[Prinsip1]  [Prinsip2]   [Prinsip3]  [Prinsip4]   [Prinsip5]  [Prinsip6]   [Prinsip7]

PRINSIP 5: SEMANGAT BERPASUKAN

78. Semangat berpasukan ialah unsur yang menyatupadukan seluruh kakitangan jabatan dalam menjayakan peningkatan kualiti. Semangat ini dipraktikkan melalui kerjasama, komitmen dan penyertaan kakitangan secara menyeluruh di dalam program-program peningkatan kualiti yang diperkenalkan oleh jabatan.

79. Peningkatan kualiti bukanlah usaha yang boleh diserahkan kepada kakitangan secara individu. Ini kerana masalah-masalah dalam proses kerja adalah bersifat komplek, melibatkan berbagai bahagian dan sistem. Oleh itu lazimnya penyelesaian masalah tersebut adalah di luar kemampuan individu. Dalam keadaan yang demikian setiap pihak dalam jabatan perlu bertindak secara berpasukan supaya segala kekuatan dan sumber yang ada dalam jabatan dapat digemblengkan sepenuhnya. Manfaat yang akan diperolehi oleh jabatan dengan bertindak secara berpasukan ini ialah:

    1. Berbagai bidang kepakaran, pengetahuan dan kemahiran dapat digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ini akan melahirkan penyelesaian yang berkesan.
    2. Bertindak secara berpasukan boleh membantu meningkatkan moral kakitangan dan kepuasan bekerja kerana mereka sama-sama diberi peluang menyelesaikan masalah-masalah kualiti jabatan.
    3. Masalah-masalah yang dikongsi bersama oleh berbagai fungsi dan bahagian boleh diselesaikan dengan cepat dan berkesan.
    4. Cadangan yang dibuat oleh kakitangan secara berpasukan akan lebih mudah untuk dilaksanakan berbanding dengan, cadangan-cadangan yang dibuat oleh individu.

80. Apabila kakitangan mengamalkan semangat berpasukan, mereka akan secara langsung boleh mengukukuhkan tiga aspek yang penting kepada proses peningkatan kualiti. Aspek-aspek tersebut ditunjukkan di dalam Rajah 9 yang meliputi:

    1. Pertukaran maklumat dan idea-idea dan lebih meluas.
    2. Semangat saling percaya-mempercayai di kalangan kakitangan.
    3. Komunikasi yang lancar di dalam organisasi.

81. Melalui penyertaan di dalam aktiviti-aktiviti berpasukan, kakitangan-kakitangan akan mempunyai peluang yang luas untuk bertukar pengetahuan, pengalaman, maklumat dan idea dengan rakan sekerja. Pekerja ini akan meningkatkan kebolehan seseorang kakitangan untuk mencetuskan idea-idea baru yang kreatif dan inovatif bagi mempertingkatkan kualiti kerja yang dijalankan.

82. Dalam suasana kerja berpasukan, kakitangan mudah menjalankan perasaaan percaya-mempercayai sesama mereka. Dengan perasaan ini individu akan merasa bebas dan lebih yakin untuk bertindak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing. Dengan itu mereka akan dapat membuat keputusan-keputusan dengan cepat, menggunakan budibicara dengan sempurna dan mengembangkan bakat serta potensi yang ada di dalam diri masing-masing bagi menggerakkan proses peningkatan kualiti.

83. Perasaan percaya-mempercayai yang ada di kalangan kakitangan itu seterusnya memudahkan proses komunikasi di dalam jabatan. Dengan ini bahagian-bahagian dan unit-unit di dalam jabatan bebas berhubung antara satu sama lain untuk berkongsi data dan maklumat serta sumber-sumber lain. Ini seterusnya memupuk kerjasama dan keadaan saling bergantungan di kalangan bahagian-bahagian dan unit, yang mana akhirnya boleh membantu memantapkan prestasi jabatan.

