Pembangunan Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK)
Selaras dengan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara untuk memupuk masyarakat penyayang, Jabatan menggalakkan penyertaan dan penglibatan masyarakat bagi memberi perkhidmatan kepada golongan bermasalah dan yang kurang bernasib baik melalui Pertubuhan Sukarela Kebajikan. Perkhidmatan Kebajikan menjadi satu tanggungjawab bersama di antara Kerajaan dan Masyarakat.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan geran kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan sebagai penghargaan kepada mereka yang menyokong kerajaan dalam memenuhi keperluan sosial Negara dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan untuk golongan masyarakat yang memerlukan.
Pemberian Bantuan Geran Pertubuhan Sukarela Kebajikan
TUJUAN
Tujuan pemberian bantuan geran kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) adalah untuk menggalakan penglibatan dan penyertaan masyarakat dalam program dan khidmat kebajikan supaya dapat menokok tambah dan menampung perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.
KRITERIA KELAYAKAN
Pertubuhan Bukan Kerajaan yang layak diberi pertimbangan geran Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah berikut :
- Pertubuhan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966
- Pertubuhan bertaraf tempatan
- Pertubuhan yang bercorak kebajikan (Welfare-related) yang mengendalikan program berbentuk pencegahan, pemulihan, jagaan dan perlindungan serta pembangunan bagi kumpulan sasar di bawah tanggungjawab dan fungsi Jabatan
- Pertubuhan atau Organisasi yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Akta seperti Jawatankuasa Kebajikan daerah di bawah Pasukan Perlindungan Kanak-kanak serta Lembaga yang di bawah Akta-Akta berkaitan.
- Pertubuhan yang telah berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi yang mengendalikan program institusi berkediaman atau Pusat Jagaan Harian.
JENIS GERAN
-
Geran Pentadbiran
Dipertimbangkan kepada Perubuhan Sukarela Kebajikan peringkat kebangsaan bagi menampung sebahagian kos pentadbiran
Pertimbangan geran mengambilkira kos berikut :
- Emolumen : bagi seorang Pegawai (Gred N3) dan seorang kerani (Gred N9) di mana jumlah geran berdasarkan Gred Skim Saraan Baru pada matagaji P1T1 iaitu RM1160.00 bagi N3 dan RM530.00 bagi N9.
- Sewaan Premis : di mana jumlah geran tidak melebihi RM500.00 sebulan.
- Kos Utiliti : di mana jumlah geran tidak melebihi RM 100.00 sebulan.
- Yuran Tabungan : kepada Pertubuhan Antarabangsa
-
Geran Penyenggaraan
Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan program atau perkhidmatan institusi atau Pusat Jagaan Harian bagi golongan kanak-kanak yatim dan miskin, Wargatua, remaja (juvana), wanita bermasalah dan Orang Kurang Upaya kecuali Pusat Asuhan Kanak-Kanak.
Kadar geran yang diluluskan oleh Perbendaharaan untuk maksud ini mengikut kumpulan sasar adalah seperti :
- Rumah Orang Tua : RM8.00 sehari seorang
- Rumah Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya, Juvana dan Wanita & Gadis : RM8.00 sehari seorang
- Pusat Jagaan Harian : RM4.00 sehari seorang
-
Geran Perkapita / Emolumen Guru
Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan Sekolah Kanak-Kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi Kanak-Kanak cacat akal untuk keperluan perbelanjaan khas.
Geran Perkapita merupakan pemberian tambahan kepada pertubuhan yang mengendalikan Sekolah Khas bagi kanak-kanak Cacat untuk membiayai keperluan pendidikan khas berdasarkan kadar Bantuan Perkapita oleh Kementerian Pendidikan bagi Sekolah Khas Rendah Cacat Pendengaran.
-
Elaun Khas OKU
Dipertimbangkan kepada Pertubuhan Sukarela Kebajikan yang mengendalikan Sekolah Kanak-Kanak Cacat Akal atau Pusat Jagaan Harian bagi OKU. Elaun adalah bagi kegunaan OKU yang mendapat latihan dari sekolah atau pusat tersebut. Kadar adalah sebanyak RM50.00 sebulan seorang.
-
Geran Bantuan Khas Perbendaharaan
Permohonan bantuan kewangan dari Pertubuhan Sukarela Kebajikan untuk pembiayaan program atau aktiviti bagi manfaat kumpulan sasar boleh dipertimbangkan. Syarat dan kriteria Pertubuhan yang layak dan prosedur untuk memohon hendaklah berpandukan kepada Garis Panduan Bantuan Khas Perbendaharaan.
CARA MEMBUAT PERMOHONAN
Permohonan baru
- Semua permohonan bagi bantuan geran mestilah menggunakan borang permohonan yang disediakan mengikut jenis geran yang dipohon. Bagi permohonan untuk bantuan geran tahunan, perlu menggunakan Borang Permohonan JKMM/PSK/2007 (Mohon). Permohonan bagi bantuan geran untuk maksud membiayai program atau projek tertentu hendaklah menggunakan Borang Permohonan yang disediakan.
- Semua borang permohonan hendaklah dilengkapkan dengan sempurna dengan disertakan Sijil Pendaftaran Pertubuhan, Perlembagaan Pertubuhan dan Penyata Kira-Kira Beraudit terkini
- Semua permohonan hendaklah dimajukan melalui Pengarah jabatan ini yang berkaitan kecuali Pertubuhan peringkat kebangsaan
Permohonan bagi Pertubuhan yang telah diluluskan geran tahunan
- Kaji semula keperluan geran hendaklah dibuat setiap tahun di mana Pengarah jabatan ini perlu membuat siasatan dan melengkapkan laporan kemajuan JKMM/PSK/2007(Geran) untuk dikemukakan ke Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Laporan Kemajuan hendaklah disertakan dengan Penyata Kira-Kira Beraudit terkini dan Sijil Pendaftaran di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 atau salinan Borang PUA 248 yang telah disahkan oleh Pengarah jabatan ini untuk tindakan pendaftaran di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 bagi Pertubuhan yang berkaitan
- Pertubuhan yang menepati semua keperluan akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Jawatankuasa Penilaian Bantuan Geran bagi pemberian geran tahun seterusnya
SYARAT-SYARAT PEMBERIAN GERAN
Pertubuhan bukan kerajaan yang telah dipertimbangkan geran perlu memenuhi syarat-syarat
- Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri/Daerah untuk menduduki Majlis Kerja atau Jawatankuasa kerja Pertubuhan sebagai “ex-officio”. Peranan wakil Jabatan adalah untuk memberi khidmat nasihat dan menentukan pengurusan pertubuhan secara keseluruhan dari segi perlaksanaan program dan aktiviti, urusan kewangan dan pentadbiran berjalan dengan teratur mengikut peraturan-peraturan berkaitan yang ditetapkan
- Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat lawatan naziran, menyemak rekod-rekod kewangan dan membuat siasatan berdasarkan aduan yang diterima
- Pertubuhan hendaklah memastikan segala urusan kutipan derma mendapat kelulusan Jabatan sebelum dapat dilaksanakan
Kegagalan untuk mematuhi peraturan sepertimana yang di tetapkan akan menjejaskan pertimbangan ke atas permohonan kutipan derma bagi pertubuhan berkenaan pada masa akan datang. |