negeri akan diakhiri dengan Temasya Sukan Borneo ke–II di Kuching Sarawak.  Seramai (189) atlet dan pegawai akan terlibat untuk menyertai (9) jenis sukan bermula pada 26 November hingga 1 Disember nanti.  Sementara di peringkat antarabangsa, Sabah akan diwakili oleh (20) atlet dan (2) pegawai untuk menyertai Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA di Korat, Thailand yang akan berlangsung pada 6 hingga 15 Disember 2007.

 

19. Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Negeri Sabah mewakili Negara Malaysia akan mempengerusi Majlis Sukan BIMP – EAGA untuk tempoh dua tahun mulai dari tahun 2008 hingga 2010.  Majlis penyerahan kuasa pengerusi telah diadakan pada 16 November sempena dengan Mesyuarat Majlis Sukan tersebut di Wilayah Persekutuan Labuan.  Maka dengan ini Kementerian saya akan melaksanakan fungsinya selaku Urusetia Utama Sukan BIMP – EAGA mulai tahun hadapan.  

KEMAJUAN SUKAN 2008

  20. Untuk tahun 2008, Kementerian saya diperuntukkan sejumlah RM6.0 juta untuk perbelanjaan kemajuan sukan berbanding dengan tahun ini yang berjumlah RM5.0 juta.  Pengagihan peruntukan pembangunan sukan adalah seperti berikut:

a.      Bantuan kepada Majlis Sukan Negeri Sabah dan  Persatuan Sukan berjumlah RM1.5   juta;

b.      Aktiviti sukan berprestij (penyertaan luar Sabah) berjumlah RM0.5 juta;

c.       Persediaan dan Penyertaan Sukan Malaysia ke-12 tahun 2008 di Terengganu berjumlah RM2.7 juta;

               d.      Penganjuran Sukan BIMP - EAGA berjumlah RM0.3 juta;

               e.      Kegiatan sukan massa di peringkat Daerah berjumlah RM0.5 juta, dan

               ff.       Menggalakkan aktiviti sukan berprestij dalam negeri berjumlah RM0.5 juta.

Tuan Speaker,             

21. Sukan Malaysia (SUKMA) ke–12 di Terengganu yang akan diadakan pada 27 Mei hingga 9 Jun 2008 merupakan agenda utama sukan prestasi tinggi tahun hadapan.  Kontinjen Negeri yang dianggotai oleh 300 atlet dan pegawai  akan menyertai (22) jenis sukan daripada (31) yang dipertandingkan.  Setakat ini, persiapan ke temasya tersebut sedang berjalan dengan lancar.  Harapan saya, penyertaan kali ini akan lebih menyerlah daripada penyertaan Kontinjen Negeri sebelum ini.  Apa yang penting bagi saya ialah penerapan nilai daya saing yang tinggi dan disiplin diri dikalangan atlet yang bertanding nanti. 

Dengan  adanya gabungan dua elemen ini, pingat emas, perak dan gangsa tidak mustahil untuk dimiliki oleh atlet kita.

Tuan Speaker,

LEMBAGA SUKAN NEGERI SABAH

22.  Lembaga Sukan Negeri Sabah yang dipertanggung- jawabkan untuk mengurus tadbir kompleks-kompleks sukan di Sabah akan menerima sejumlah RM12.0 juta pada tahun 2008 berbanding dengan RM10.0 juta pada tahun ini.  Jumlah yang besar ini adalah setimpal dengan tugasan Lembaga Sukan Negeri Sabah untuk menyediakan kemudahan sukan dengan kadar bayaran minima untuk memenuhi tanggungjawab sosial kerajaan negeri kepada rakyat.

23.  Walaupun Lembaga Sukan Negeri Sabah bukan salah satu agensi kerajaan yang ditubuhkan sebagai agensi kerajaan untuk mengaut keuntungan, saya amat berbangga dengan prestasi dan usaha bersungguh-sungguh pengurusan Lembaga Sukan Negeri Sabah untuk menjana sumber kewangan dengan sendirinya.  Misalnya dalam tahun ini sahaja, kutipan Lembaga Sukan Negeri Sabah mencecah RM2.7 juta berbanding dengan tahun 2006 iaitu RM2.5 juta sahaja.  Ini secara tidak langsung telah dapat membantu kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kewangan.  Saya yakin, suatu hari nanti Lembaga Sukan Negeri dapat berdikari (berdiri atas kaki sendiri bukan berdiri atas kaki orang lain) dan seterusnya menjadi contoh kepada agensi kerajaan lain.   