84. Semangat berpasukan di kalangan kakitangan boleh diperkukuhkan melalui usaha yang bersungguh-sungguh oleh pihak pengurusan. Tindakan-tindakan yang sesuai diambil bagi tujuan ini ialah:

    1. Menjalankan kempen kesedaran.
    2. Mengadakan latihan.
    3. Mewujudkan struktur pasukan.
    4. Memberi lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada pasukan kerja.
    5. Memberi pengiktirafan.
  1. Kempen Kesedaran

85. Kempen ini bertujuan menarik minat dan kesedaran kakitangan tentang perlunya semangat berpasukan dalam organisasi. Kempen ini boleh dilaksanakan melalui sesi ceamah, taklimat, tayanagan video dan risalah-risalah. Aspek-aspek yang sesuai ditekankan di dalam kempen ini ialah:

    1. Konsep semangat berpasukan.
    2. Faedah kepada prestasi kerja individu.
    3. Faedah kepada organisasi.
    4. Peranan individu untuk menjayakan semangat berpasukan.
    5. Bentuk-bentuk sokongan yang disediakan oleh organisasi.
  1. Mengadakan latihan

86. Latihan ini diadakan untuk melengkapkan kakitangan dengan pengetahuan dan kemahiran asas bagi menjalankan kerja secara berpasukan. Dengan yang demikian, mereka akan dapat memberikan sumbangan dengan berkesan kepada Pasukan-pasukan kerja yang mereka anggotai. Semasa latihan ini pihak pengurusan boleh memberi penekanan kepada kemahiran-kemahiran yang berikut:

    1. Kepimpinan bagi Pasukan Kerja.
    2. Penetapan objektif dan aktiviti Pasukan
    3. Kemahiran komunikasi
    4. Teknik-teknik penyelesaian masalah.
  1. Mewujudkan Struktur Pasukan

87. Semangat berpasukan di kalangan kakitangan akan daapt dimanfaatkan sepenuhnya apabila jabatan mewujudkan struktur-struktur seperti Pasukan Kerja. Pasukan Petugas, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) dan sebagainya. Melalui struktur ini individu akan dapat menyalurkan sumbangan mereka secara sistematik dan berkesan. Pihak pengurusan pula boleh menggunakan pasukan-pasukan ini untuk menjelaskan dasar-dasar jabatan tentang penningkatan kualiti.

  1. Memberi Lebih Kuasa Bertindak (Empowerment) Kepada Pasukan Kerja

88. Prestasi Pasukan-pasukan Kerja di jabatn akan cemerlang apabila pihak pengurusan memberikan lebih kuasa bertindak (empowerment) kepada mereka. Melalui tindakan ini Pasukan-pasukan Kerja mampu bertindak balas dengan cepat dan menggunakan daya kreativiti masing-masing untuk menyelesaikan masalah-masalah kualiti kerja. Pihak pengurusan boleh melaksanakan empowerment di dalam berbagai bentuk seperti:

    1. Penurunan Kuasa
    2. Menyediakan kemudahan dan sumber yang mencukupi untuk menjalankankerja.
    3. Memberi kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerjanya yang lebih besar dan penting.
    4. Memberi peluang kepada Pasukan-pasukan Kerja untuk turut serta dalam penggubalan matlamat kualiti jabatan.
  1. Memberi Pengiktirafan

89. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Pasukan-pasukan Kerja perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh jabatan. Pengiktirafan ini adalah bukti bahawa jabatan benar-benar menghargai sumbangan mereka dan nilai bekerja secara berpasukan. Dengan ini kakitangan akan lebih bermotivasi untuk mengamalkan semangat berpasukan dan komited terhadap nilai berkenaan.

[Kembali Ke Kandungan]  [PRINSIP 6]

[Prinsip1]  [Prinsip2]   [Prinsip3]  [Prinsip4]   [Prinsip5]  [Prinsip6]   [Prinsip7]