|
|
| KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN SABAH |
| "BERHEMAT BERKUALITI, AMANAH, MESRA BERBAHASA" |
| MAKLUM BALAS PERBAHASAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH [ 19 -23 NOVEMBER 2007 ] |
|
1. Ahli Yang Berhormat dari Liawan mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Akademi Kemahiran Belia yang unik untuk Sabah seperti pengurusan sungai, madu lebah dan sebagainya untuk memberi peluang yang luas kepada belia tempatan. Cadangan ini amat dialu-alukan dan Kementerian saya akan memberikan sokongan sewajarnya kerana pada dasarnya penubuhan Akademi Belia terletak di bawah bidang kuasa dan kawalan Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Belia dan Sukan Malaysia mulai tahun hadapan apabila Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007 dikuatkuasakan nanti.
|
|
2.
Ahli Yang Berhormat dari Klias mencadangkan supaya Cadangan
Pembinaan Kompleks Sukan Beaufort dipercepatkan pembinaannya iaitu
sebelum pilihan raya umum. Untuk
makluman Ahli Yang Berhormat saya selaku Menteri yang bertanggungjawab
kalau boleh bulan depan projek tersebut dapat dimulakan.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan pelaksanaan projek tersebut
tidak menghadapi masalah, semua peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan
pada masa ini akan dipatuhi bagi memastikan pelaksanaan projek tidak
menghadapi masalah dan tergendala. Sebagai tanda komitmen Kementerian saya serangkap pantun
untuk Ahli Yang Berhormat dari Klias:-
Tak kan lari gunung di kejar, Hilang
kabus nampaklah dia.
Yang Berhormat jangan gusar, Tahun
hadapan mulalah pembinaanya.
|
|
3. Ahli Yang Berhormat dari Tandek mohon supaya Cadangan Pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu yang diluluskan dalam tahun 1992 dapat diteruskan pembinaannya. Demikianlah juga Ahli Yang Berhormat dari Labuk berhubung dengan Cadangan Pembinaan Kompleks Sukan Beluran dan Ahli Yang Berhormat dari Kunak berhubung dengan Cadangan Pembinaan Kompleks Sukan Kunak. Untuk makluman ketiga-tiga Ahli Yang Berhormat, projek-projek tersebut tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia ke–9. Walau bagaimanapun, Kementerian saya akan berusaha untuk menyenaraikan dalam Kajian Separuh Penggal nanti untuk dipertimbangkan. (Tiada pantun kerana belum pasti). Tetapi selaku Menteri yang bertanggungjawab saya akan berusaha keras
|
|
4.
Ahli Yang Berhormat dari Sekong mohon supaya Kompleks Sukan
Bahagian Sandakan dinaiktaraf sempena penganjuran Sukan Sabah (SAGA)
ke-4 tahun 2009 nanti. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, satu Jawatankuasa Auditan
Venue Pertandingan akan ditubuhkan tahun hadapan untuk meninjau
keperluan dan kemudahan sukan di Sandakan untuk menjayakan SAGA ke-4.
Dari itu, semua aspek keperluan naiktaraf dan keselamatan atlet
seperti pagar akan diambil kira. Untuk itu satu pantun untuk Ahli Yang Berhormat:-
Dari Tawau kita ke Sandakan
Sukan
Sabah bersama kita jayakan Jangan
pula paha yang diinginkan Cukuplah betis yang kami diberikan Berhubung dengan program anak angkat persatuan sukan dengan agensi kerajaan, program ini akan diteruskan. Dari itu saya mohon supaya pihak swasta terutama sekali syarikat gergasi yang tersenarai dan agensi-agensi kerajaan yang lain tampil untuk menjayakan program ini. Mengenai
dengan saranan Ahli Yang Berhormat supaya masalah persatuan yang dialami
oleh renang dan bola sepak,
Kementerian saya sedang berusaha keras untuk mengatasinya melalui proses
perundingan dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. |
|
5. Ahli Yang Berhormat dari Elopura ada menyentuh kejayaan program kemahiran dan keusahawanan yang dilaksanakan oleh Kementerian saya. Terima kasih kerana mengiktiraf usaha Kementerian saya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian saya akan meneruskan program sedemikian pada tahun hadapan dalam bentuk yang berlainan supaya pasaran produk yang dikeluarkan oleh belia tidak bersaing antara satu sama lain. Cadangan-cadangan yang bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini amat dialu-alukan untuk menambahbaik program Kementerian. |
|
6. Ahli Yang Berhormat dari Tungku mohon supaya padang permainan (bola sepak) untuk kawasan DUN Tungku dibaikpulih. Pada dasarnya, kerja-kerja menaiktaraf atau baikpulih padang dalam kawasan perkadaran Majlis Daerah adalah terletak dibawah tanggungan Majlis dengan sendirinya kecuali tapak tersebut diserahkan kepada Kementerian saya. Dalam hubungan ini, saya mohon kepada Ahli Yang Berhormat untuk mengemukakan perkara ini secara rasmi bagi membolehkan Kementerian saya mengambil tindakan sewajarnya. |
|
7. Ahli Yang Berhormat dari Bingkor bertanyakan tentang kejayaan Sukan Sabah SAGA, setakat ini (13) rekod baru telah dicipta. Dan, seorang atlet Sabah (produk SAGA) akan mewakili Kontinjen Malaysia di Korat Thailand sempena Sukan SEA ke-24 pada 6 hingga 15 Disember 2007. Atlet yang dimaksudkan ialah Adik Rayzamsyah Sofian. |
|
8. Ahli Yang Berhormat dari Balung ada menyentuh soal peruntukan untuk membangunkan belia yang amat terhad pada pendapat beliau memandangkan belia adalah aset negeri yang berharga. Terima kasih atas sokongan Ahli Yang Berhormat. Bagi Kementerian saya bukan soal kuantiti tetapi kualiti program yang diberikan kepada belia. Saya yakin, kerajaan negeri akan memberikan peruntukan tambahan sekiranya ada keperluan yang mendesak.
|
|
9.
Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain dan turut membahas
secara am akan pembangunan belia dan sukan, saya ucapkan ribuan terima
kasih. Sesungguhnya semua
saranan, teguran dan makluman yang diutarakan akan diambil tindakan
untuk menambahbaik perkhidmatan Kementerian saya kepada rakyat.
Harapan saya dimasa akan datang lebih ramai lagi Ahli Yang
Berhormat untuk mengambil bahagian membahaskan isu belia dan sukan. |
|
Maklumbalas mengenai laman ini?
Sila |
|
Notis Penafian: Pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami disebabkan penggunaan maklumat yang terdapat di dalam laman web ini. |
|
Hakcipta oleh Kementerian Belia & Sukan Sabah |