KEMUDAHAN BELIA DAN SUKAN DALAM TAHUN 2008 

24.  Sebagai pelengkap kepada usaha untuk membina modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta atlet bertaraf dunia, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM23.90 juta untuk membina kemudahan belia dan sukan yang kondusif untuk beriadah.  Peningkatan 2.85% peruntukan pembangunan akan dapat membantu Kementerian saya untuk mempercepatkan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan.  Dalam masa yang sama membolehkan Kementerian saya memulakan pembinaan beberapa projek baru yang telah dijadualkan pelaksanaannya dalam tahun 2008.

 

Tuan Speaker 

MAKLUM BALAS UNTUK AHLI-AHLI  DEWAN UNDANGAN NEGERI

25. Sebelum saya mengulas isu-isu yang ditimbulkan sejak 19 November yang lalu berhubung dengan Kementerian saya, saya  merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat atas sokongan, cadangan dan pandangan yang diberikan.  Sesungguhnya semua yang diutarakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat amat berfeadah untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan Kementerian saya kepada generasi belia dan pembangunan sukan di Sabah.

 

PENUTUPAN

26. Pada keseluruhannya, tahun 2007 merupakan tahun yang amat bermakna bagi Kementerian saya dimana pengagihan kewangan kepada pembangunan belia dan sukan meningkat setiap tahun.  Harapan saya, komitmen seperti ini dapat diteruskan bagi membolehkan Kementerian saya menyumbang secara positif kepada pembangunan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pemberian peruntukan yang konsisten akan memastikan program yang dirancang ada kesinambungan. 

27.  Untuk membalas budi baik Kerajaan Negeri terutama Kementerian Kewangan dibawah pimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, saya sekali lagi mengingatkan diri saya dan juga rakan-rakan terutama pemimpin belia dan sukan bahawa tanggungjawab kami ialah:

1. Untuk mempersiapkan belia hari ini dengan pelbagai  kemahiran bagi membolehkan mereka mewarisi kepimpinan Negeri dan Negara.  Ini kerana kejayaan masa hadapan bergantung kepada mutu dan disiplin yang tinggi modal insan yang dimiliki belia.  

2. Untuk menjadikan sukan sebagai instrument memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan kaum, memupuk semangat patriotisme serta membentuk masyarakat berdaya saing. Usaha ini pastinya akan tercapai apabila kita berjaya menyemai budaya bersukan di kalangan orang awam tanpa dibatasi oleh fahaman politik dan agama.

 

28. Dari itu, saya merayu kepada belia dan atlet Sabah untuk menyemaikan rasa hormat dan berdiri megah apabila Bendera Malaysia dan Negeri Sabah dikibarkan walau dimana jua berada. Kerana hanya warga yang merdeka sahaja memiliki peluang berbuat demikian.   Bendera Negara dan Negeri merupakan simbol yang menyatupadukan kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.   Saya juga mohon sekali lagi kepada pemimpin, pembimbing, jurulatih belia dan sukan untuk menunjukkan disiplin yang tinggi kepada anak didik masing-masing.  Jadilah contoh dan teladan yang baik kepada belia dan atlet nescaya “belia dan atlet akan cemerlang, negeri kita akan gemilang, dan negara kita akan terbilang”.

 

29.  Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha, Selamat Hari Natal dan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia di Sabah.  Semoga tahun hadapan akan bertambah makmur dan aman Negeri yang kita cintai.

 Tuan Speaker,   

30. Dengan izin saya mohon menyokong  Bajet  2008. 

 Sekian, terima kasih.

 

 

 

Kembali

 

 

Maklumbalas mengenai laman ini? Sila email kepada webmaster kbs@sabah.gov.my 

Notis Penafian: Pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami disebabkan penggunaan maklumat yang terdapat di dalam laman web ini.

Hakcipta oleh Kementerian Belia & Sukan Sabah